Aku termenung panjang depan bilik hotel seperti orang hilang punca. Kadang-kadang, aku akan garu belakang kepala yang terasa gatal. Aku rasa dilema sungguh.
Nak tekan loceng bilik Aidan atau tak?
Kalau tekan, terpaksa hadap muka tak mesra alam Ahmad Aidan bin Ahmad Attar. Kalau tak tekan, aku nak tumpang sembahyang zuhur dekat mana?
Nak balik rumah, macam tak sempat. Dengan nak hadap jammed pada hujung minggu lagi. Silap-silap dah nak masuk waktu maghrib, baru sampai depan pagar rumah. Atau aku singgah aje sembahyang dekat masjid mana-mana waktu on the way balik rumah?
Tapi macam mana dengan janji aku pada ibu Aidan?
Aku dah janji nak sembahyang dalam bilik Aidan dan turun ke dewan semula untuk tolong kemas barang-barang kahwin. Dan aku pula, bukan manusia yang mungkir janji.
Aduh, serabutnya kepala!
Aku ketuk perlahan kepala yang makin buntu. Ibarat semua masalah tak ada jalan penyelesaian. Semuanya jumpa jalan mati.
Pap!
Tak semena-mena, ada jari besar yang jentik dahi aku sebanyak dua kali. Bukan setakat rasa sakit, tapi bergegar habis otak.
"Sampai bila kau nak jadi tunggul depan bilik aku?"
Seperti biasa, intonasi suara Aidan tak pernah lembut. Sentiasa berdentum kuat seperti guruh pada musim tengkujuh.
"Ibu suruh saya sembahyang dalam bilik awak." Aku gosok dahi yang mula bertukar pada warna merah.
Aku tak faham langsung dengan perangai Aidan. Aku tak boleh sentuh dia. Tapi dia, boleh sentuh aku pula. Tak takut kena sertu dengan air tanah?
Yalah aku perempuan kotor yang sama taraf dengan najis mughallazah. Dia pula manusia paling sempurna di atas muka bumi ini. Mana sama taraf dengan aku.
"Aku tau." Dia putar anak mata ke atas. Boleh nampak yang dia terpaksa terima aku sebagai tetamu dalam bilik hotel dia.
"Masuklah! Takkan nak tunggu aku bentang red carpet dulu baru nak masuk? Kau ingat kau siapa, perempuan?" tanya dia garang sembari menolak daun pintu supaya terbuka lebih luas.
Aku langkah masuk ke dalam bilik dengan muka toya. Dan soalan dia tadi, tergantung sepi tanpa jawapan. Aku malas nak berperang mulut. Tujuan aku sekarang, cuma nak tumpang sembahyang.
Tapi tak sampai seminit, memek muka aku dah berubah pucat. Tersekat-sekat nafas aku. Seolah-olah oksigen tak sampai pada paru-paru.
"Kenapa awak tutup pintu?" Aku sembunyi tangan yang menggigil di sebalik beg telekung. Anak mata terarah pada pintu bilik yang tertutup rapat.
Berada dalam ruang tutup bersama seorang lelaki memang mampu membuatkan kisah lama kembali menjengah ke memori. Bukan kisah yang indah. Malah, menjadi penyumbang besar pada kebencian babah pada aku.
"Lepas tu, kau nak aku buat open house?" Dia angkat kening sebelah kanan. Riak muka memang berlagak habis.
Aku sekadar gelengkan kepala sambil menggenggam kukuh beg telekung. Aku kena tunjuk kuat walaupun jiwa hampir goyah dek kisah lama.
Dan bila Aidan mengorak satu langkah ke depan, spontan kaki aku berundur beberapa tapak. Tindakan yang hanya mengundang senyum sinis pada bibir dia semata-mata.
"Kau takut dengan aku?" Sepasang mata hitam dia meliar pandang tubuh aku atas bawah.
Kasar aku telan liur yang terasa kesat di anak tekak. Pandangan itu... aku sangat-sangat faham. Pandangan yang datang bersama imaginasi liar seorang lelaki.
Bibir aku tersenyum nipis. Lalu lambat-lambat, kaki berundur setapak demi setapak sehingga ke hujung katil.
Aku tarik nafas dan hembus perlahan-lahan ikut mulut. Aku ulang aksi yang sama berulang kali. Sampai gelodak perasaan kembali tenang seperti air kosong di dalam gelas.
"Saya tak takut dengan awak. Lagipun saya yakin, saya bukan taste awak. Lelaki hebat macam awak tak mungkin suka makan bangkai. Betul tak?"
Suara aku berlagu tenang. Tangan pula sibuk membuka beg telekung. Sehabis boleh cuba berlagak selamba. Kalau lemah, lebih mudah untuk dia monopoli mental aku.
Lagi satu, bukan aku downgrade diri sendiri. Istilah 'bangkai' itu pernah datang daripada bibir Dayah sewaktu kami adik-beradik bergaduh besar. Aku bangkai yang tunggu masa untuk kena buang daripada keluarga.
Dia balas jawapan aku dalam bentuk senyuman sinis. Dan dalam sekelip mata, pandangan dia bertukar pada renungan tajam yang menikam tepat pada muka aku.
"Awak nak stay dalam bilik ni juga?" soal aku selepas ternampak dua helai sejadah yang terbentang di atas karpet. Itu bukan cara orang sembahyang sorang, tapi berjemaah.
Aidan nak aku jadi makmum dia?
"Aku tak sembahyang lagi."
"Ooo... ingat awak dah sembahyang." Anak mata masih melekat pada dua helai sejadah yang berlainan warna. Satu warna putih. Manakala yang terhampar pada bahagian belakang, warna hitam.
"Kau sindir aku?" Dia bersandar pada dinding dengan kaki kanan bersilang di atas kaki sebelah kiri.
Laju aku gelengkan kepala bersama-sama kedua-dua belah tangan terangkat ke atas. Sebagai tanda aku menyerah kalah sebelum pergaduhan kami makin berpanjangan dan tiada kesudahan.
"Saya pinjam bilik awak sekejap. Termasuk toilet." Aku minta izin kerana sedar diri. Aku cuma penumpang yang tak diundang oleh empunya bilik.
Aidan jeling aku dari ekor mata, tapi tangan dia menghala ke arah pintu bilik air. Dalam erti kata lain, dia bagi aku kebenaran untuk tumpang sembahyang dalam bilik dia.
"Terima kasih," ucap aku lalu menghilang untuk mengambil air sembahyang.
Sebaik saja aku melangkah keluar dari bilik air, dia dah terpacak di tepi katil. Ibarat sedang menanti aku pun ada.
Aku pandang dia sekilas sebelum bergerak ke arah sejadah berwarna hitam. Kemudian, terus aku sarung telekung. Sebelum dia bersuara, lebih baik aku mula sembahyang dahulu.
"Tunggu aku. Kita sembahyang sekali."
Jadi, memang betul lah dia nak aku jadi makmum. Sebab itu, dia hampar sejadah dua helai di atas karpet. Tak tahu sama ada ini perkembangan yang baik. Atau ada agenda yang tersembunyi.
"Kau dengar tak, perempuan?"
Aku sekadar anggukan kepala, tanda dengar. Tiada olahan tambahan kerana aku nak menghadap Tuhan tanpa ada perasaan negatif yang bersarang di hati.
"Ibu yang suruh kita sembahyang berjemaah."
Ooo... patutlah.
Kerana ibu rupanya. Ternyata dia anak yang misali. Sampai sanggup jadi imam pada perempuan yang dia benci.
Respons aku masih macam tadi juga. Hanya anggukan yang menjadi jawapan pada setiap ayat yang muncul dari mulut Aidan.
"Lagipun... kau suka kumpul pahala, kan? Nak tampung dosa kau ehem-ehem." Dia tutup bunyi pelik tu dengar gelak yang terbahak-bahak. Ibarat suka sangat boleh cari gaduh dengan aku.
Nasib baik aku dalam keadaan berwuduk dan bertelekung. Kalau tak, ada juga yang turun ke dewan dengan hidung berdarah. Mulut Ahmad Aidan ni memang puaka sungguh.
"Kau dengar tak, perempuan?"
Aku tiup angin naik ke atas. Biar sejuk kepala yang mula rasa panas tahap menggelegak.
"Ya, saya dengar. Dan... saya memang perempuan," balas aku sambil pusing ke belakang dan pandang muka kejur Aidan.
Aku rasa menyampah sebenarnya. Rasa nak bernanah habis lubang telinga bila perkataan 'perempuan' acap kali muncul keluar dari mulut dia. Serupa aku ini manusia yang keliru dengan jantina sendiri. Sampai dia kena tolong ingatkan berulang kali.
"Kerana saya perempuan, kita boleh kahwin. Saya sembahyang pun pakai telekung. Dan paling penting... kerana saya perempuan, saya sentiasa hina pada mata awak," sambung aku untuk pelengkap ayat.
Dia nampak terkedu dan hanya bertahan selama beberapa saat sebelum mulut dia mula mengeluarkan peluru ghaib. Senjata yang tak nampak dek mata kasar, namun kesannya terasa di seluruh badan.
"Tu balasan bila perempuan macam kau, tak pandai jaga diri."
Kolam mata rasa memberat. Hanya tunggu masa nak melimpah ke pipi. Mudah sungguh dia menghukum kerana perbuatan lama aku.
Dia cuma salah seorang manusia yang pandai cakap. Sama aje dengan orang sekeliling. Tapi yang kena hadap semuanya, aku... meskipun perit seperti telan kaca.
"Awak memang macam ni ke, Aidan?" soal aku dingin selepas dongak kepala dan mata melekat pada siling untuk seketika. Nak mengelak daripada menangis di hadapan Aidan.
"Macam apa?"
"Suka cari gaduh dengan orang waktu nak sembahyang. Dah serupa orang kena rasuk dengan jembalang tanah."
Setiap kali nak sembahyang, sah perangai minta azan dia makin menjadi-jadi. Konon nak ambil air sembahyang. Tapi mulut, masih sempat mengata.
"Jembalang tanah?"
Sepantas kilat, aku angguk dan berkali-kali.
"Kau!" Dia bergerak laju ke arah aku. Seolah-olah nak bunuh aku sekarang juga.
Cepat-cepat aku tadah tangan sambil membaca ayat kursi dengan nada yang paling kuat. Bergema habis satu bilik hotel.
Dan hasilnya, terhenti terus pergerakan tubuh badan Aidan. Dia mendengus ibarat lembu jantan naik minyak sebelum dia bergerak ke arah bilik air.
Menghilang saja batang tubuh dia daripada pandangan mata, serta-merta aku jatuh terduduk di atas sejadah. Aku tumbuk perlahan dada yang terasa sebak.
Aku dah tak mampu, ya Allah.
Waktu hari pertama kahwin, aku rasa lebih daripada mampu untuk bertahan dengan perangai Aidan. Aku cukup kuat untuk menghadap kebencian dia.
Tapi sekarang, segala keyakinan aku mula jatuh rebah ke bumi. Ayat-ayat dia ibarat senjata yang paling bahaya dalam dunia. Mampu membedil perasaan dan mental aku dalam sekelip mata.
Jadi pengantin bidan terjun dia, memang satu kesilapan besar. Seolah-olah aku mengundang bencana alam dalam hidup yang retak menanti belah.
Share this novel