BAB 1

Romance Completed 3430

Suara tetamu dari luar bilik hampir hendak membuat Hawa Naurah Qhaisara jatuh pengsan. Berkerut-kerut dahi Hawa Naurah.

“Suami kau kacak sangat! Aku rasa aku sudah jatuh hati dengan suami kau Hawa Naurah. Tadi dia senyum kat aku. Cair rasanya sekeping hati aku ni. Tahniah Hawa Naurah ! Pandai kau pilih bakal suami. Senyap-senyap saja kemudian terus kahwin. Kau buat aku dengan Nana terkejut sampai nak pengsan,”pekik Suraya dengan wajah yang sangat bahagia. Mengalahkan muka pengantin perempuan pula. Bukan main berseri-seri lagi wajah Suraya saat ini.

Kening Hawa Naurah Qhaisara sudah terangkat-angkat sedikit. Kacak sangat? Suraya ni mata juling ke?

“Nana kirim salam. Dia tak dapat datang. Kami berdua doa semoga kau hidup bahagia hingga ke akhir hayat bersama suami tersayang,”begitu kata Suraya, teman baiknya. Suraya sudah memeluknya erat, kemudian mengucup kedua belah pipinya.

Pembetulan Puan Suraya, bukan hidup bahagia. Tapi hidup huru-hara dan penuh kekusutan di sana sini.

Entahlah.. Hidupnya sudah berpusing 360 darjah sejak dia bertemu dengan lelaki yang sudah sah bergelar suaminya sekarang.

Dia hanya mampu mengulum senyum tipis. Hatinya kosong. Perasaannya kacau. Jiwanya entah sudah melayang ke mana. Selalunya dia hanya membaca kisah-kisah novel tentang kahwin tanpa cinta. Siapa sangka dia sedang melaluinya. Sedih? Tentu saja!

Hawa Naurah yang baik hati, cinta selepas kahwin itu lebih indah. Percayalah! Ayah dan ibu Hawa Naurah pun bercinta selepas kahwin. Mereka bahagia sampai sekarang

Memang, tapi itu zaman tok kadok dulu. Zaman sekarang sudah moden. Zaman sekarang bercinta dulu baru kahwin.

Haih.. Sebab teori begitulah kes pembuangan bayi semakin meningkat pada zaman moden ini. Zaman tok kadok dulu mana ada.

Hawa Naurah bukan macam itu. Hawa Naurah masih tahu jaga air muka ayah dan ibu. Hawa Naurah pun orang Islam. Hawa Naurah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Hawa Naurah yang manis, kenali dulu hati budi suamimu itu ya. Dia itu lelaki baik, bertanggungjawab, penyayang, rajin, pandai mengambil hati orang tua, kacak dan paling penting sekali, dia lelaki beriman.

Tapi nama dia Adam Rizqin ! Hawa Naurah nak panggil dia Han, dia tak suka. Hawa Naurah nak panggil dia Hani atau Ifah, terasa seperti nama perempuan pula. Sudahnya dia suruh Hawa Naurah panggil dengan nama Abu. Alahai.. Geli geleman tekak Hawa Naurah ni. Macam tak ada nama lain hendak di gunakan. Adam juga jadi pilihan.

Ada apa dengan sebuah nama? Nama Adam pun bagus juga. Romantik dan ringkas.

Romantik? Bukan macam nama orang tua ke?

Hawa Naurah sudah memicit dahinya berulang kali. Kepalanya sakit memikirkan masa depannya yang gelap dan tanpa arah. Hidup bersama Adam Rizqin sebagai suami isteri? Oh tidak! Membayangkan perkara tersebut hatinya sudah seperti mahu menangis kuat-kuat.

Kenangan tiga bulan lalu seperti layar perak menari indah di ruang mata. Kalaulah masa bisa diputar semula, sumpah, Hawa Naurah tidak akan keluar rumah hari itu.

“Lando nak pergi mana tu? Jangan keluar!”laung Hawa Naurah bila kucing kesayangannya si Orlando sudah pun melepasi pintu pagar.

“Degil Lando ni. Siaplah dia nanti. Aku dapat aku buat gulai. Suka sangat keluar rumah. Lepas tu gaduh dengan kucing jiran sebelah. Kalau menang tak apalah juga. Ini tidak, luka sana-sini,” omel Hawa Naurah sambil berlari anak untuk mengejar langkah si Orlando.

Orlando seperti biasa, berjalan dengan megahnya menuju ke rumah jiran sebelah. Konon hendak mengintai musuh tradisi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience