BAB 5

Mystery & Detective Completed 360

Aku berpusing. “Pritt…” Bunyi sesuatu dipijak. Aku angkat kaki. ‘Ah…
mungkin lipas. Tapi terasa seperti terpijak guli. Aku rendahkan badan,
ku ambil dan kutilik. Aku muntah.

“Abang tak suka ke dengan mata adik.” Budak itu berdiri dan
menghentak-hentak kaki. Mendengus marah, kemudian bernada sayu.

“Abang pijak mata adik. Abang tak suka main dengan adik.”

Aku angkat kepala. Terkejut bila kulihat wajah tanpa mata. Budak itu
benar-benar tidak bermata. Dua lubang hitam kelihatan.

“Tak apalah abang... adik ada mata lain,” nada seram bergetar.

Beg yang digalas, ditarik zipnya. Aku masih terpaku. Kakiku menggeletar,
tidak mampu dihayun. Sebuah kotak kecil dikeluarkan. Dan aku yakin bau
busuk dan memualkan itu adalah daripada kotak yang sedang dipegang.

“Kenapalah aku tak perasan dari tadi,” makin kuat gigilan badanku.

“Adik ada banyak mata. Ada yang biru, hijau, koko. Tapi yang hitam dah
hancur abang pijak.” Budak itu tenung marah. Dilempar kotak yang
dipegang, maka bertaburanlah bola-bola mata. Malah ada bola mata yang
sudah reput dan berlendir. Baunya usah diceritakan. Tidak sanggup
dibayangkan walau hanya sesaat.

“Adik pakai mata hijau. Cantik tak.” Budak itu menolak-nolak bola mata
ke soket mata. Agak payah kerana sekali dua dia menjerit. “Arrr…” Amat
menyeramkan.

Lendir pekat berbuih mengalir daripada alis matanya. Ada secarik daging
yang terjuntai. Makin menakutkan bila dia senyum. Aku terkencing.

“Sebab abang dah pijak mata adik. Sebagai balasan abang menyorok dan
adik pula yang cari. Siapa yang menang dapat dua mata.” Budak itu
melompat daripada atas almari buku. Dia kini berdiri betul-betul di
hadapanku. Ah! Amat meloyakan bila wajah itu dapat kulihat jelas.
Mengerutu macam kulit katak. Bersiung pendek. Matanya hampir lunyai.
Mungkin kerana ditekan kuat ketika dimasukkan ke soket mata.

Budak kecil itu senyum. “Adik dah nak kira ni. Abang pergilah menyorok.”
Budak itu melentokkan kepala. Macam hendak patah leher dia aku lihat.
“Tak sabar nak dapat dua mata.” Dia mula mengira.

Dalam payah aku pegang peha dan kuangkat. Aku hayun kaki setapak demi
setapak. Gigilan badanku makin menjadi-jadi. Peluh jantan ku menyimbah
keluah, lencun baju dan seluarku. Bila sahaja melangkah keluar dari
pintu, semangat ku terbit sedikit. Berbekal semangat yang tersisa, aku
pergi ke pintu pagar, tapi malang pagar berkunci. Lelaki tua itu berdiri
di balik pagar. Aku sedikit lega.

“Tolong saya pak cik. Buka pintu pagar ni,” rayuku.

“Kau siapa nak arah aku. Aku hanya buat kalau aku mahu. Tak payah nak
arah-arah aku.” Lelaki tua itu memangkah.

“Pagar ni berkawat tajam. Saya tak boleh keluar. Selamatkan saya. Ada
hantu!” makin kuat rayuanku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience