BAB 15

Other Completed 522

“Aku terima nikahnya Aisyah Sofea Binti Abu Bakar dengan mas kahwinnya
tiga ratus ringgit tunai…” Ucapan akad itu masih lagi terngiang-ngiang
di telinga Aisyah. Aisyah tersenyum gembira. Dengan sekali lafaz, Aisyah
sudah sah menjadi isteri buat Iskandar pada pagi tadi. Dia melihat
hadiah-hadiah pemberian dari kawan-kawannya. Tidak kurang juga dari
saudara-mara yang datang dari jauh.

Iskandar mengetuk pintu dari luar kemudian dia memulas perlahan tombol
pintu bilik pengantin mereka yang dihias secara sederhana. Pintu bilik
ditutup semula. Iskandar tersenyum apabila memandang wajah isterinya yang
sedang tersenyum ke arahnya.

“Assalamualaikum…” Ucap Iskandar . Dia menghampiri isterinya yang berada di
katil dan duduk bersebelahan dengan Aisyah.

“Waalaikumusalam..” Aisyah menjawab salam Iskandar .

Iskandar mencapai tangan kanan Aisyah. “Terima kasih kerana sudi menjadi
isteri abang..” Kata Iskandar malu-malu. Secara jujurnya, Iskandar berasa
kekok untuk membahasakan dirinya sebagai ‘abang’ dengan Aisyah. Namun
dia akan membiasakan dirinya dengan panggilan itu.

Aisyah senyum. “Alhamdulillah.. Semuanya kehendak Allah.”

Iskandar perlahan-lahan membawa Aisyah ke dalam pelukannya. Aisyah berasa
malu apabila berada dekat dengan suaminya namun pada masa yang sama, dia
berasa selesa dan hangat ketika di dakapan Iskandar . Iskandar mengucup
ubun-ubun isterinya. Aisyah tersenyum.

Tok ! Tok ! Ketukan di pintu membuatkan pelukan mereka suami isteri
terlerai.

“Mak su! Pak su!” Qayyum memanggil dari luar.

“Err.. Ya, Qayyum! Ada apa?” Tanya Aisyah sedikit gugup.

“Ayah suruh Mak su dengan Pak su turun bawa hadiah! Kita buka sama-sama
dekat ruang tamu.” Ujar Qayyum lagi.

“Okey! Sekejap lagi kami turun, ya?” Iskandar pula menjawab.

“Okey, Pak su!” Qayyum terus berlalu dari bilik mereka berdua.

Aisyah bangun dan mula mengambil hadiah-hadiah yang kecil. Iskandar juga
membantu dengan mengangkat hadiah-hadiah yang berat. Iskandar dan Aisyah
berjalan bersama-sama. Tombol pintu dipulas. Sebelum keluar dari bilik,
Iskandar mendekati isterinya lalu mencium dahi Aisyah. Aisyah tertunduk
malu. Semoga perkahwinan yang dibina oleh mereka diredhai oleh Allah dan
berkekalan hingga ke syurga...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience