BAB 6

Mystery & Detective Completed 360

“Abang… abang… abang kat mana. Adik tengah cari ni,” sayu budak itu
menyeru. Makin biru wajahku.

“Pergilah kau menyorok. Kau dah setuju nak main dengan dia kan. Kau tahu
tak kenapa sekolah ni berkawat di sebelah atas. Supaya orang sombong
macam kau tak boleh lepas. Biar budak tu dapat mata baru. Tadi aku suruh
kau balik degil. Sekarang aku dah tak boleh tolong,” leter lelaki tua
itu. Tiada belas ditunjukkan.

“Pak cik tak kasihankan saya.” Aku pujuk.

“Tak… cuba kau tengok parut kat muka aku. Sebab tolong orang macam kau
lah aku kena serang hantu tu. Sudahlah aku nak balik. Kau terimalah
nasib kau.” Lelaki tua itu menapak laju.

Aku menjerit, minta diselamatkan. Suara budak kecil itu semakin sayu,
makin meratah semangat yang tersisa.

“Abang… abang… abang kat mana. Abang kat pintu pagar ya? Jangan lari,
nanti adik ikut,” ketawa mengilai bertebaran.

Dari tingkap kaca tingkat dua budak kecil itu senyum. Aku berlari menuju
ke tangga. Apa pun yang terjadi aku harus menyorok hingga esok pagi.
Orang kata hantu tak keluar siang.

“Yeh… yeh… dah jumpa abang. Abang jangan lari. Adik dah menang dua
mata,” jerit budak itu garau.

Makin laju aku berlari. Aku sudah nekad mahu kunci pintu dan berkurung
hingga matahari terbit. Mungkin sudah rezeki, sebuah bilik bersebelahan
pokok besar terkuak daun pintu.

“Ada juga tempat aku nak sembunyi. Aku kena cepat sebelum mata aku kena
cungkil.” Aku melangkah laju. Masih menggigil. Bau hancing seluar
menyengat hidung. “Kalau orang tahu aku terkencing sebab takutkan hantu.
Mampuslah kena gelak sakan.”

Tergopoh-gapah aku masuk. Kukunci pintu dari dalam, malah kayu
berhampiran aku guna buat sendal pintu. Makin kuat makin selamat.

Aku hampir menjerit bila berpusing, rangka-rangka berulat tergantung.
Tiga kesemuanya. Bau busuk usah diceritakan. Yang pasti ketiga-tiga
tidak bermata.

“Mesti setan tu punya kerja,” geram dan takut saling memaut. Aku tidak
tunggu lama. Aku menyelinap di antara timbunan meja dan kerusi lama. Aku
duduk diam. Aku tenang kerana merasakan aku selamat. Tapi bau busuk
daging mereput dan hanyir darah betul-betul memualkan. Aku tetap bertahan.

Pintu bilik diketuk berkali-kali. Suara garau itu ketawa mengilai,
kemudian bertukar kepada tangisan sayu budak kecil.

“Abang tipu adik… kata nak bagi mata kalau adik menang. Abang sama macam
orang lain suka tipu. Adik benci abang…” makin nyaring suara budak itu
menangis.

Tingkap kecil di sudut membenarkan cahaya bulan memancar masuk.
Terhayun-hayun mayat-mayat itu. Aku tidak tahu kenapa, sedangkan angin
tidak bertiup.

“Ah… sudah. Makin berat dah ni. Macam mana aku nak lari.”

Pintu bilik ditendang. Mula-mula perlahan kemudian bertukar kuat.

“Abang bukalah pintu. Adik nak mata,” tekan budak itu. Suara garaunya
bergema.

“Buk!” kayu yang kusendal tergolek jatuh. Pintu dipulas berkali-kali.
Akhirnya terbuka juga. Budak itu terlompat-lompat dan berpusing-pusing
riang.

“Yeh… yeh… abang nak bagi mata. Yeh… Yeh… adik dapat mata.” Budak kecil
itu sangat gembira. Dalam suluhan cahaya bulan dia menyeringai. Macam
serigala bila kulihat barisan giginya. Matanya terbuka luas dan
mencerlang merah. Bulu romaku makin meremang.

Masih terlompat-lompat dan ketawa. Akhirnya budak kecil itu berhenti
menunding jari kepada setiap jasad yang tergantung.

“Satu dah mati… dua dah mati…” ketawa mengilai seketika. “Tiga pun dah
mati… bila empat nak mati.”

Aku tersentak. Kali kedua aku terkencing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience