BAB 1

Mystery & Detective Completed 360

Hari keempat berturut-turut aku lihat budak lelaki dekat selekoh Jalan
Kemboja, berhampiran landasan keretapi lama. Aku tidak pernah ambil
peduli. Manalah tahu dia sedang menunggu seseorang, dengar cerita
berhampiran kawasan itu ada sebuah tadika. Tetapi apabila aku
silau-silau dari dalam kereta tidak pula aku nampak. Yang tambah pelik
aku habis kerja pukul enam petang dan akan tiba di selekoh Jalan Kemboja
hampir magrib. Mana ada tadika buka sampai lewat petang.

“Ah… biarlah yang aku risau pasal apa pulak. Bukan urusan aku pun. Entah
anak siapa pun aku tak tahu. Keluarga dia pun satu. Biarkan budak kecil
tu merayap tak tentu hala. Kena culik baru padan muka. Mintak-mintak
anak mereka kena culik. Baru menangis.” Aku jadi meluat tiba-tiba.

Macam biasa, aku lalui lagi Jalan Kemboja, dan macam biasa aku pasti
budak kecil dengan sekaki payung dan seekor teddy bear coklat pasti
berada di situ.

“Mesti budak kecil tu tengah merayap macam biasa kat situ. Nasib baik
bukan adik aku. Kalau tak aku lempang dah.”

Jangkaan aku tepat seratus peratus. Budak lelaki itu masih diselekoh,
bermain-main dengan kelikir halus. Terlompat-lompat macam beruk kena
belacan. Hari ini agak lain kerana dia bawa beg galas.

Lima belas minit sebelum tiba ke Jalan Kemboja, suasana bertukar sunyi
dan muram. Memanglah sebab kawasan itu merupakan jalan lama yang jarang
dilalui. Lebuh raya sudah terbina, jalannya juga lebih selesa. Salah
satu faktor kenapa Jalan Kemboja sepi. Tapi bagi yang bergaji ciput
macam aku. Jalan Kemboja adalah penyelamat ekonomi.

Nyalaan lampu keretaku menagkap susuk tubuh budak itu yang meluru ke
tengah jalan raya. Aku tekan pedal brek. Terdorong aku ke depan.

“Gila punya budak. Silap hari bulan arwah aku,” terbutang mataku menatap
budak itu. Gigiku terketap-ketap menahan geram. “Buk…” aku buka pintu
kereta. Melaju aku ke arah budak itu.

Bila aku hampiri budak itu melompat-lompat ceria. Senyum dia lebar
sampai ke telinga. Makin suka dia, makin kuat dia ketawa.

“Yeh… yeh… abang datang. Yeh… yeh… abang datang nak main dengan adik.”
Budak itu terus melompat.

“ Adik buat apa kat sini. Pergi balik. Orang tak merayap waktu macam ni.
Nanti keluar hantu, habis disedut darah adik tahu.”

Lompatan budak kecil itu terhenti. Direnung wajahku. Dia senyum. Agak
lama jugalah dia senyum. Kemudian tanpa sebab dia ketawa. Dicapai tangan
teddy bearnya. Kemudian berkata.

“Abang ni orang ajak main, dia suruh kita balik. Usik hantu pula tu…
macamlah dia berani sangat.” Budak itu cium teddy bear berkali-kali.
Baru aku perasan teddy bear itu tiada mata. Mungkin hilang.

“Abang tak takut hantu, tapi hantu yang takut dengan abang,” nada angkuh
terbit. Aku senyum mengusik. Budak itu buat muka biasa.

“Abang main dengan adik nak tak?” tanya budak kecil itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience