Bab 1

Romance Series 6073

Aku bukan perempuan yang baik. Hidup aku penuh dengan noda yang takkan pernah hilang biarpun untuk 1000 tahun. Malah, aku sangat jauh berbeza dengan Hidayah binti Borhan. Dia ibarat seorang bidadari syurga. Manakala aku, cuma pendosa yang ingin ke syurga.

Dan bila seorang pendosa ganti tempat bidadari, semuanya bukan mudah. Hanya pandangan dan kata-kata sinis yang menyapa pancaindera aku sejak dua jam yang lepas. Sama ada daripada famili atau lelaki yang bergelar suami.

"Suami..." bisik aku bersama mata yang menghala ke arah si lelaki. Tak sampai sesaat, aku dah tunduk bila anak mata kami bertembung.

Renungan sepasang mata hitam dia masih membara dengan api kemarahan. Raut wajah dia tetap tegang meskipun selepas sembahyang sunat nikah.

Dan aku yakin, dia bukan marah Dayah a.k.a Hidayah. Tapi dia marah aku. Aku punca kemarahan lelaki yang bernama Ahmad Aidan bin Ahmad Attar.

Nampaknya, haters aku dalam dunia ni bertambah lagi seorang. Patut hidup aku tak pernah aman. Kerana lebih banyak musuh daripada kawan. Rasanya ni memang lumrah hidup seorang pendosa.

"Kenapa aku?"

Setelah sekian lama senyap, akhirnya Aidan bersuara juga. Meskipun suara dia agak kasar. Sekurang-kurangnya, ada juga tindak balas daripada bekas tunang Dayah.

"Kenapa aku yang jadi mangsa kau, Adelina?"

Terpejam rapat mata saat nama sendiri yang menjengah ke telinga. Walaupun 'Adelina' itu nama aku, tapi aku tak pernah suka dengan nama sendiri. Kerana di sebalik sebaris nama itu, ada peristiwa hitam yang tersembunyi.

"Kenapa kau yang jadi pengantin bidan terjun aku?" tempik dia bersama satu tumbukan yang mendarat di atas tilam. Tempikan yang membuatkan kelopak mata aku kembali terbuka dan kepala terangkat ke atas. Bukan lagi dalam keadaan tunduk seperti seorang pesalah.

"Saya minta maaf." Senada dan kaku. Pandangan mata kosong tanpa perasaan. Padahal dalam hati, aku rasa bersalah sangat dengan Aidan. Kerana aku dan Dayah, dia yang jadi mangsa kami adik-beradik.

Malangnya, dia sambut ucapan maaf aku dengan ketawa sinis semata-mata. Selang beberapa saat, tepukan kuat tangan dia pula yang memenuhi segenap ruangan bilik.

"Hari ni, hari raya ke?"

"Tak." Pendek aje jawapan aku sambil membalas renungan mata dia yang sama tajam dengan mata pedang.

"So, kenapa minta maaf?" soal dia bersama senyum herot yang tersungging di bibir.

Tiada balasan daripada pihak aku sama ada dalam bentuk patah perkataan atau gerakan tubuh badan. Aku cuma pandang aje muka Aidan. Seolah-olah dia itu objek paling menarik dalam bilik ini.

"Atau... kau takut aku ceraikan kau, Adelina? Kau takut jadi janda?"

Terus dada terasa sendat, tetapi ekspresi muka aku masih sama. Kosong tanpa sebarang emosi. Walhal perkataan 'janda' tu berjaya meragut ketenangan jiwa aku sebenarnya. Sekuat mana pun seorang wanita, tetap akan lemah dengan perkataan 'cerai' dan 'janda'. Termasuk aku.

"Kau nak jadi janda?" Aidan jongket kening sebelah kanan. Ibarat dia sedang mencabar kebisuan aku pun ada.

"Aku tak kisah jadi duda. Nak tahu sebab apa?" Sambung dia lagi dalam bentuk soalan.

Dan dalam rentak slow motion, dia mengorak langkah ke arah aku yang sedang berdiri di tepi almari baju. Sesekali dia akan menarik jari tangan sehingga keluar bunyi. Lagak dia sekarang tak ubah seperti samseng Kampung Pisang walaupun tengah pakai baju Melayu.

Sementara aku?

Masih diam seribu bahasa ibarat patung yang bernyawa. Aku biar aje soalan dia tergantung sepi tanpa jawapan.

"Adelina binti Borhan," seru Aidan sebaik saja batang tubuhnya berdiri terpacak di hadapan aku. Lalu, dia tunduk separuh badan sehingga bahagian muka kami sama paras. Dia tenung muka aku dalam-dalam sebelum mula bersuara semula.

"Sebab sebelum kahwin dengan kau, aku memang duda. So jadi duda buat kali kedua pun, aku tak kisah. Asal bukan jadi suami kau, Adelina," bisik dia dingin di tepi telinga aku.

"Tolong... Tolong jangan ceraikan saya," balas aku sepantas kilat dan dengan intonasi yang agak sayu.

Dia nampak terpampang. Tapi tak sampai sesaat, terhambur gelak besar dari celahan bibir dia. Gelak yang sangat sarkastik dan seolah-olah dia sedang menganjing aku secara terang-terangan.

"Tolong..." Aku cuba sentuh tangan Aidan. Namun belum sempat jari aku mencecah kekura tangannya, dia dah berundur beberapa tapak. Mencipta jarak yang sangat luas daripada tubuh aku.

"Aku tak boleh ceraikan kau?" Lurus jari telunjuk dia menghala tepat ke muka aku.

Aku angguk bersama tangan yang saling meramas antara satu sama lain. Cubaan untuk menghilangkan rasa resah di hati.

"Gila!"

Ya, aku memang gila.

Kerana perasaan gila, aku sanggup buat kerja luar alam petang ini. Aku sanggup tawar diri untuk kahwin dengan bekas tunang adik sendiri. Semuanya demi meraih pengampunan daripada seorang lelaki yang bergelar babah.

Sayangnya, hanya kata-kata hinaan yang aku dapat sebarang balasan. Aku nak salam tangan pun, babah tak sudi. Bertapa hinanya diri aku pada pandangan mata seorang ayah kandung.

"Tolong jangan ceraikan saya. Saya merayu sangat-sangat, Aidan." Aku betul-betul desperate sekarang. Kalau dia ceraikan aku, babah akan makin marah dan benci aku.

Lagipun, aku lebih rela hadap kebencian Aidan daripada babah. Aku dah penat sangat. Selama 28 tahun hidup, aku rasa kasih sayang babah cuma lima tahun. Selepas lima tahun, aku hidup dengan sandang gelaran anak derhaka. Semua gara-gara dosa aku.

"Apa yang aku dapat, kalau aku simpan kau?"

Anak mata dia bergerak turun ke bawah dan berhenti tepat pada bahagian dada aku. Kemudian, tercarik senyum nipis dan tajam pada bibir dia.

"Tubuh kau?" tanya Aidan seraya bergerak maju beberapa langkah. Dalam sekelip mata, jarak kami berdua kembali rapat. Hanya terpisah dengan sekeping jubin lantai.

Tak semena-mena, jari telunjuk dia bergerak mengikut bentuk wajah aku. Tapi secara atas angin. Jari dia tak mencecah langsung pada kulit muka aku. Ibarat dia anggap aku manusia yang jijik.

"Walaupun aku duda, aku tak kutip bekas orang."

Aku pandang muka dia dengan perasaan yang bercampur baur. Tak sangka ayat tu yang bakal meluncur keluar dari mulut dia. Maksudnya...

"A... awak tahu?" soal aku dengan cukup susah-payah. Terasa separuh nyawa aku hilang di sebalik pandangan keji Aidan.

Dia angguk terlebih dahulu sebelum mula bersuara.

"Aku tahu kau pernah terlanjur. Kau bukan perempuan suci, Adelina." Dia genggam kuat lengan aku. Riak muka dia pula garang seperti singa lapar.

Allah...

Hancur luluh hati aku.

Yang tahu kisah gelap hidup aku cuma keluarga terdekat. Orang luar tak pernah tahu langsung. Jadi rasanya, Aidan tahu daripada Dayah.

Sampai hati Dayah buat aku macam ni. Kenapa dia sanggup canang kisah hidup aku pada orang luar? Takkan dia tak rasa kesian langsung pada kakak sendiri?

"Aku jijik dengan perempuan macam kau!"

Tanpa sebarang signal, dia tolak tubuh aku ke belakang.

Hasilnya, kepala aku terhantuk kuat pada permukaan almari. Berbalam-balam pandangan aku, namun tiada mutiara jernih yang mengalir di pipi. Bukan tak sakit. Cuma aku dah penat menangis.

Kerana aku tahu, air mata takkan pernah membawa sebarang perubahan dalam hidup. Yang menderita, tetap akan menderita. Yang rosak, takkan mungkin akan pulih.

"Kenapa kau pilih aku? Kau mengandung? Kau nak aku jadi pak sanggup?" soal Aidan bertubi-tubi dan rentak suara dia tetap menyinga.

Sesungguhnya, aku rasa sangat terhina sekarang. Aku hilang maruah diri 10 tahun lepas. Selepas itu, tak ada lagi lelaki yang sentuh batang tubuh aku.

Malangnya, sehingga hari ini orang masih ungkit dan pandang serong pada aku. Seolah-olah aku ni setiap hari tidur dengan lelaki ajnabi. Aku memang bukan gadis sunti, tetapi aku bukan pelacur atau bohsia.

Agaknya ini memang lumrah hidup seorang pendosa dan perempuan kotor. Kalau keluarga sendiri pun, pandang aku hina. Takkan Aidan sanggup terima aku sebagai seorang isteri? Lebih-lebih lagi taraf aku jauh berbeza dengan Dayah.

"Kau mengandung?" Dia cengkam kuat permukaan perut aku. Mata hitamnya menikam tepat ke dalam mata aku.

"Saya tak mengandung," jawab aku sembari menggenggam kedua-dua belah tangan. Sehabis daya cuba menahan rasa perit hasil daripada cengkaman Aidan.

"Tapi kau bekas orang, Adelina." Terlepas cengkaman dia pada perut aku sebelum dia mengeluh panjang.

"Awak duda. Jadi, kita sama-sama bekas orang. Betul tak?" Aku tersenyum tawar pada penghujung soalan.

Bila dia berura-ura nak bersuara, terus aku mencelah. Tak bagi peluang langsung untuk dia buka mulut.

"Yang membezakan kita berdua, saya pendosa. Sebab tu, semua orang anggap saya hina. Saya faham sangat. Cuma saya merayu pada awak..."

Aku sedut dalam-dalam oksigen sebelum hembus ikut mulut. Lalu, aku bergerak setapak ke depan.

"Jangan ceraikan saya. Awak boleh gantung saya tak bertali. Tapi please... jangan ceraikan saya." Aku merayu dengan kedua-dua belah tangan yang melekat di dada.

"Kalau aku simpan kau, apa ganjaran yang aku dapat?"

"Ganjaran dia... saya sanggup buat apa aje untuk awak."

"Termasuk jadi hamba aku?" Dia tersenyum senget.

"Saya cuma hamba pada Tuhan. Bukan pada manusia. Tapi kalau awak minta tolong saya, saya sentiasa available untuk awak." Aku sanggup buat apa saja untuk Aidan. Yang penting, dia takkan ceraikan aku.

"Apa perempuan kotor macam kau boleh tolong aku?" Dia angkat kening double jerk.

"Saya hilang dara. Bukan hilang upaya," tutur aku sampai di situ saja dahulu dan tolong jangan salah faham.

Aku bukan bangga hilang kesucian diri. Sekali pun aku tak pernah rasa bangga. Malah, aku rasa sangat menderita. Selama 10 tahun aku hidup seperti manusia yang tak ada jiwa. Cuma sekarang, aku nak ubah persepsi Aidan yang sama dengan babah.

Hilang dara tak bermaksud aku jadi manusia loser. Aku masih manusia yang berguna pada masyarakat. Tapi segala kemampuan aku terbatas, kerana pandangan orang sekeliling yang lebih suka menghukum daripada memberi peluang kedua.

"Saya masih boleh tolong awak dengan kudrat saya. Tapi kalau awak tak sanggup terima pertolongan saya, saya faham. Terlampau faham," olah aku dengan mata yang terpejam. Mengelak daripada tengok muka kejur Aidan.

"Hanya saya minta sangat jasa baik awak, tolong jangan ceraikan saya. Please..." Buat kesekian kali, aku ulang ayat yang sama. Selagi dia tak bagi jaminan, aku akan terus ulang sampai dia meluat.

"Kau memang desperate nak jadi isteri aku, kan?" Dia tersenyum bangga. Bebola mata dia melilau pandang kawasan sekeliling bilik aku.

"Tak, awak salah. Saya desperate untuk jadi anak babah. Bukan jadi isteri awak, Aidan."

"So maksudnya, kau bukan anak kesayangan babah? Kau anak buangan? Interesting." Terangguk-angguk kepala dia sambil tersenyum penuh makna.

Tahu aku bukan anak kesayangan babah. Tetapi bila dengar secara langsung dari mulut orang luar, luka di hati kembali berdarah. Ibarat parut lama yang tak pernah sembuh kena toreh semula dengan pisau tumpul.

"Okey, aku akan simpan kau."

Serta-merta, terbit senyum nipis di ulas bibir aku. Hati terasa lapang. Selepas berbelas-belas tahun, rasanya ini kali pertama aku senyum secara rela.

"Tapi bila sampai masa, aku akan buang kau seperti sampah. Biar kau hilang semua serentak. Especially gelaran sebagai isteri dan juga babah." Dia tayang muka jahat dan penuh dendam.

Dia silap...

Sejak dulu, aku memang dah hilang semuanya. Yang tinggal sekarang, cuma saki-baki untuk aku terus hidup dalam mencari keampunan daripada Tuhan, babah dan mama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience