Bab 2

Romance Series 6073

Pejam celik, pejam celik dah cukup tiga bulan aku jadi isteri Ahmad Aidan. Dan selama tiga bulan juga, dia gantung aku tak bertali. Tapi aku rasa bersyukur sangat. Sekurang-kurangnya, dia tak ceraikan aku.

Biarlah dia gantung aku tak bertali sampai bila-bila sekalipun. Aku tak kisah. Yang penting, tak pegang gelaran janda. Kalau tak, confirm babah akan benci aku sampai ke mati.

Kononnya, aku pencemar nama baik keluarga. Padahal Dayah yang terang-benderang conteng arang pada muka babah. Tetapi kerana Dayah anak kesayangan, babah terima setiap perbuatan dia dengan hati yang terbuka. Babah tak marah atau mengamuk biarpun Dayah kahwin lari dekat Siam.

Untung sungguh jadi anak yang bernama Hidayah binti Borhan. Sentiasa mendapat layanan istimewa sama ada daripada babah, mama ataupun umi. Aku pula cuma anak yang melukut di tepi gantang. Hanya tunggu masa untuk kena buang daripada salasilah keluarga.

Tahu aku seorang pendosa, tetapi aku masih manusia biasa. Yang sentiasa mengharapkan kasih sayang daripada orang tua sendiri. Kerana hidup tanpa kasih sayang mak ayah ibarat kapal tanpa nahkoda. Tetap berlayar di lautan, namun tanpa hala tuju.

Terbang habis segala lamunan bila azan mula berkumandang daripada pembesar suara masjid. Terus aku gosok muka sambil beristighfar berulang kali dalam hati. Terlampau ralit duduk mengelamun di tepi kereta sampai tak sedar dah masuk waktu sembahyang isyak.

Ketika kaki baru nak mengorak langkah yang pertama, tiba-tiba muncul Aidan di depan mata. Menghalang aku daripada menuju ke pintu utama masjid.

"Hey, perempuan!"

Aku pejam mata selama beberapa saat. Baru telinga terasa indah dengar azan. Tup-tup, terpaksa dengar suara sinis Aidan pula. Memang bukan penutup yang terbaik untuk malam ni.

Yang pelik, macam mana dia boleh muncul di depan masjid?

Rasanya, rumah dia bukan dekat kawasan sini. Selama bertahun-tahun jadi jemaah masjid, tak pernah lagi aku nampak muka dia. Tapi selepas dia gantung aku tak bertali, boleh pula kami berjumpa dekat sini.

Pelik!

Atau ini namanya takdir?

"Kau pun sembahyang?" Dia tersenyum herot dengan kedua-dua belah tangan yang berada dalam poket baju Melayu.

Itu bukan soalan prihatin atau small talk antara suami isteri. Tapi itu soalan menganjing namanya. Dia memang sengaja tanya dengan niat nak menghina aku.

Oleh kerana aku malas nak bergaduh depan masjid. Jadi, aku mengelak daripada jawab soalan dia dengan menyambung semula langkah yang terbantut tadi. Tapi baru sempat satu langkah, dia dah tarik telekung aku dari arah belakang.

"Aku tengah cakap dengan kau perempuan. Kenapa biadap sangat? Atau memang perempuan murah macam kau jenis kurang ajar?" Makin kukuh pegangan dia pada telekung aku.

Nasib baik kami masih berada di kawasan parkir kereta dan terlindung di sebalik pokok besar. Jadi, tak adalah jemaah masjid yang nampak drama swasta kami berdua. Kalau ada yang nampak, takut tengah malam nanti tular pula dekat media sosial.

Yalah zaman sekarang, semua benda nak rakam. Langsung tak ambil peduli dengan privasi manusia yang menjadi mangsa rakaman. Yang penting cuma bilangan likes.

"Adelina!" seru dia kasar bersama nafas yang tertahan-tahan. Mungkin tengah menahan rasa geram pada aku.

Spontan, aku ramas tangan sebelah kiri. Sementara tangan kanan pula, tengah menggosok telinga. Seruan dia tadi memang boleh buat aku rasa cemas. Lebih-lebih lagi intonasi suara dia hampir sama dengan manusia yang sentiasa muncul dalam mimpi ngeri aku.

Pokoknya, aku tak suka bila sebutan 'Adelina' meniti di bibir bekas tunang Dayah. Aku lagi sanggup dengar hinaan dia daripada dia panggil nama penuh aku. Kerana nama Adelina itu seperti racun yang membunuh segenap perasaan aku secara perlahan-lahan.

"Selain kena tebuk tupai, kau pekak juga?"

Aku mengeluh panjang dalam hati. Balik-balik dia akan ulang ayat sama, tapi bagus juga. Sekurang-kurangnya, aku sentiasa sedar diri. Perempuan macam aku tak pernah layak untuk mana-mana lelaki. Tak ada lelaki yang sanggup bekas orang.

"Ya, Aidan. Saya nak sembahyang. Sama macam awak." Aku jawab tanpa pandang muka dia. Kepala tertunduk rapat ke bawah sehingga hujung dagu menyentuh pada pangkal leher.

"Kau pun pandai sembahyang? Ingat pandai layan jantan aje." Dia ketawa sinis sambil bebola mata dia bergerak pandang aku atas bawah.

Mencerlung sepasang mata aku. Soalan dia yang terbaru memang betul-betul mencabar kesabaran. Dia boleh hina aku sesuka hati. Tapi jangan sesekali, provoke tanggungjawab aku pada Tuhan. Aku tak boleh terima.

"Apa yang awak nak sebenarnya, Aidan?"

"Nothing. Cuma aku tak sangka perempuan kotor macam kau pun masih ingat Tuhan. Dasar munafik!"

Aku gigit bibir bawah. Manakala kedua-dua tangan, tergenggam kemas di sisi. Ini semua cubaan dalam menahan rasa geram yang kian merusuh di dalam jiwa. Sekali lagi Aidan hina aku, memang muka dia akan makan penumbuk.

"Apa-apa jelah, Aidan. Saya nak masuk sembahyang dulu." Aku mengalah bukan kerana bodoh ataupun lemah. Cuma aku malas nak bergaduh depan rumah Allah. Tempat aku beribadat dan mencari ketenangan yang berpanjangan dalam hidup.

"Kau rasa Allah terima sembahyang penzina seperti kau, Adelina?"

Dan dalam sekelip mata, penumbuk pertama aku melayang tepat pada muka Encik Ahmad Aidan. Tangan kanan terasa sengal. Tapi sekurang-kurangnya, hati rasa puas. Seolah-olah hilang habis segala bebanan dalam kepala.

"Kau tumbuk aku?" tanya dia garang dengan bibir yang pecah. Ada darah mula mengalir dari hujung bibirnya.

Dengan lagak polos, aku cuma anggukan kepala dalam dua tiga kali. Ekspresi muka kosong tanpa sebarang emosi.

"Kau!" Ternaik tinggi tangan dia. Hanya tunggu masa penampar dia nak menyapa pada raut wajah aku.

Tapi boleh nampak yang empunya badan teragak-agak. Mungkin kerana aku perempuan. Dan pukul perempuan, berlawanan dengan prinsip dia sebagai lelaki. Sebab itu, tangan dia masih tergantung di atas angin.

Jujurnya, aku rasa kasihan dengan Aidan. Dia seorang lelaki yang gentleman sebenarnya. Aku boleh nampak daripada layanan dia pada ibunya waktu hari akad nikah kami berdua. Tapi kerana kahwin dengan aku, perangai dia mula berubah 180 darjah.

Jahat ke aku?

"Jangan sampai aku tampar muka kau!" ugut dia bersama tangan yang masih berada di awangan.

"Saya tak takut dengan penampar awak." Aku balas renungan menyinga mata Aidan tanpa rasa gentar.

"Penampar awak takkan mampu sakiti saya, Aidan." Kerana sejak 10 tahun lepas, badan aku dah hilang segala rasa. Masih bernyawa kerana kasih sayang seorang manusia dan rahmat daripada Allah pada hamba-Nya.

Dia ketawa halus, namun agak sarkastik pada pendengaran aku. Lalu lambat-lambat, tangan dia jatuh ke bawah. Riak muka dia tetap sama. Jenis tak mesra alam.

"Saya tahu awak marah saya... Awak benci saya... Ta..."

Tak sempat aku nak habis cakap, dia terlebih dahulu angguk. Mengiakan setiap patah perkataan yang muncul keluar dari bibir aku.

"Tapi pleaseee... saya merayu pada awak. Tolong jangan hina tanggungjawab saya sebagai hamba Allah." Aku merenung lembut muka dia. Harap sangat ada belas ihsan yang datang daripada pihak dia.

Malangnya, Aidan tetap dengan dendam dia. Dia balas soalan aku dengan intonasi monotone seraya tangannya mencengkam lengan aku.

"Why? Rasa terhina? Bukan kau memang manusia yang hina?"

"Ya, saya memang manusia hina. Paling hina di dunia ni," balas aku seperti manusia yang tiada perasaan. Padahal jiwa dan raga aku dah cedera parah. Tahap boleh masuk unit kecemasan.

Dia tersenyum puas dengan pengakuan aku. Selang beberapa saat, baru dia lepas cengkamannya pada lengan aku.

"Awak boleh hina saya sesuka hati awak. Awak boleh gantung saya tak bertali sampai bila-bila. Cuma saya minta sangat pada awak, tolong jangan hina atau provoke amalan ibadat saya. Tu semua urusan saya dengan Allah," sambung aku tegas.

"Ada aku kisah?" Dia tayang muka sombong.

"Tapi saya kisah, Aidan!"

Dia nampak terkedu dengan tempikan aku. Mungkin tak sangka aku yang sentiasa beku boleh mengamuk seperti orang gila.

"Bukan mudah untuk saya berdiri macam sekarang. Selama 10 tahun... saya tanggung derita kerana dosa saya."

Tanpa sedar, air mata aku mengalir lesu di pipi. Sesungguhnya, bukan mudah untuk aku bertahan hidup sampai ke hari ini. Tapi orang sekeliling, hanya pandai menghukum aku ibarat mereka itu Tuhan.

Dia bergerak maju ke depan lalu jari telunjuknya mengesat air mata aku. Dia tenung air mata aku selama beberapa saat sebelum tercarik senyum senget di bibirnya.

"Air mata sorang pendosa." Bergilir ganti Aidan pandang antara muka aku dan titisan air mata yang masih basah di jari telunjuk dia.

"Lebih baik air mata sorang pendosa daripada senyuman manusia yang berlagak suci macam awak," bidas aku seraya mengesat air mata di pipi dengan lengan baju.

"Kau!" Rahang tajam dia bergerak-gerak. Nampak sangat dia bengang gara-gara ayat aku.

"Kalau awak baik sangat... dengar azan tadi, awak dah masuk masjid. Bukan cari fasal dengan saya dekat sini." Giliran aku pula yang tersenyum herot.

Muka dan cuping telinga dia sekarang sama merah dengan buah tomato. Agaknya dia malu. Tapi kerana ego, dia tetap tayang wajah berlagak.

"Saya memang pendosa. Tapi tu tak bermaksud..."

Ayat aku tergantung sampai di situ saja bila kaki mengorak satu langkah ke depan. Sekarang jarak kami berdua tak sampai sekaki.

"Awak ahli syurga," tambah aku sebelum bergerak dari kawasan parkir kereta. Gara-gara dia, aku dah terlambat masuk ke dalam masjid. Imam pun dah mula baca al-Fatihah yang pertama.

Konon datang masjid pakai baju Melayu, tetapi sembahyang lambat. Sibuk sangat dengan dosa aku. Sampai dia lupa pada pahala sendiri. Memang itulah perangai azali manusia. Lebih prihatin pada dosa pahala orang sekeliling berbanding diri sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience