BAB 10

Romance Completed 11384

SEMAKIN merapati kamar tidur, jantungku bertambah laju degupannya. Helaan nafas juga tidak teratur. Sesak nafasku. Perlahan-lahan aku memulaskan tombol pintu setelah mengucapkan lafaz basmallah. Daun pintu kutolak lambat-lambat. Apabila pasti dan yakin Tengku Zaril tiada di dalam bilik itu, aku melangkah masuk mencapai tuala menuju ke bilik mandi. Jam sudah menunjukkan ke angka 11 malam tetapi aku belum menunaikan solat fardu Isyak. Cepat-cepat aku membersihkan diri dan mengambil wuduk. Bimbang Tengku Zaril merangkap suamiku itu memasuki bilikku yang bakal dikongsi dengannya.

Keluar dari bilik mandi, aku menghampiri wardrobe. Pakaian diambil lalu dibawa ke bilik mandi semula. Usai lengkap berpakaian, aku melangkah keluar bersiap sedia untuk menunaikan solat. Aku terpempan saat mataku menangkap sesusuk tubuh di balkoni sedang merenungku dengan pandangan yang sukar ditafsir. Spontan kurasa darah panas menyerbu ke muka. Malunya!

Dengan tangan terketar-ketar, aku membentangkan sejadah menghadap kiblat. Aku cuba menayang muka kayu apabila menyedari Tengku Zaril bergerak masuk dari ruang balkoni meskipun di dalam dada bukan main hebat lagi getarannya. Malu bercampur takut.

“Abang tunggu Az…nak solat jemaah.” Lembut suara Tengku Zaril menyapa gegendang telinga. Aku menala pandangan pada wajah bersih dan tenang milik lelaki yang sudah bergelar suamiku baru beberapa jam yang lepas. Terbit rasa terharu dari dalam hati. Dia sanggup menungguku semata-mata ingin menunaikan solat jemaah. Bibir mengukir segaris senyuman. Aku membentangkan sejadah lain untuknya. Anggukan diberikan sebagai balasan ucapan terima kasihnya. Untuk pertama kali, Tengku Zaril Hasnizam mengimamkan Azra Aryana. Bacaannya begitu syahdu menusuk ke dasar hati, menghantar rasa insaf.

Usai mengaminkan doa, Tengku Zaril berpusing manghadapku. Aku menyambut huluran tangannya lalu dicium penuh hormat. Saat itu ada satu perasaan halus yang mendamaikan bertapak di laman jiwa. Tangannya menyentuh lembut kepalaku. Aku mengangkat wajah. Tangan kanannya menyentuh lembut daguku sebelum dia menghadiahkan kucupan kasih di kedua-dua pipiku. Agak lama kucupan hangatnya singgah di dahiku. Hatiku tenang dengan sentuhannya.

“Azra Aryana, terima kasih kerana menerima abang sebagai suami. Mulai dari hari ini abang akan jadi imam kepada Az di dunia dan akhirat. Insya Allah. Abang harap Az sudi bergandingan dengan abang yang serba kekurangan ni untuk mempertahankan ikatan perkahwinan kita ni. Abang akan jaga Az selagi abang diberi peluang bernafas sebab Az merupakan tulang rusuk abang yang hilang tu dan Az juga amanah dari Allah untuk abang.” Ujar Tengku Zaril sambil menggenggam tanganku erat. Aku bagaikan dapat merasakan kasih sayang mengalir dari sentuhan hangatnya.

Nafas panjang dihela perlahan. “Errr…abang…Az ikhlas terima abang sebagai suami Az. Az redha dengan jodoh yang Allah tuliskan untuk Az. Cuma satu yang Az minta dari abang, pimpinlah Az ke syurga bersama abang.”

Senyuman manis terukir di bibir Tengku Zaril. “Tapi Az, kenapa ada errr? Tak pasti?”

Aku menggigit bibir memandang wajah nakal Tengku Zaril. Dia kelihatan segak dengan songkok di kepalanya. Melihat lelaki itu ingin bermain tarik tali aku segera bangun membuka telekung lalu diletakkan di atas penyidai. Niat hendak melangkah ke meja solek terhenti apabila terasa ada tangan membelai lembut rambutku. Jantungku kembali berdegup kencang.

“Cantik! Rambut Az tetap cantik macam dulu.” Perlahan sahaja suara Tengku Zaril. Senyuman mekar dibibirnya apabila aku berpusing memandangnya dengan dahi yang berkerut.

“Abang suka Az bila pertama kali abang pandang Az. Abang jatuh sayang pada Az bila pertama kali Az jeling abang. Abang jatuh cinta pada Az bila pertama kali abang cium rambut Az. Tapi masa tu Tuah sangat bertuah sebab dapat pegang Az. Masa tu abang cemburu sangat tapi abang tak mampu nak buat apa-apa. Hanya nasihat yang mampu abang titipkan pada Az supaya Az jaga diri Az.” Luah Tengku Zaril lembut sambil anak matanya tepat menujah anak mataku. Tangan kanannya mengusap pipiku. Aku mengunci bicara membalas renungan matanya. Hanya mata berbicara.

“Abang…” panggilku seraya menyentuh lengannya.

“Hmmm…”

“Az sayangkan abang, cintakan abang kerana Allah.” Dalam diam aku memasang tekad di dalam hati. Aku akan memupuk perasaan cinta untuk suamiku seutuhnya tidak melebihi cintaku pada Ilahi.

Tengku Zaril masih setia merenungku tetapi kali ini sepasang matanya berkaca. Dengan nada perlahan dia mengucapkan tahmid berulang kali. Aku bergerak ke meja solek, mengambil sekeping kertas kecil berwarna biru lalu menuliskan sesuatu. Aku kembali menghampiri Tengku Zaril yang setia menanti. Aku menghulurkan kertas kecil itu padanya.

Semoga Az dikurniakan suami soleh yang boleh membimbing Az dunia dan akhirat…

-AA-

Tengku Zaril tertawa perlahan membaca bait nota kecil dariku. Tanpa sempat aku berbuat apa-apa, Tengku Zaril menarik tubuhku ke dalam dakapannya. Aku tergamam namun lambat-lambat aku membalas rangkulannya.

“Abang pun sayangkan Az…kerana Allah.”

Aku tersenyum mendengar ucapannya. Rasa syukur kupanjatkan pada Ilahi. Aku terima takdirMu dengan ikhlas jika benarlah dia jodohku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience