BAB 10

Other Completed 522

Imbas kembali…

Bulan Ramadhan tahun itu disambut meriah. Seperti biasa apabila hari
raya hampir menjelang, percikan bunga api dan mercun riuh kedengaran.
Tidak kurang juga suara kanak-kanak yang seronok bermain bunga api di
halaman rumah mereka.

Selesai berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah di rumah, Aisyah
dan ahli-ahli keluarganya keluar untuk solat Isyak dan solat sunat
tarawih di surau. Sesampainya mereka di surau, Rahim dan ayah ke
bahagian muslimin manakala Aisyah dan ibunya ke bahagian muslimat.

Azan mula dilaungkan. Aisyah mula berasa terpaut dengan suara pelaung
azan. Dia yakin, suara itu bukan tok imam kampung ini. Tetapi seorang
pemuda di kampung ini. Selepas azan dilaungkan, mereka mula membaca doa
selepas azan. Aisyah menoleh ke arah ibunya.

“Ibu, siapa yang azan hari ini?” Tanyanya.

Ibunya senyum. “Tak tahulah. Tapi ibu rasa itu bukan suara tok imam.”
Jawab ibunya.

Aisyah hanya mengangguk. Selepas iqamat dilaungkan, solat fardu Isyak
didirikan sebelum solat sunat Tarawih dan solat sunat witir. Usai
bersolat, Aisyah bersalaman dengan jemaah wanita yang berada di sebelahnya.

Di luar surau, jamuan kecil ada disediakan untuk para jemaah. Mereka
menikmati sedikit hidangan yang tersedia sebelum pulang ke rumah
masing-masing. Aisyah bersama dengan ibu dan ayahnya berjalan untuk
pulang ke rumah mereka. Rahim pula masih sibuk mengemas meja dan kerusi.

“Adik!” Rahim memanggil adiknya.

Aisyah menoleh ke belakang. “Ada apa, abang?”

Rahim membuat isyarat tangan supaya Aisyah mendekatinya. Aisyah
memandang ibu dan ayahnya semula.

Ibu dan ayah tersenyum. “Tak apa.. ibu dan ayah boleh balik sendiri.
Nanti adik balik dengan abang, ya?”

Aisyah mengangguk. Selepas bersalam dengan orang tuanya, Aisyah berjalan
mendekati Rahim. “Ada apa, abang?” Tanyanya lagi.

Rahim menggaru belakang kepalanya. “Tolong kutip pinggan dengan cawan,
boleh?”

Aisyah senyum. “Oh! Boleh.. Tak ada masalah..” Ujarnya.

Rahim mengangguk kecil kemudian beredar ke belakang surau untuk membantu
mereka yang lain. Aisyah meletakkan beg telekungnya di atas meja
kemudian mula mengutip pinggan-pinggan kotor sebelum meletakkannya di
dalam sebuah besen. Cawan-cawan kotor pula di asingkan.

“Adik, jom balik!” Ajak Rahim.

Aisyah menoleh ke arah abangnya. “Siapa nak basuh pinggan-pinggan ni semua?”

“Nanti Mak Nab dengan Mak Zai tolong cucikan.” Jawab Rahim.

Aisyah mengangguk. “Okey, jom!” Aisyah mengambil beg telekungnya semula.

“Sekejap.” Ujar Rahim. Dia tertoleh-toleh ke belakang seperti mencari
seseorang. “Iskandar !”

Iskandar yang sedang bersembang dengan pemuda-pemuda kampung segera
memandang Rahim.

“Jom kita balik sama-sama!” Ajak Rahim.

Iskandar mengangguk kemudian berjalan ke arah mereka.

“Adik tak kisahkan kalau abang ajak Iskandar balik sama-sama dengan kita?”
Rahim bertanya pada Aisyah.

Aisyah menggeleng perlahan.

Mereka bertiga berjalan pulang bersama-sama. Rahim berjalan di
tengah-tengah manakala Aisyah di sebelah kanannya dan Iskandar di sebelah
kirinya. Tidak sampai separuh pejalanan, mereka diganggu oleh seseorang
yang sedang menaiki motorsikal. Orang itu berhenti di hadapan mereka.

“Hai Aisyah..” Mazlan menegur. Aisyah pula hanya menundukkan wajahnya.

Mazlan ketawa. “Janganlah malu-malu, Aisyah..” Kata Mazlan lagi.

Rahim yang sejak tadi memerhati kelakuan Mazlan, mula berang dengan
sikap Mazlan yang mula menggatal dengan adiknya. Dia masih teringat
lagi, adiknya yang baru pulang dari sekolah ada memberitahu bahawa
Mazlan memegang tangannya secara sengaja. Rahim mengepal-ngepal penumbuknya.

“Kau nak apa, Mazlan?” Tanya Rahim.

Mazlan memandang Rahim. “Saja aku nak bertegur sapa dengan Aisyah.
Kenapa? Salah ke?” Mazlan ketawa.

“Memang salah!” Jawab Rahim.

Mazlan berhenti ketawa. “Apa pula salah? Macam lah Aisyah ni dah berpunya!”

Rahim mengetap giginya. Dia berusaha menahan amarahnya. Adiknya pula,
mengusap-usap tangan abangnya sambil memujuk supaya bersabar. Iskandar yang
berdiri di sebelah Rahim hanya diam tanpa berkata apa-apa.

“Kenapa diam? Betullah kan Aisyah ni belum berpunya? Jadi aku ada hak
untuk rapat dengan dia!” Mazlan ketawa lagi. Rahim mengepal-ngepal
penumbuknya. Aisyah pula semakin cemas. Takut jika abangnya bertindak
kasar terhadap Mazlan.

“Memang Aisyah dah berpunya!” Iskandar tiba-tiba bersuara.

Rahim dan Aisyah serentak memandang Iskandar yang kelihatan tenang.

“Oh, ya? Kepunyaan siapa?”Mazlan bertanya.

Iskandar senyum. “Kepunyaan saya..”

Aisyah dan Rahim terkejut. Mereka adik-beradik berpandangan sebelum
memandang ke arah Iskandar semula. Mazlan berhenti ketawa namun senyuman
sinis dibibirnya masih ada.

“Dia belum jadi tunang kau, kan?”

“Saya akan datang meminang Aisyah dalam masa yang terdekat ni.” Jawab Iskandar .

Jawapan Iskandar membuatkan hati Aisyah berdebar-debar.

Mazlan mendengus. “Mimpilah! Aku akan masuk meminang dia dahulu sebelum
kau, Iskandar ! Aku akan memiliki dia dahulu!” Usai berkata, Mazlan
menghidupkan enjin motornya kemudian pergi meninggalkan mereka bertiga
sambil ketawa.

Rahim mengeluh. Aisyah pula diam sambil menunduk manakala Iskandar masih
lagi kelihatan tenang seperti tadi. Rahim menoleh ke arah adiknya
sebelum memandang Iskandar .

“Kau serius dengan kata-kata kau tadi?” Tanya Rahim.

Iskandar memandang Rahim kemudian dia mengangguk.

Rahim memandang Aisyah. “Adik macam mana?”

Aisyah tersentak kecil. Dia mula gelabah. Tidak tahu apa jawapan yang
perlu diberi.

“Adik..” Panggil Rahim. Iskandar juga menunggu jawapan dari Aisyah.

“Saya masih sekolah, Iskandar ..” Akhirnya Aisyah menjawab.

Iskandar senyum apabila mendengar jawapan dari Aisyah. “Saya boleh tunggu.
Lagipun saya ada lagi empat tahun untuk belajar. Dalam masa tu, mungkin
awak dah dapat diploma.” Jawab Iskandar .

Aisyah hanya diam. Tidak tahu apa yang perlu dijawabnya. Akhirnya
persoalan itu dibiarkan begitu sahaja. Mereka bertiga meneruskan
perjalanan mereke pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, salah seorang
pun tidak bersuara. Masing-masing bermain dengan persoalan yang berada
di minda.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience