Bab 4

Romance Series 6073

Kami makan dekat kedai mamak yang selang satu bangunan daripada tempat kerja aku. Kami jalan kaki ke kedai kerana jarak yang hanya sekangkang kera. Sebelum pergi makan, Aidan sempat tukar baju dekat kereta dia terlebih dahulu. Kereta dia dengan aku hanya berpisah beberapa kotak parkir saja.

Bila dah siap oder dan makanan pun dah terhidang di atas meja, dia masih tak bercakap. Dia senyap seribu bahasa sambil tangan sibuk menatal skrin telefon di tangan. Sesekali kening lebat dia akan berkerut sedikit.

Dan aku pula?

Hanya fokus pada nasi goreng daging yang berada di depan mata. Ini makanan aku yang pertama selepas 16 jam berlapar. Terlampau sibuk dengan kerja sampai tak sempat nak makan. Kalau musim peak period, memang berat badan aku akan turun secara mendadak.

"Kau kebulur?"

Masuk suapan yang ketiga, baru suara garau Aidan menjengah ke telinga. Aku pandang dia dari ekor mata sebelum anggukan kepala. Kemudian, aku sambung suap nasi goreng seperti orang bodoh.

"Kau ni pelik, perempuan."

Sebab dia selalu sangat cakap benda yang menyakitkan hati. Jadi, aku anggap aje komen dia ibarat angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di tepi telinga. Langsung tak tinggal sebarang jejak pada sanubari.

"First time aku jumpa orang makan dekat kedai mamak, oder nasi goreng daging. Habis sangat orang akan oder mi goreng mamak kalau tak makan nasi kandar atau roti nan."

Aku jeling sekilas roti nan dan ayam tanduri yang berada di hadapan Aidan, lalu angguk tanpa sebarang punca. Sejujurnya, aku tak suka bercakap waktu makan. Itu yang sejak tadi, aku cuma anggukan kepala sebagai respons.

"Sedap sangat ke?" soal dia dengan suara yang tertahan-tahan. Mungkin berang gara-gara tindak balas aku yang sangat hambar. Dia rasa egonya tercabar.

Aku cuma anggukan kepala walaupun riak muka dia dah ketat seperti orang sembelit. Bukan sengaja nak tuang minyak pada api yang sedang membara, tapi mulut aku penuh nasi. Tak sopan bercakap waktu makanan ada dalam mulut. Nampak biadab. 

"Haih, perempuan. Kau memang suka cari fasal dengan aku." Sambil mengomel, tangan dia yang sedang pegang camca bergerak ke arah pinggan aku.

Dan belum sempat camca dia mendarat, kedua-dua belah tangan aku terlebih dahulu melindungi pinggan sendiri daripada kena ceroboh. Aku pandang muka dia lalu gelengkan kepala dalam dua tiga kali.

"Kedekut! Aku nak rasa sikit aje." Sepasang mata dia mencerlung.

Kadang-kadang, aku rasa lelaki ini ada masalah ingatan. Dalam masa tak sampai sejam, dia boleh amnesia. Konon tadi nak sertu bagai. Sekarang dia nak rasa makanan aku pula. Dia dah nampak aku macam manusia ke?

"Saya tak share makanan dengan orang."

Itu bukan jawapan mengelat, tetapi memang perangai aku sejak azali. Aku tak suka kongsi makanan dan minuman dengan orang. Termasuk famili sendiri.

"Bodi kau share pula," balas dia dalam nada ejekan dan bersama pandangan sinis.

Nasib baik aku ada pengalaman 10 tahun kena cela dengan famili sendiri. Sekurang-kurangnya, boleh bantu bila berhadapan dengan mulut longkang Ahmad Aidan. Kalau aku ni masih newbie, dah lama lidah dia kena potong.

"Kau belajar sampai tahap mana?" tanya dia tiba-tiba dan melencong jauh daripada topik sharing is caring.

"Degree." Padahal aku bukan budak degree. Aku ambil professional paper dekat UiTM. Tapi kerana malas nak cakap banyak, aku guna cara short cut.

"Ada degree, tapi bodoh."

Terangguk-angguk kepala aku seraya suap nasi masuk ke dalam mulut. Lebih baik aku sambung makan daripada melayan perangai moody Aidan yang seperti perempuan datang bulan.

"Perempuan kalau bercinta memang bengap, kan? Salah sorangnya, kau!" Jari telunjuk dia menghala tepat pada muka aku. Kalau boleh, dia nak cungkil terus mata aku rasanya.

"Sakan bercinta sampai tergadai habis bodi. Aku juga yang jadi mangsa kena kutip sepah orang," tambah dia dalam bentuk bisikan. Mungkin takut pelanggan yang berada di meja belakang kami tumpang dengar sama.

"Iaaa... saya memang bodoh."

Aidan tersenyum lebar hingga ke telinga gara-gara pengakuan jujur aku. Dia siap tunjuk isyarat bagus lagi dengan ibu jari sebelah kanan.

"Awak pula manusia yang sangat pandai, Aidan."

Makin lebar senyuman pada wajah bekas tunang Dayah. Namun sebaik saja dengar sambungan ayat aku yang seterusnya, mati terus senyuman dia. Muka berubah keruh seperti orang baru lepas telan hempedu.

"Terlampau pandai sampai tak sedar Dayah curang dengan awak. Tup-tup, dia dah kahwin lari dekat Siam. Dan tup-tup, awak kahwin dengan saya. Sepah yang habis madu." Bersahaja aje intonasi suara aku bersama muka yang tak berperasaan.

"Kau..." seru dia pendek sebelum dia tarik nafas panjang-panjang dan hembus ikut mulut. Sejurus kemudian, dia sumbat kasar roti nan ke dalam mulutnya. Nampak sangat dia tengah lepas geram secara halus.

Aku tahan senyum yang hampir mekar di bibir dengan meneguk sedikit kopi O kosong di dalam gelas. Bila titisan kopi lalu di anak tekak, serta-merta badan rasa semangat. Hilang terus penat lelah selepas separuh hari menghadap dokumen klien.

"Hujung minggu ni adik aku kahwin."

Selang beberapa minit, baru suara garau Aidan kembali kedengaran di meja kami. Dan reaksi aku, hanyalah angguk semata-mata. Sebagai tanda yang aku dengar dan faham.

"Aku nak kau datang kenduri adik aku nanti."

Terhenti terus segala pergerakan aku. Anak mata hanya tenung nasi goreng dalam pinggan bersama kening yang bercantum. Aku salah dengar atau lelaki ni tengah mabuk air ketum?

"Ni ke benda yang awak nak minta tolong saya? Datang kenduri adik awak?" tanya aku sepatah demi sepatah.

"Hurmm." Dia berdeham dengan muka yang separuh rela. Seolah-olah jemputan dia tadi langsung tak ikhlas.

"Kenduri adik awak masak sendiri?"

"Takkan kenduri dekat hotel nak masak sendiri, perempuan?" Dia tenung aku tajam.

Ooo... manalah aku tahu. Dia jemput pun pakai mulut semata-mata. Mana ada bagi kad kahwin. Kalau dapat kad, boleh aku tengok lokasi majlis.

"So, kenapa awak jemput saya? Apa yang saya boleh tolong awak? Nak tolong cuci pinggan, kenduri adik awak dekat hotel." Aku bukan nak merapu. Tapi dengan situasi kami berdua, hanya itu yang terlintas dalam kepala.

"Kau tolong datang sebagai isteri aku."

Suara Aidan awal-awal aje lantang. Bila sampai dekat hujung ayat, nada suara dia berubah perlahan. Seakan-akan sedang berbisik dalam kelambu pun ada.

"Sebagai apa?" Aku dengar cuma tanya lain untuk kepastian. Takut juga salah dengar. Yalah tak mungkin dia mengaku aku sebagai isteri.

"Sebagai..."

Hanya sepatah perkataan yang meluncur keluar dari bibir dia. Perkataan lain tergantung bila empunya suara sibuk menggaru belakang kepala. Sesekali dia akan mendengus sambil mengusap muka.

"Sebagai is... isteri aku," ucap dia tergagap-gagap.

"Awak sedar atau tak, Aidan? Awak dah gantung saya tak bertali selama lima bulan. Takkan awak nak bawa perempuan hina ni ke kenduri kahwin adik awak? Tak malu?"

"Malu memang malu, tapi terpaksa."

"Terpaksa kerana ibu awak yang suruh?"

Itu bukan soalan serkap jarang, tapi aku yakin dengan telahan diri sendiri. Aidan mulut longkang dan gengster hanya dengan aku seorang. Dengan ibu sendiri, dia seorang anak yang misali. Sanggup buat apa saja demi ibu yang tersayang.

"Yup, kerana ibu. Kalau ikut hati aku, memang aku takkan show off kau sebagai bini. Buat jatuh air muka aku aje."

Ayat dia pedas lagi berapi. Namun memek muka aku, masih tak berubah. Tetap kosong tanpa sebarang emosi. Kalau pamer muka sedih pun, dia bukan nak kesian. Silap-silap, dia cap aku sebagai manusia munafik. Macam dua bulan lepas.

"Kalau macam tu, saya tak nak tolong awak. Kerana sebagai isteri yang baik, saya kena jaga air muka dan maruah suami saya. Betul tak, abang?" tanya aku bersama lenggok yang manja. Padahal aku sendiri geli-geleman nak bermanja dengan Aidan.

"Ya Allah... sakitnya jiwa aku!" Aidan merintih sembari menumbuk perlahan dadanya. Bebola mata menusuk tepat pada muka selamba badak aku.

"Kau jangan sesekali panggil aku abang, perempuan! Lagi sekali kau panggil aku abang, aku gantung kau bertali," ugut dia dengan gigi yang terketap rapat.

Aku sekadar senyum senget.

Gantung aku bertali bermaksud dia nak bunuh aku. Pertama kali orang nak bunuh aku secara fizikal. Selama ini, orang cuma bunuh mental dan perasaan aku berulang kali dan tanpa belas ihsan.

"Okey juga. Saya mati. Awak jadi pembunuh. Awak duduk dalam penjara. Boleh awak rasa duit cukai rakyat." Aku tayang ibu jari sebelum sambung makan seperti biasa.

"Kau, perempuan..." Dia tunjul bahu aku guna hujung camca. Ekspresi muka dia memang jijik habis dengan aku.

"Patutlah babah benci kau. Bukan setakat mencemarkan nama keluarga, tapi perangai annoying. Beza sungguh dengan Dayah. Ibarat bidadari dengan setan." Dia tergelak sarkastik pada penutup ayat.

Aku tersenyum sayu.

Aku pun manusia biasa. Bila kena banding dengan adik sendiri, memang aku akan rasa down. Kerana sejak dulu, aku takkan pernah setanding Hidayah binti Borhan. Dia itu anak perempuan paling sempurna untuk babah dan mama.

"Ibarat bidadari dengan setan..." bisik aku sambil terbayang muka suci Dayah dalam kepala. Dia wanita cantik dan baik persis bidadari. Memang layak sangat dapat gelaran bidadari.

Jadi, sah-sah setan itu aku. Dalam masa tak sampai dua jam, macam-macam jenis gelaran aku dapat daripada Aidan.

Sebab itu kadang-kadang, aku lebih suka jadi orang bisu. Bila aku buka mulut untuk membela diri, makin terbuka luas pintu untuk orang mencela.

Kesimpulannya, perempuan yang hilang 'madu' seperti aku... sentiasa salah pada mata orang. Buatlah baik macam mana sekalipun, orang tetap akan pandang pada keburukan. Memang itu sifat semula jadi manusia.

Bagu aku yang penting sekarang, hanya keredaan dan kasih sayang Allah. Itu lebih bernilai daripada segala-galanya.

"Kenapa senyap? Cat got your tongue?"

Rasanya, Ahmad Aidan ni memang psiko. Aku senyap, salah. Aku bercakap, lagilah berjuta kali ganda salah. Apa yang dia nak sebenarnya?

"Saya boleh bercakap?" Aku minta izin sembari tunjuk muka sendiri.

Dia angguk.

"Awak yakin, Aidan?"

"Cakap jelah. Aku bagi peluang terakhir untuk kau malam ni."

Okey, dia jangan menyesal. Kerana dia yang bagi peluang dekat aku. Sebelum bagi ayat penutup, aku cedok siap-siap nasi goreng guna camca. Ini persediaan awal daripada pihak aku.

"Tahniah kerana berjaya jadi suami pada setan."

Dan tak sempat Aidan nak mengherdik, aku suap terus nasi goreng ke dalam mulut dia yang sedang terbuka luas. Tanpa sebarang komen, dia kunyah aje nasi bersama muka yang berkerut. Mungkin pelik dengan perbuatan aku yang tiba-tiba.

Selang beberapa saat, muka dan cuping telinga dia dah merah menyala. Tangan dia menggagau mencari gelas air seperti orang sasau yang buta. Padahal gelas ada betul-betul depan dia.

"Pedas, bangang!"

Itu komen Aidan usai saja dia minum air sampai habis satu gelas. Lalu, dia mengipas bibir sendiri sambil pandang aku tak puas hati.

Padan muka!

Mana tak pedas kalau dalam nasi goreng ada terselit tiga batang cili padi. Ingat aku saja-saja nak suap dia? Tentulah ada udang di sebalik batu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience