BAB 5

Romance Completed 11384

KETUKAN kuat pada daun pintu bilik menyentak lamunan panjang yang berlegar di kepala. Tangan di bawa ke dada, mengurut-urut lembut. Nafas panjang ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan. Aku beristighfar di dalam hati. Kasihan dengan insan yang mengetuk daun pintu bilikku, aku segera bangun membuka pintu. Tersembul muka cemberut Yaya.

“Kenapa ni Yaya? Ketuk pintu macam nak roboh. Buat Kak Az terperanjat aja.”

Yaya diam. Anak matanya tajam merenungku. Kenapa pulak dengan budak ni? Kena rasuk ke?

“Kenapa ni Yaya?”

“Kak Az tahu tak berapa lama Yaya ketuk pintu bilik Kak Az? 15 minit! Nasib baik tak cacat tangan Yaya.”

Aku senyum. “Alah, baru 15 minit. Belum satu jam lagi.”

“Kak Az buat lawak ke? Tak lawak pun! Mama dengan papa panggil Kak Az turun.” Tanpa kata gurauan seperti biasa, Yaya berlalu tanpa senyum. Alamak! Merajuk pulak Si Yaya ni. Aku masuk ke dalam bilik kembali untuk menyarung tudung. Tidak mahu membuat Pak Su dan Mak Su menunggu lebih lama.

Senyuman manis aku lemparkan pada Pak Su dan Mak Su yang duduk bersantai di ruang tamu. Yaya pula begitu khusyuk menonton televisyen. Boikotlah tu! Aku melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan Mak Su dan Pak Su setelah memberi salam.

“Az dah makan?” Tanya Mak Su dengan senyum simpul.

“Dah Mak Su. Az makan kat kafe tadi.”

Kulihat Mak Su memandang Pak Su di sisinya. Pak Su turut memandang Mak Su. Bagai ada sesuatu yang suakr untuk diluahkan. Aku sabar menanti.

“Errr…Az, Pak Su anggap Az macam anak Pak Su sendiri. Sama macam Yaya.” Luah Pak Su lambat-lambat. Kenapa Pak Su kelihatan teragak-agak? Biasanya Pak Su lantang dan tegas dalam berbicara. Apa yang ingin disampaikan oleh Pak Su ni? Aku tertanya-tanya.

“Pak Su sayang Az macam Pak Su sayang Yaya. Pak Su nak tengok Az berjaya, ada kehidupan yang baik. Sekurang-kurangnya bila Pak Su dan Mak Su tak ada, Az mampu untuk terus hidup, jaga Yaya.” Pak Su berjeda lagi. Kali ini lebih lama masa yang diambil untuk menyusun patah katanya. Aku tetap sabar menanti. Dalam masa yang sama, aku cuba mengumpul kekuatan fizikal dan mental untuk bersedia apa pun jua yang bakal diluahkan oleh Pak Su.

“Sebenarnya dua hari lepas, ada orang dating merisik Az sekaligus menghantar rombongan meminang Az.pak Su pun tak tahu pasal ni. Atau Az ada sesuatu nak bagitau kami?” kening Pak Su terangkat meminta penjelasan.

Aku tergamam hanya mampu menelan liur. Kesat! Merisik? Meminang? Aku? Bukan Yaya? Errr…

“Pihak lelaki tu bukan kawan Az?” Mak Su yang lama membisu, memecah kebisuan sementara. Laju aku menggeleng. Kanalan lelaki pun aku tiada. Siapalah yang masuk meminang insan yang tak sempurna seperti aku ni?

Mak Su dan Pak Su saling berpandangan.

“kenapa Pak Su, Mak Su?” tanyaku resah dengan bahasa mata pasangan di hadapanku.

“Errr..lelaki tu cakap dia kenal Az. Kawan lama Az. Sejak sekolah lagi.”

Bibir kuketap perlahan. Kening bertaut. Cuba memikirkan gerangan siapakah yang telah merisik diriku. Tidak lain tidak bukan, hanya wajah tampan Tuah menabiri ruang mata. Adakah Tuah?

“Nama dia Zaril Hasnizam.” Mak Su memecah kebuntuan membuatkan bayangan Tuah terus lenyap. Zaril Hasnizam? Siapa? Seingatku tiada seorangpun temanku bernama Zaril Hasnizam. Mak Su menghulurkan sekeping foto kepadaku. Aku menyambut dengan tangan yang menggeletar. Kuamati wajah bersih lelaki segak bersongkok itu. Bagaikan pernah kulihat tetapi lupa siapa dia.

“Apa keputusan Az?” Tanya Pak Su tenang.

Aku mengangkat wajah menetang pandangan keduanya. “Apa pandangan Mak Su dan Pak Su?”

Kalau ikutkan Mak Su, memang tak ada halangan. Orangnya baik dan sopan. Hormat orang tua. Kalau Mak Su tengok muka dia ni, rasa tenang aja. Kan bang?” Mak Su menyiku lengan Pak Su.

“Eh, yang awak lebih-lebih ni kenapa?” Pak Su memandang Mak Su dengan mata yang bulat. Aku tertawa melihat keletah mereka berdua.

“Bagi Pak Su pun tak ada masalah. Pak Su tengok budak Zaril ni memang baik, sesuai dengan Az.”

Aku memejam mata seketika. Kalau ini yang ditentukan oleh Allah untukku…aku mengucapkan lafaz basmallah. “Az serahkan keputusan pada Mak Su dan Pak Su. Kalau Mak Su dan Pak Su fikir ini yang terbaik, maka terbaiklah untuk Az.”

“Alhamdulillah…tahniah Az…” Mak Su mengaminkan telapak tangan ke mukanya. Pak Su mengukir senyuman manakala Yaya sudah bertepuk tangan. Eh, dah tak merajuk ke?

Mak Su menghampiriku. Kucupan kasih dilayangkan pada ubun-ubunku. Jemarinya mencapai tangan kiriku. Aku kaget apabila Mak Su menyarungkan sebentuk cincin platinum dihiasi sebutir permata pada jari manisku. Kini, kucupan hangat singgah di kedua-dua

pipiku. “Sekarang Az dah jadi tunang orang. Jaga kelakuan tu. Cukup dua bulan terus kahwin.”

Aku ternganga. “Dua bulan? Cepatnya Mak Su!”

Mak Su mengerutkan dahi. “Kenapa nak lambatkan perkara baik sayang?”

Aku mengetap bibir.

“Tahniah, kak! Selamat bertunang Kak Az!” beria-ia benar Yaya memelukku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience