Chapter 7

Romance Completed 17677

BAB 7 :

KAU SANA AKU SINI

"Salahkan Amin! kenapa takutkan kami macam tu!" marah Azwa.

Amin tunduk dengan wajah penuh rasa bersalah. Sangkanya sergahan untuk menakutkan Azwa dan Amylia boleh dijadikan gurauan dan tajuk mengusik di waktu sekolah nanti , tetapi sekarang sudah menjadi masalah yang rumit. Amylia hilang !

Azwa sudah menangis. Dia juga rasa bersalah kerana meninggalkan Amylia dan hanya menyelamatkan dirinya sendiri. Jelas sekali dia bukan kawan yang baik. "Aku memang bukan kawan yang baik ! sekarang mesti Amylia ketakutan kat dalam hutan tu ," kata Azwa dalam esakan.

Rakan-rakannya memujuk. Mereka mengusap-usap belakang Azwa supaya dia berhenti menangis.

"Kau memang kawan yang teruk. Sampai hati kau tinggalkan dia dan hanya selamatkan diri kau je ? mana letaknya nilai persahabatan yang kau agung-agungkan selama ini ?" marah Fatah.

Azwa hanya diam. Air matanya masih tidak henti mengalir.

"Kalau apa-apa jadi kat dia. Aku nak kau yang bertanggungjawab!" bentak Fatah. Kemudian dia memandang Amin.

"... kau juga Min !"

Fatah terus beredar. Azwa memandang para fasilitator yang berada di situ.

"Akak.. jomlah cari kawan saya," pinta Azwa.

"Kita semua diminta untuk tetap berada di sini. Ada yang telah bergerak mencari kawan kamu semua. Jangan risau ya.. doakan dia dalam keadaan selamat.."

***

Daun-daun kering dipijak. Lampu suluh dihulur ke serata tempat. "Ya Allah.. tunjukkanlah aku jalan ke kem.." doa Amylia. Habis sudah air mata dia mengalir kerana ketakutan. Berulang-ulang kali dia berjalan di tempat yang sama, namun jalan kembali ke kem masih tidak ditemui. Amylia berhenti sekejap. Kakinya sudah lenguh. Peluh sudah membasahi seluruh badan.

"Baik aku duduk setempat. Minta-minta ada yang jumpa aku.." Amylia berkata sendiri. Dia duduk di atas batang kayu. Dia menggosok kedua tapak tangannya. Mengharapkan haba di saat kesejukan mula menyelubungi tubuhnya.

"Kraak.. krakk.." terdengar bunyi daun-daun dipijak.

Amylia memandang. Lampu suluh di tangan dihala pada tempat yang dia mendengar bunyi tersebut. Tiada apa. Tiba-tiba kedengaran bunyi burung hantu. Amylia sudah gelabah.

"Janganlah muncul! aku takut ni." kata Amylia perlahan. Fikirannya sudah membayangkan perkara yang paling ditakutinya. Seluruh tubuhnya menggigil.

"Syrahh.. syrahhh..." pokok bergoyang. Amylia bingkas bangun. Dia nampak sesuatu bergerak. Hantu ? Hoi..mulut jangan cabullah..!

'Lia! Lari! Lari Lia!' Hati Amylia sudah memberi arahan. Dengan tenaga yang bersisa, pantas Amylia mengatur langkah berlari dari situ. Dia berlari sekuat hatinya.

"Saya yakin nampak cahaya touchlight kat sini.." Beberapa orang yang ditugaskan mencari Amylia muncul di sebalik pohon.

" Silap lihat tu.."

***

Nafas Amylia tidak teratur. Perasaan cemasnya bercampur dengan ketakutan. Dia berlari tanpa arah tuju. Tak kisahlah ke mana pun , asalkan 'benda' tu tak ganggu aku !

" Bukk"

Amylia jatuh tersembam tanah. Terbaring dia seketika. Sakit. Seluruh tubuhnya sakit.

Dalam kepayahan, Amylia berusaha untuk bangun. Dengan menggunakan lampu suluh, dia melihat tangannya luka dan berdarah. Air mata Amylia laju mengalir. Salah apa sampai dia dihukum begini ? Amylia cuba untuk berdiri, tetapi gagal apabila dia menyedari kakinya sudah terseliuh. Mahu atau tidak, Amylia terpaksa duduk di situ. Menanti sehingga bantuan tiba. Kalau ada, kalau tiada ? jadi tarzanlah dia.

"Aduhh.." Amylia mengurut-urut kakinya yang terseliuh. "Takpelah Lia. sekejap lagi mesti ada orang nampak kau. Kau kan ada touchlight ni..." Amylia memujuk hatinya. Dengan tidak semena-mena lampu suluhnya terpadam. Alaa. takkan semua benda buruk berlaku dalam masa yang sama ? Amylia cuba menghidupkan lampu suluh tersebut, tetapi tidak berjaya.

"Erghh!" pantas lampu suluh itu dilontar.

Amylia memeluk lutut. Teresak-esak dia menangis. Segalanya muncul terbayang pada mindanya. Mak, ayah, kakak, adik, kawan-kawan, cikgu.. dan semua orang, minta maaf.. Lia banyak berdosa kat semua. Kalau inilah penamat bagi hidup Lia, doakan Lia selamat di akhirat sana. Ya Allah, ampunkanlah segala salah dan silapku..

"Kau buat apa kat sini ? semua orang sibuk cari kau!"

Amylia mendongak. Cahaya silau daripada lampu suluh menerangi matanya. Setelah pandangan dia jelas, barulah dia tahu siapakah gerangan yang menegurnya itu.

"Fatah..." kata Amylia

Sambil bercekak pinggang, lelaki itu memandang Amylia dengan penuh rasa cemas. Risau dia mencari gadis genit itu, namun dalam masa yang sama rasa lega apabila Amylia berjaya ditemui akhirnya.

"... bukan kau tak join perkhemahan ni ke ?" soal Amylia apabila teringatkan kata-kata rakannya mengenai ketidakhadiran Fatah dalam perkhemahan itu.

"Itu tak penting. Apa yang penting sekarang jom balik ! semua orang risau cari kau. Diorang semua nak masuk tidur tahu? Dah pukul berapa ni, kau boleh pula sedap-sedap hirup udara kat sini eh.. menyusahkan orang!" Fatah membebel panjang.

Amylia mengeluh panjang, " Aku taknak balik !" katanya. tahu

Fatah mengerutkan dahi. "Jangan mengada-ngadalah. Jom balik, takkan kau nak sesat dalam hutan ni seumur hidup ? Tak takut ke ?" soal Fatah.

"Aku kan suka menyusahkan orang. Bukan lebih baik ke aku hidup dalam hutan ini. Kau cakap kat semua yang aku selamat. Aku taknak balik ! aku suka duduk sini. Jumpa Tarzan nanti boleh jadi kawan.." jelas Amylia serius.

Fatah terkesima. Haihh.. takkanlah dia terasa dengan kata-kata aku sebentar tadi ? Gurau je kut. Fatah duduk bercangkung di hadapan Amylia. "Sorry lah.. aku bukan nak buat kau kecil hati. Jom balik, semua orang risau tahu. Aku lagilah risau..." kata Fatah dengan nada memujuk. Dia merenung mata Amylia.

Amylia segera mengalihkan pandangan. Lelaki itu berjaya membuatkan dia jatuh cinta sekali lagi! Tidak ! Aku tak suka kau Fatah!

Fatah berdiri semula, "... Dah, jom gerak. Dah lewat malam ni, Jom.." arah Fatah dan sudah mengatur langkah. Melihat Amylia yang masih duduk di tempatnya membuatkan Fatah terpaksa kembali semula.

"Kau ni degil juga kan ? Jom !" Fatah memaksa. Lengan Amylia ditarik supaya gadis itu berdiri. Amylia terpaksa bangun, tetapi rasa sakit yang mendatang pada bahagian buku lalinya membuatkan dia terjatuh semula. Luka pada tangannya juga terasa bisa.

Barulah Fatah sedar. Rupa- rupanya Amylia tercedera. "Kau ni kan. Kenapa tak bagitahu yang kau sakit. Tak pasal-pasal aku tarik kau tadi. Tunjuk mana sakit !" arah Fatah lagi.

Amylia diam. Masih menyembunyikan kecederaannya.

Menggunakan lampu suluh, Fatah melihat luka di tangan Amylia. Darahnya masih mengalir. Tanpa berfikir panjang, kemeja yang membaluti tubuhnya itu dikoyakkan. Kemudian dia membalut tangan Amylia. Mujur dia memakai t-shirt pada bahagian dalam.

Amylia tidak mampu berkata apa-apa, kagum dengan kelakuan Fatah.

"Lain kali, kalau sakit cakap. Jangan diam, nanti lama-lama dibiar lagi teruk. Nasib baik bapa aku seorang askar. Dari kecil aku dah diajar, hutan dan manusia ni boleh 'berkawan'. Bila berlaku kecemasan macam ni aku dah ada ilmunya," Fatah membebel sambil mengubati luka Amylia.

Tawa Amylia pecah tiba-tiba. Mendengar itu Fatah pantas memandang. Dia ada buat lawak ke "Kenapa gelak ?" soal Fatah.

"Tak sangka kau ni kuat membebel juga kan? Ingat tahu buat loyar buruk je.." kata Amylia sambil tersenyum-senyum.

Fatah tersengih. "Kau tu lagi teruk. Ingat pendiam je, rupanya keras kepala. Degil! Geram aku.." ujar Fatah.

Amylia hanya tersenyum. Setelah selesai tangannya dibalut, Fatah memusingkan tubuhnya. Kemudian dia menepuk-nepuk pada bahagian belakang badannya.

Amylia tidak mengerti.

"Kaki kau terseliuh kan ? Meh.. aku dukung balik kem.." kata Fatah.

Jantung Amylia berdegup laju. Biar betul ni ? Seolah-olah apa yang ditontonnya dalam drama menjadi realiti. Impiannya untuk bersandar pada bahagian belakang seseorang yang dicintai menjadi kenyataan ! Kenyataan !

"Cepatlah.. kau tunggu apa lagi," tegur Fatah.

Amylia mengangguk. Lambat-lambat dia naik pada bahagian belakang Fatah. Rasa segan dan bahagia bercampur menjadi satu. Fatah bangun sambil mendukung Amylia di belakangnya.

"Kau peluk je bahu aku..tapi jangan cekik leher aku pula okey.." kata Fatah bergurau. Amylia patuh. Perlahan-lahan tangannya memeluk bahu Fatah.

"Kalau kau mengantuk, kau sandar je kepala kat bahu aku. Bahu aku ni lembut macam bantal tahu.. Hahaha.." Fatah masih bergurau. Amylia tersenyum.

"Kalau kau penat, berhentilah sekejap. Jangan paksa diri bawa aku yang berat ni.." balas Amylia.

"Sedar pun berat kau macam anak gajah.." kata Fatah.

Amylia memukul bahu lelaki itu. Marah dikatakan sedemikian. Bukan marah sebenarnya pun, marah-marah manja gitu.

"Aduh aduh.. dah tidur cepat...ke nak aku dodoi?" soal Fatah.

"Tak payah, suara kau macam katak!" Balas Amylia.

Fatah tersengih. 'Sebenarnya, aku dah lama sukakan kau Lia. Tapi aku malu nak luahkan. Aku takut kau tak boleh terima. Setiap hari, setiap saat.. aku cuba untuk mengenali kau dengan lebih dalam. Tapi bila di hadapan kau, aku kaku! aku malu.. macam-macam aku fikirkan bila aku nak berborak dengan kau. Layakkah? Aku bukanlah handsome macam orang lain.. banyak kekurangan yang aku ada untuk menjadi seseorang yang sentiasa di sisi kau.. Pernah juga aku cuba untuk lupakan kau, tapi aku tak mampu. Perasaan ini selalu menghantui aku. Lia, sudikah kau menerima cinta dari seseorang yang macam aku ?' Hatinya berkata sayu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience