BAB 2

Romance Completed 11387

“HEI, Hang Tuah! Mari ke mari kau bantu beta di sini! Naib presiden apalah kau ni Tuah?” Ijam masuk ke dalam kelas kami dengan membawa kertas A4 setebal satu inci di tangan dan diikuti oleh Badrol.

Tuah yang tersentak segera menghampiri Ijam, pelajar tingkatan enam yang memegang jawatan Presiden Kelab Bakti Remaja. Mereka berbincang seketika di bahagian hadapan kelas. Tuah merupakan naib presiden kelab. Ijam akan selalu datang ke kelas kami untuk berbincang mengenai aktiviti kelab. Walaupun Tuah baru sahaja berpindah ke sekolah kami, dia dipilih menjadi naib presiden kelab kerana mendapat undian yang tinggi dari pelajar-pelajar perempuan namun belum mampu menandingi jumlah undian Ijam. Adatlah tu…kalau handsome, ramailah yang mengundi.

“Ehem…perhatian semua. Presiden nak jumpa ahli Kelab BaRe kejap. Mintak kerjasama dari semua ahli untuk keluar kejap ya?” Tuah melaungkan suaranya kuat cuba menandingi suara rakan-rakan lain yang rancak berbual.

“Alah, tak payahlah skema sangat. Cakap aja kat dalam ni. Malas nak keluar. Cikgu tak ada pun.” Aida membalas lantang. Aku dan beberapa orang kawan yang lain mengangguk setuju. Tuah berbual seketika dengan Ijam sebelum keluar ke kelas sebelah.

“Errr…relax-lah cik adik. Jangan marah-marah. Tak eloklah. Heheheh…takut saya. Chill-lah!” Ijam memandang Aida dengan sengihannya. Siap mengangkat tangan lagi. Aida turut membalas dengan mengangkat tangan juga.

Aku mengeluh. Macam manalah orang yang suka main-main ni disuruh jadi pengerusi. Aku rasa Tuah lima kali ganda lebih layak untuk memegang tanggungjawab itu. Tuah lebih serius dalam melakukan kerja. Namun aku tidak berhak bersuara kerana aku merupakan ahli baru Kelab BaRe. Aku memandang Ijam di hadapan kelas. Kebetulan bola mata kami berlaga. Hanya jelingan tajam yang aku berikan kepadanya. Senyuman pun lokek untuk diberikan. Malas nak beramah mesra. Tak kenal pun!

“emm..err…tolong bagi perhatian kejap eh? Ni maklumat penting untuk semua ahli BaRe. Hujung minggu ni, BaRe akan mengadakan Program Jati Diri. Semua ahli diwajibkan untuk menyertai program ni. No excuses. Tolong ambik borang kebenaran ibubapa kat depan ni. Borang ni mesti dihantar pada Tuah ataupun Badrol sebelum hari Khamis ni. Kalau ada masalah, jangan malu-malu jumpa saya. Masalah boleh settle…”

“Terbaiklah Abang Ijam! Tak sabar pulak nak join program ni. Mesti best kan?” Tasya bertepuk tangan. Bukan main lebar lagi senyumannya. Suka kat Ijamlah tu!

Ijam tersengih bangga. “Sabar Tasya. Nanti kita jumpa kat kem ya? Eh, cepatlah ambik borang ni. Tak kan nak suruh saya bagi sorang-sorang kot.”

Rakan-rakan yang terlibat mula bergerak mengerumuni Badrol untuk mengambil borang kebenaran ibubapa. Aida dan Umi turut bangun. Hanya aku yang tetap kaku di atas meja. Malas! Berharap Aida atau Umi akan mengambil borang untukku sekali.

“Ni yang duduk atas meja ni tak nak ambik borang ke? Jangan buat-buat tak tau ya? Awak ingat saya tak tahu ke yang awak ni ahli kelab? Saya cam muka awak.”

Aku tersentak bila Ijam mengarahkan jari telunjuknya padaku. Malas mahu menimbulkan kekecohan. Aku cepat-cepat turun dari meja. Badrol kuhampiri sebelum mengambil borang dari tangannya. Nak join kem pun kena paksa! Aku merungut dalam hati.

“Tak payahlah memuncung mulut tu! Ingat Tuah!” Aida menyiku lenganku.

“Diamlah!” aku berpura-pura marah namun dalam hati berbunga-bunga.

‘jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaanya, kerana engkau dipandang bukan kerana rupa, tetapi kesempurnaan hati dan budi…’

p/s: jgn duduk atas meja. Jaga kesopanan gadis melayu. Meja tempat kita menuntut ilmu. Ok?

-TZH-

PAGI itu aku dikejutkan dengan kehadiran sekeping nota yang dilekatkan pada meja. Bait-bait tulisan itu menghantar satu rasa yang sukar untuk ditafsirkan. Bagai ada rasa malu yang menyelinap di segenap ruang perasaan. Ini pasti berkaitan dengan kejadian semalam bila aku duduk bersila di atas meja belajar. Aduh, malu pula bila ada mata yang memerhatikan tingkahku. Nampak gayanya, aku perlu lebih berhati-hati dengan…dengan siapa? Tunggu! TZH? Mindaku mula mencerna makna di sebalik tiga abjad itu. TZH…

Aku kembali membaca nota yang diberikan. Pesanan dan teguran ini lebih kurang sama dengan teguran Tuah. Tuah? Adakah ini pesanan dari Tuah? Tuah? Tuah Zikri bin Halim!!! Aduh, memang tak salah lagi! Alamak, malunya bila seorang lelaki baik seperti Tuah menegur ketidaksopananku! Sumpah aku malu. Terasa seperti ingin menyorok di bawah meja sahaja. Entah apa pandangan Tuah padaku.

“Hai, Az! Kenapa dengan kau ni? Pagi-pagi lagi muka dah berkerut semacam ni.” Umi datang menyapa. Cepat-cepat aku menyembunyikan nota itu ke dalam beg. Jika Umi mengetahui perkara ini, mesti kecoh. Lagi pula, malulah aku nanti bila aku yang rock ini ditegur oleh Tuah. Biarlah hal ini menjadi rahsia antara aku dan Tuah sahaja.

“Tak ada apalah Umi. Errr…eh, aku nak ke toilet kejap! Sakit perut!” aku segera bangun meninggalkan Umi sendirian apabila aku menangkap kelibat Tuah ingin memasukki kelas. Buat masa sekarang aku belum bersedia untuk berhadapan dengan Tuah. Aku malu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience