BAB 7

Romance Completed 11384

“JAUH termenung Az!”

Sapaan Najwa menerbangkan segala perkara yang membelenggu kepala. Cepat-cepat aku mengukir senyum untuk menutup kealpaan. Malu pula apabila ditangkap dalam keadaan sedang termenung jauh. “Eh, mana ada Najwa. Az tengok pemandangan Bandar Kuantan ni. Cantik! Banyak benda dah berubah.”

Najwa yang berada sebelah tempat pemandu ketawa perlahan. Entah apa yang menggeletek hatinya. Kami berada di dalam perjalanan ke rumah ibu bapa Najwa sebelum berangkat ke sekolah menengah kami dahulu. Kupandang Tengku Raziq, suami Najwa yang menumpukan perhatiannya pada pemanduan. Orangnya boleh tahan sesuai dengan Najwa. Sudah hampir lima tahun mereka mendirikan rumah tangga. Mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Alhamdulillah, perkahwinan mereka bahagia dan dikurniakan seorang puteri comel yang diberi nama Tengku Nadira Raziqah bt Tengku Raziq. Mengingati kisah mereka, menghadirkan satu persoalan di dalam kotak hati. Adakah nanti aku bahagia dengan Zaril?

“Az teringatkan tunang tersayang kot. Kenapa tak ajak dia sekali?” Tengku mengusik. Aku senyum Cuma. Nak ajak Zaril. Jumpa pun tidak pernah.

“Errr…Najwa kenal tak siapa Zaril?” Aku melontar soalan. Zaril ada mendakwa bahawa dia merupakan temanku di sekolah. Namun aku tidak mengenalinya. Seingatku, nama teman-teman sekelas tiada yang bernama Zaril.

Tengku Raziq dan Najwa saling berpandangan. “Emmm…tak silap Najwa tak ada pulak yang nama Zaril tapi…” Najwa berjeda cuba bermain teka-teki denganku.

“Tapi?” Laju aku bertanya. Teruja ingin menyelidik perihal tunang sendiri.

“Sepupu Najwa ada yang nama Zaril.” Ujar Najwa sambil tergelak manja.

Aku menggelengkan kepala. Sabar ajalah dengan Najwa ni. Orang serius dia boleh main-main pulak. Huhuhu…

“Amboi sayang! Pandai kenakan Az ya?” Tengku Raziq mengerling sekilas ke arah isteri kesayangannya. Kemudian dia ketawa mengekeh.

“Dulu Najwa fikir yang Az dengan Tuah tu couple. Korang rapat sangat. Tuah pun terlalu ambik berat pasal Az.”

Demi mendengar bicara Najwa, aku tertunduk malu. Malu teringatkan ‘zaman jahiliahku’. Dahulu pergaulanku tidak dijaga begitu juga dengan butir bicaraku. Bertepuk tampar dengan lelaki tanpa rasa malu. Sungguh aku malu mengingatkan zaman itu.

“Tak adalah Najwa, kami ni teman biasa aja. Teman tapi mesra. Az pun dah lama tak jumpa Tuah.” Aku memberitahu perihal sebenar. Tidak mahu Najwa terus salah faham padaku.

“Yang Najwa tahu, Tuah sambung belajar kat London lepas habis SPM.”

Otakku cuba mencerna maksud kata-kata Najwa namun terbantut saat Tengku Raziq membelokkan keretanya ke dalam halaman sebuah bangle mewah dua tingkat. Anak mataku memerhatikan persekitaran bangle tersebut. Segalanya serba mewah.

Tengku Raziq mencempung Tengku Nadira Raziqah yang terlena di pangkuan Najwa. Serentak mereka keluar dari kereta menuju ke arah pasangan separuh abad yang menanti mereka di hadapan pintu utama. Cepat-cepat aku mencapai tas tangan, keluar dari kereta Tengku Raziq apabila Najwa menggamit. Aku menyalami kedua ibu bapa Najwa dengan penuh hormat.

“Welcome to our family.” Ujar Najwa dengan senyum simpulnya.

Aku terlongo apabila Najwa memperkenalkan ibubapanya sebagai Tengku Najmi dan Tengku Murni. Tidak kusangka mereka ini keturunan darah diraja dan Najwa?

“Tengku Nur Najwa?” Aku memandang Najwa dengan mata buntang.

Najwa mengangguk perlahan sambil mempamerkan senyumannya. “Pangkat tak bawa apa-apa Az…”

Aku mengangguk faham.

“Eh, kenapa berdiri kat sini? Jomlah kita masuk. Mari Az. Keluarga Mak Long ada kat dalam.” Tengku Murni memeluk bahuku mesra. Aku hanya menurut.

“Keluarga Mak Long ada? Amboi, tak sabar-sabar betul Mak Long ni!” Tengku Najwa bersuara mengundang tawa semua. Aku yang tidak mengerti hanya tersenyum sahaja.

USAI menunaikan solat maghrib berjemaah dengan kelurga Najwa, aku kembali ke bilik Tengku Nadya untuk menyiapkan diri sebelum berangkat ke sekolah lama kami. Aku mengenakan gaun labuh berwarna ungu dan tudung rona serupa. Muka pula hanya disolek nipis. Tidak mahu berlama di hadapan meja solek adik Tengku Najwa, aku segera melangkah ke ruang tamu di mana keluarga sedang berkumpul.

Tengku Raziq sedang bermain dengan Tengku Nadira Raziqah. Tiada bayangan Najwa di situ. Keluarga yang lain ralit menonton televisyen.

“Mana Najwa?” Ringan mulutku bertanya kepada Tengku Murni. Perbualan Tengku Murni dan kakak iparnya, Tengku Sarimah terhenti. Pandangan mereka terarah padaku.

“Tengah bersiap. Cantiknya Az!” Tengku Murni menarik lembut tanganku menghampirinya. Aku senyum malu. Segan yang amat apabila ahli keluarga yang lain turut memandang.

“Sari, tak berminat ke nak sunting Az ni jadi menantu?” Tengku Murni menepuk perlahan paha Tengku Sarimah. Belum sempat dia menjawab, Najwa muncul tiba-tiba menyampuk.

“Ma, tunang orang tu…”

Tengku Murni terkejut. “Ops, lupa pulak.” Kemudian dia tertawa pula.

“Jom Az, kita dah lewat ni.” Najwa memimpin Tengku Nadira Raziqah berjalan terkedek-kedek mendapatkan Tengku Raziq yang sudah berada di dalam kereta. Aku menyalami Tengku Murni dan Tengku Sarimah sebelum meminta diri.

“Ramai ke yang datang ni Najwa?”Tanyaku sebaik sahaja merapatkan pintu kereta. Tengku Raziq memulakan pemanduannya dengan cermat.

“Entahlah Az tapi Najwa dengar ramai jugak. Maklumlah dah lama tak jumpa dengan kawan-kawan ni.” Najwa menjawab sambil melayani keletah anak kesayangannya.

Kawan-kawan lama? Umi dan Aida? Bagaimana dengan mereka? Apa yang terjadi dengan sahabat-sahabatku itu? Sudah kahwinkah? Dengan siapa? Rindunya aku pada mereka. Ingin sekali aku melihat telatah nakal mereka. Anak mataku memandang sebuah keluarga bahagia yang berada di hadapan mata. Dahulu kerana kejahilan diri aku membenci Nur Najwa dan Sabariah. Mengumpat dan mengutuk mereka yang menutup litup aurat mereka. Merasakan diri bagus dengan memperlekehkan orang-orang yang mengikut perintah Allah. Sedangkan aku pula dengan bangga dan megahnya melakukan perbuatan yang mengundang dosa.

Mujurlah kini aku tersedar. Bangkit keluar dari lembah dosa yang mengheret aku ke neraka. Perlahan-lahan nota-nota kecil yang diutuskan Tuah menyentuh dan meninggalkan kesan di dalam dasar hati. Ditambah pula dengan peristiwa pahit yang meragut kebahagiaanku. Pemergian arwah ayah dan ibu yang amat kusayangi telah menyedarkan aku tentang hakikat hidup ini bukan abadi. Setiap yang hidup pasti akan mati. Aku juga akan menyusul tetapi tidak tahu bila. Dan jika mati, apa yang akan aku bawa nanti? Oleh sebab itulah, aku nekad untuk kembali ke pangkal jalan. Mempersiapkan diri dengan ilmu dan amal untuk menghadap Allah kelak.

Adik kepada ibu, Pak Su dan Mak Su bertanggungjawab untuk menjagaku setelah ketiadaan ibubapa. Mereka membawaku pindah dari rumah lamaku di Pahang ke Kuala Lumpur. Mereka mendidikku sama seperti mereka mendidik Yaya. Mereka membelaku dengan ilmu agama yang sempurna. Aku bersyukur kerana Allah menganugerahkan mereka kepadaku. Indahnya hikmah yang aku peroleh atas pahitnya ujian yang diberikan kepadaku dahulu. Dan kini dia menghantar jodohku pula di saat aku sudah bersedia. Semoga Zaril ini merupakan manusia yang taat pada Allah. Jauh di sudut hati aku berdoa agar dia mampu menjadi Imam hidupku. Biarlah berkahwin atas kehendak ibubapa saudaraku. Aku tahu mereka pasti menginginkan sesuatu yang terbaik untukku.

“Alhamdulillah, selamat sampai.”

Suara Najwa menyentak lamunanku. Aku memerhatikan keadaan sekeliling di mana kereta diberhentikan. Ini tapak perhimpunan pelajar. Subhanallah! Setelah sekian lama aku meninggalkan sekolah ini, malam ini aku hadir lagi untuk bertemu dengan kawan-kawan perjuanganku dulu.

“Az, tak nak turun ke?” Najwa tertawa melihat aku tersentak. Dia menggelengkan kepala. Jam di tangan kukerling sekilas. Sudah pukul Sembilan. Aku meminta diri untuk menunaikan solat fardhu Isyak di surau. Najwa dan Tengku Raziq mendahului masuk ke dalam dewan utama. Aku menapak ke arah surau yang terletak tidak jauh dari dewan. Suasana sekolah ini tetap sama macam dulu. Cantik. Kawasannya sentiasa dijaga.

Baru hendak melangkah ke halaman surau, tubuhku dirempuh oleh seseorang. Mujurlah tubuhku tidak sempat mencecah ke tanah apabila tangan insan itu memaut lenganku menghalangku daripada jatuh. Terima kasih tapi…aku memandang tangan yang masih memaut kejap lenganku. Kemudian pandangan kutalakan pada wajah insan yang merempuh dan menyelamatkanku tadi. Lelaki itu kelihatan tergamam memandangku. Riaknya bagaikan sedang melihat hantu. Menentang bola matanya menghadirkan debaran aneh di hati. Terleka seketika aku membalas renungan matanya. Namun aku cepat tersedar. Situasi seperti ini boleh menimbulkan syak wasangka orang dan mendatangkan dosa. Astaghfirullah…

“Terima kasih. Boleh tak lepaskan saya?” aku menundukkan pandangan. Tidak mahu terlalai memandang keindahan ciptaan Allah di hadapan mata. Aku menangkap suaranya beristighfar dan serentak itu pegangannya pada lenganku terlepas. Nasib baiklah berlapik.

“Maafkan saya…” ucapnya pendek. Aku membalas dengan anggukan. Aku segera meminta diri untuk menunaikan solat. Aku mengambil wuduk dan terus menghadap Ilahi. Usai mengaminkan doa aku melipat telekung dan meletakkannya ke tempat asal. Tudung kusarung kembali. Aku segera beredar ke dewan utama. Sampai sahaja di pintu masuk, aku disambut oleh dua orang wanita yang manis tersenyum. Aku membalas juga.

“Selamat datang dan selamat menjamu selera.” Ujar mereka berdua seraya menyerahkan beg kertas bersaiz kecil kepadaku. Aku menymbut dengan senang hati. Masuk sahaja ke dalam dewan, anak mata melingas mencari Najwa dan suami. Mujurlah Najwa melambaikan tangannya. Jika tidak, memang jenuhlah aku mencari mereka di dalam dewan yang cukup besar ini. Aku duduk bertentangan dengan Najwa sementara mata memerhatikan sekeliling. Suasana gamat dengan suara anak-anak kecil menjerit. Ramai teman-teman yang sudah mendirikan rumah tangga. Bibirku menguntum senyuman kecil.

“Hello…” Aku segera berpaling pada empunya suara yang menyapa. Terkelip-kelip aku mengamati wajah lelaki yang berdiri di hadapan mata. Lelaki tampan itu menguntum senyuman mesra dan mengangguk.

“Yes, I know you even you’re totally different.” Lelaki itu merenung wajahku. Lambat-lambat aku menarik senyum. Sedaya usaha memerah otak cuba mengingat wajah tampan itu. Perlahan-lahan wajah itu hadir dalam kotak memori. Senyumanku bertambah lebar.

“Tuah? Is that you? Tuah Zikri bin Halim? TZH?” aku teruja memandangnya. Kacak dengan jeans hitam dipadankan dengan kemeja hitam. Inilah dia lelaki dan sahabat yang membantuku kembali ke jalan Allah. Ingin sekali aku mengucapkan sejuta terima kasih kepadanya.

“Wait! Yes, I’m Tuah Zikri Halim but who’s TZH?” Tuah melabuhkan duduk rapat denganku menimbulkan rasa kecut dan tidak selesa memaksa aku menolak kerusi sedikit jauh darinya. Haram!

“Err..TZH? Tuah Zikri Halim?” ucapku gagap. Takut pula dengan renungan nakal dari sepasang mata milik Tuah. Dahinya berlapis, tidak memahami maksud bicaraku.

“Whatever! By the way, you look so beautiful tonight but I think the old Az is most beauty than now.” Merah padam mukaku menahan malu. Pasti Tuah sedang membayangkan diriku yang dahulu, yang jahil tanpa ilmu agama. Yang mempamerkan hiasan pada tatapan umum. Sungguh, aku sedang menanggung malu yang bukan sedikit.

“I like to see your beautiful and sexy hair…” Gumam Tuah perlahan tetapi cukup untuk membuatkan jantungku luruh serta-merta. Dia menjeling manja. Bulu romaku tegak. Seram melihat Tuah yang begitu berbeza dari dirinya yang dahulu. Aku memandang Najwa dan Tengku Raziq memohon bantuan. Air hangat bertakung di kolam mata. Takut dengan kelakuan Tuah dan takut pada Allah atas kesilapanku dulu.

“Tuah, please behave yourself. This’s not London okay?” Najwa bersuara keras. Merenung tajam ke arah Tuah. Tuah turut membalas.

“Encik Tuah, tolong jangan buat kecoh kat sini. Saya tak rasa yang Encik Tuah sanggup memalukan diri kat sini jika ditumbuk oleh saya.” Walaupun dalam lenggok bahasa yang lembut, Tengku Raziq member amaran keras pada Tuah. Tuah mendengus kasar menentang pandangan Tengku Raziq. Bimbang menerpa jiwa. Takut berlaku pergaduhan yang akan merosakkan majlis.

“Hubby, what are you doing here? Come, get me some food please…” seorang wanita berambut pendek yang diperangkan menghampiri Tuah. Tanpa silu, wanita itu merangkul manja leher Tuah. Aku memandang perut wanita itu yang memboyot dibaluti gaun satin ketat berwarna krim. Pelbagai persoalan datang mengetuk minda.

“I’m talking to ustaz and ustazah…come honey…” Tuah bingkas memeluk pinggang wanita yang sarat mengandung itu. Bibirnya sempat menghadiahkan senyuman sinis pada kami. Aku tertanya-tanya. Adakah mereka ini suami isteri?

“Tasya…” Ringan sahaja mulutku menyebut nama itu membuatkan langkah Tuah dan pasangannya terbantut. Tasya merenungku tajam.

“Azra Aryana?” Tasya bersuara setelah agak lama berdiam diri. Riak wajahnya nyata terkejut. Kemudian pandangannya dialihkan pada Tuah yang tenang bersahaja. Wajahnya yang putih melepak kini merah menahan marah. Belum sempat dia memuntahkan lahar kemarahannya, Tuah menarik tangan Tasya keluar dari dewan. Aku hanya beristighfar. Apa yang telah terjadi pada Tuah? Kenapa perbezaannya terlalu ketara? Dan yang paling penting, kenapa Tuah tidak mengetahui tentang ‘TZH’? Bukankah ‘TZH’ itu singkatan namanya? Bukankah dia yang menitip nota-nota kecil yang comel itu? Bukankah dia yang mengingatkan aku tentang agama dengan nota-nota itu? Kenapa dia tidak seperti yang aku bayangkan? Dia kini kelihatan seperti terlalu jauh menyimpang dari Islam. Sedangkan seingat aku, nota terakhir yang aku terima darinya ialah dua minggu lepas. Masih aku ingat dengan jelas bait katanya.

Ya ALLAH, sekiranya aku jatuh cinta, maka jatuhkanlah cintaku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu…

P/s: terima kasih…

-TZH-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience