BAB 7

Romance Completed 3453

“Lepas tu apa mereka buat? Bunuh ular tu?”tanya Hawa Naurah, seperti seorang anak kecil pula.

“Mereka tak bunuh, sebaliknya mereka alihkan ular itu ke kawasan lain jauh sedikit dari kawasan perkuburan. Peliknya, ular itu sedikit pun tidak membelit atau mematuk jemaah yang mengiringi mayat perempuan tersebut ketika dialihkan.” Hawa Naurah sudah berwajah pucat. Sumpah, dia memang gerun melihat ular besar seperti yang diceritakan oleh Adam Rizqin sekarang.

“Sebaik saja mayat selamat dimasukkan ke dalam liang lahat, tiba-tiba ular besar yang menggerunkan itu menjalar dengan pantas dan meluru masuk ke dalam liang tersebut. Menjunam jatuh mengenai mayat perempuan malang itu. Tidak sampai beberapa saat, jemaah yang hadir terdengar bunyi seperti dahan-dahan pokok di patahkan. Bila mereka menjenguk ke dalam liang lahat, semuanya terkejut. Ular besar itu sedang membelit mayat perempuan itu serta mematahkan tulangnya. Subhanallah! Beberapa jemaah jatuh pengsan melihat kejadian tersebut.”

“Kenapa jadi macam tu? Apa salah perempuan tu?”

“Semuanya disebabkan solat, Hawa Naurah. Setelah disiasat, didapati perempuan itu selalu melengah-lengahkan solat sewaktu hayatnya macam apa yang Hawa Naurah buat sekarang. Memang melengahkan solat dimaafkan, tapi perlu ada sebab yang munasabah. Kalau sebab malas dan mengantuk, rasanya itu bukan alasan yang munasabah.”

Bagaikan sebiji batu besar tepat mengenai bahu Hawa Naurah. Dia kalah. Dia banyak dosa. Selama ini dia terlalu mengambil ringan tentang solat.

Hawa Naurah menyapu pelupuk matanya. Hatinya mulai gentar. Perasaannya jadi takut memikirkan nasib perempuan malang tersebut. Adakah dia calon seterusnya untuk menerima azab yang sama? Tidak!

“Saya tak nak Hawa Naurah jadi begitu. Hawa Naurah tanggungjawab saya sekarang. Abang harap lepas ni Hawa Naurah jaga waktu solat Hawa Naurah. Kita ambil pedoman dari kisah tadi. Itu baru seksaan di dunia akibat melewatkan solat. Kalau tinggalkan solat? Nauzubillah!”

Adam Rizqin meninggalkan dirinya dengan sebuah pertanyaan. Sebuah pertanyaan yang membuat dia kaku. Cemas sendiri. Resah gelisah mengenangkan selama ini dia mengabaikan waktu solatnya. Malah ada ketika dia meninggalkan kewajipannya itu.

“Saya bukan marah. Saya cuma nak didik Hawa Naurah. Kalau Hawa Naurah tak suka..”

“Hawa Naurah suka. Insya-Allah, Hawa Naurah takkan lengah-lengahkan solat lagi,”pintas Hawa Naurah. Dia sudah bingkas berdiri menuju ke kamar mandi. Enggan berlama-lama di situ. Bimbang Adam Rizqin melihat air matanya yang melaju membasahi pipinya.

Adam Rizqin menglum senyum lebar. Hatinya memanjat syukur bila Hawa Naurah tidak membantah kata-katanya. Benarlah kata Mak Jah. Kelakuan Hawa Naurah memang nampak kasar, tapi jiwanya lembut.

JANGGAL rasanya bila tiba-tiba hidup berdua. Hawa Naurah malu dengan Adam Rizqin. Rasa malu yang sangat tebal. Lebih-lebih lagi sekarang Adam Rizqin sudah tahu dia suka melengah-lengahkan solat.

“Hawa Naurah kerja hari ini?”

Seperti biasa suara itu lembut menyapa. Seperti biasa juga Hawa Naurah tetap mahu menjaga egonya yang setinggi langit itu. Lagipun Hawa Naurah dilanda rasa pelik. Kenapa Adam Rizqin yang dulu tak sama dengan Adam Rizqin sekarang? Mana perginya Adam Rizqin yang suka menyindir itu ya? Pelik, kan?

“Hawa Naurah ?”

“Ya? Apa dia?”

“Hawa Naurah kerja ke hari ni?”

“Hari ni? Oh.. Hari ni Hawa Naurah kerja.”

Semalam menikah dan hari ini Hawa Naurah ke tempat kerja. Cuti bulan madu? Langsung tiada. Memang dia sendiri yang meminta pada Adam Rizqin supaya tiada bulan madu. Dia segan dan cukup takut di tinggal berdua dengan Adam Rizqin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience