Aku bangun dari sejadah usai saja berdoa yang agak panjang. Rutin wajib setiap kali lepas sembahyang. Sebab itu, hanya tinggal aku seorang. Aidan pula dah lama menghilang daripada pandangan.
Rancangan asal hanya nak tumpang solat zuhur. Tapi kerana perangai kepala angin dia, kami solat betul-betul di hujung waktu. Elok saja bagi salam yang kedua, azan asar dah berkumandang dari aplikasi telefon aku. Terus dia sambung jadi imam aku buat kali kedua.
"Kenapa tak pakai baju yang aku bagi?"
Serta-merta terhenti tangan aku yang sedang lincah melipat telekung untuk disimpan semula ke dalam beg. Aku pandang tubuh sendiri yang tersarung baju kurung Pahang sebelum anak mata berpindah pada Aidan. Dia tengah duduk di atas katil.
"Saya tak pakai kebaya." Seumur hidup, aku tak pernah pakai kebaya. Kerana aku rasa baju tu terlampau seksi dan mengikut potongan badan. Tak sesuai dengan imej wanita bertudung.
Dan percaya atau tak, dia yang beli kebaya tu untuk aku. Warna ungu muda. Sedondon dengan satu keluarga besar dia. Dia bagi dekat aku minggu lepas. Waktu nak balik lepas habis makan di kedai mamak.
"Mai dan Dayah suka pakai kebaya." Dia mengomel perlahan. Seolah-olah tengah bercakap dengan diri sendiri, namun masih sampai pada deria pendengaran aku.
Siapa Mai?
Aku tak kenal mana-mana perempuan yang bernama Mai. Tapi Dayah, aku kenal sangat-sangat. Dia suka gila pakai kebaya songket. Dan kadang-kadang, dia akan pakai kebaya nyonya bila datang mood nak melaram.
Okey, sekarang baru aku faham. Patut dia beli saiz XS. Itu ukuran saiz badan Dayah. Sah sebelum ini, dia selalu beli kebaya untuk bekas tunang yang tersayang.
Masalahnya, aku pakai saiz M. Aku rasa dia memang sengaja beli saiz salah. Tak mungkin dia tak reti beza antara badan Dayah dan aku.
Dayah jenis kecil molek. Tinggi dia pun tak sampai 155 sentimeter. Aku pula tinggi lebih daripada 165 sentimeter. Mana padan saiz XS dengan badan aku yang tinggi. Dah serupa sarung nangka jadinya.
"Kenapa kau tak pakai kebaya? Bukan semua perempuan suka pakai kebaya? Lagi-lagi perempuan murah macam kau." Tersungging senyum senget pada bibirnya.
Allah...
Dia kena rasuk dengan jembalang tanah balik. Pantang ada peluang, sah dia akan cari fasal dengan aku. Umur dah tua, tetapi perangai masih tak matang.
"So maksudnya, perempuan macam saya... kena pakai kebaya 24 jam? Atau lebih afdal pakai bikini? Dah alang-alang murah. Biar jual lelong terus."
Aku malas nak berbudi bahasa dengan Aidan. Kalau sopan pun, layanan dia tetap tak berubah. Dia masih layan aku seperti manusia yang tiada hati dan perasaan.
"Maybe. Baru sesuai dengan dosa kau," balas dia senada bersama memek muka yang sangat menyakitkan hati.
Wow, nampak macam cerdik!
Tapi rupa-rupanya, akal fikiran dia sangat cetek. Tak sangka nak pakai baju pun kena ikut paras dosa. Jadi kalau dosa banyak, kena bogel?
"Apa-apa jelah, Aidan. Saya turun bawah dulu." Aku angkat kedua-dua belah tangan sama paras dengan bahagian dada sebagai tanda mengalah. Aku penat nak layan kemarahan dia yang bagai tiada titik noktah.
"Hebat sangat ke ex-boyfriend kau, Adelina?"
Itu soalan yang menjengah ke telinga ketika aku mengorak langkah yang pertama. Degupan jantung mula hilang ritma. Bukan kerana soalan dia, tetapi semuanya berpunca daripada sebutan 'Adelina' yang meniti di bibirnya.
"Boleh awak jangan panggil nama penuh saya? Saya tak suka."
Akhirnya selepas sekian lama cuba bertahan, permintaan itu datang juga daripada pihak aku. Dalam keadaan sekarang, aku tak mampu nak tampung lagi satu bebanan perasaan. Mental dan fizikal dah terlampau penat.
"Kenapa? Sebab nama Adelina tu spesial untuk pemuas nafsu kau? Hanya dia sorang boleh panggil kau... Adelina?" Suara Aidan makin sinis dan tajam.
"Tak... Bukan..."
Aku tutup rapat kelopak mata bila bayangan lama kembali berputar di akal fikiran. Sesekali aku akan gelengkan kepala. Cuba menghilangkan segala memori yang sudah terpahat pada kotak ingatan sejak 10 tahun lepas.
"Adelina... Adelina... Adelina..." ulang Aidan berulang kali bersama intonasi suara yang berbeza. Mula-mula sekadar bisikan halus sebelum berakhir dengan nada yang dua kali ganda lebih kuat.
"Please, Aidan. Saya merayu sangat-sangat. Tolong stop!"
"Kenapa kena stop? Bukan Adelina tu nama kau, perempuan?" Dia bangkit berdiri dan pandang aku sambil tersenyum penuh makna.
Memang itu nama aku. Nama yang aku tak boleh ubah sampai bila-bila. Namun pada masa yang sama, nama itu juga yang jadi pembunuh jiwa dan raga aku. Dan setiap parut pada jasad, terasa ngilu.
"Adelina..." sebut Aidan lagi. Lalu, kaki dia bergerak ke depan dalam beberapa langkah.
Spontan, terlepas pegangan aku pada beg telekung. Kemudian, aku gosok kasar kedua-dua belah telinga. Sekarang bukan suara Aidan yang terngiang-ngiang di cuping telinga. Tapi... suara lelaki lain.
Lelaki pertama yang panggil aku dengan nama 'Adelina' sebelum Aidan. Lelaki yang pernah jadi pelindung aku. Dan dia juga, pemusnah hidup seorang gadis yang baru berusia 18 tahun dengan begitu kejam sekali.
"Tolong sangat-sangat. Saya merayu pada awak. Tolong berhenti. Jangan seksa emosi saya macam ni." Aku merayu dengan tangan yang masih menutup telinga.
Malangnya, bisikan lelaki itu masih kedengaran pada telinga. Berselang-seli dengan ketawa halus Aidan. Dan semuanya, membuatkan perasaan aku berantakan. Mental mula hilang rasional.
"Kenapa nak berhenti? Bukan kau suka, Adelina?"
Nafas terasa sesak dek bebanan emosi yang kian menghimpit di jiwa. Tapak tangan basah dengan peluh. Aku tak boleh bertahan duduk sebilik dengan Aidan lagi.
Aku boleh gila!
Aku berundur dalam dua tiga tapak sebelum berlari ke arah pintu bilik. Tak tahu sama ada aku lari daripada Aidan. Atau aku lari daripada kisah lama yang sentiasa menghantui setiap langkah aku.
Sayangnya, tangan dia lebih laju daripada langkah kaki aku. Sepantas kilat, dia genggam kemas lengan aku sambil tersenyum senget. Lalu, dia tolak tubuh aku sehingga melekat kemas pada dinding.
"Kenapa, Adelina? Kau rasa apa-apa?" bisik dia nakal di tepi telinga aku.
Aku gelengkan kepala bersama mutiara jernih yang bertakung di tubir mata. Setiap butir bicara dia, buat aku bertambah jijik dengan diri sendiri.
"Bangsat tu mendesah nama Adelina ke waktu dia bersedap dengan kau, perempuan?" tambah Aidan dan masih dalam bentuk bisikan.
Dan gara-gara soalan dia, memori lama makin jelas pada kotak ingatan aku. Termasuk muka lelaki yang selama ini hanya muncul sebagai bayangan hitam dalam mimpi ngeri aku.
"Jangan... Jangan..." Mulut aku mula meracau yang bukan-bukan.
Tapi sedikit pun, Aidan tak rasa kesian. Malah, dia tuang garam pada luka lama yang tak pernah sembuh.
"Jangan apa, Adelina? Jangan stop?" Jari dia mengusap hujung kening aku dan bergerak turun ke bawah sebelum berhenti pada ulas bibir.
Sesungguhnya, sentuhan dia ibarat pisau belati yang menghiris kulit aku secara perlahan-lahan. Sakitnya meresap ke seluruh pelosok tubuh.
Aku tak boleh lemah macam ni. Aku pernah tewas 10 tahun lepas, tapi bukan sekarang. Aku tak boleh kalah pada lelaki tak berperikemanusiaan seperti Aidan. Aku kena kuat demi maruah yang masih tersisa.
"Kenapa diam, Adelina?"
"Jangan sebut nama aku, Aidan!" Tempik aku seraya tolak kasar tubuh dia ke belakang.
Lantas, aku tampar muka dia sekuat hati. Sunyi sepi terus satu ruangan bilik. Yang kedengaran sekarang, hanya bunyi nafas aku yang menderu laju.
Sementara dia pula?
Terdiam kaku bersama pipi kanan yang merah hasil tamparan aku.
"Ceraikan saya," pinta aku dengan dada yang berombak ganas. Nafsu amarah dalam diri masih mengganas.
"Ceraikan kau?"
Yakin aku anggukan kepala. Langsung tak teragak-agak.
"Kau tak takut babah buang kau?" tanya Aidan sinis. Sama sinis dengan senyuman yang terbentuk pada bibir dia. Seolah-olah dia rasa kemenangan tetap berpihak pada dirinya.
"Saya lebih rela jadi anak buangan babah." Aku balas renungan mata dia tanpa gentar walaupun tangan agak menggeletar.
"Sekurang-kurangnya, saya masih boleh bangga dengan diri sendiri. Maruah saya tak kena pijak dengan lelaki macam awak," sambung aku bersama jari telunjuk yang menghala tepat pada muka angkuh Aidan.
"Kau tu bekas orang, perempuan? Apa yang kau boleh bangga dengan diri kau? Kau pendosa, Adelina!"
Walaupun dia dah makan pelempang, sebutan 'Adelina' tetap setia di bibirnya. Langsung dia tak rasa menyesal ataupun insaf. Lelaki ini bukan keras kepala, tetapi ego tahap gaban.
Dia nak junjung ego sangat?
So, let's play the game. Aku penat nak terus-menerus jadi mangsa pada manusia yang percaya syurga itu milik mereka. Biarlah untuk kali ini, aku jadi pemangsa. Sama seperti Aidan.
"Jadi, jangan simpan pendosa dalam hidup awak. Ceraikan saya sekarang juga."
Aku rasa menyesal gila pernah merayu dekat dia lima bulan lepas. Sepatutnya dari awal lagi, kami patut bercerai. Tapi aku terlampau takut kehilangan babah. Padahal babah tak pernah anggap aku sebagai anak.
"Penzina macam kau tak ada hak untuk memilih atau meminta. Hanya aku yang berhak. Kuasa talak di tangan aku, perempuan!" Tegang suara garau dia.
"Kuasa talak di tangan awak kerana awak suami?" Aku tanya soalan perangkap.
Dia tersenyum sinis sebelum anggukan kepala dengan penuh rasa bangga.
"Bukan tanggungjawab seorang suami melindungi maruah isteri? Termasuk bimbing isteri yang berdosa ke syurga, Aidan?"
Dalam sekelip mata, senyuman Aidan mati dan rahang dia bergerak-gerak. Itu tandanya aku berjaya mencabar ego dia.
"Tapi apa yang awak buat? Awak cuma hina saya ibarat awak manusia yang paling maksum. Suci bersih daripada dosa." Ada senyum tawar yang menghiasi wajah aku.
"Sekurang-kurangnya, aku tak pernah berzina."
"Ya, awak tak pernah berzina. Tapi awak lupa benda paling penting, awak bukan Tuhan."
Sewaktu perkataan 'Tuhan' meniti di bibir aku, intonasi suara berubah tegas dan garau. Kerana aku nak highlight perkataan tu dekat Aidan. Jangan terlampau bongkak kerana dia pun hanya manusia biasa.
"Dosa saya berzina tu antara saya dengan Allah. Bukan dengan awak. Awak tak ada hak untuk hukum saya," olah aku sambil menentang renungan tajam mata dia.
Halkum dia bergerak naik turun, namun tiada sepatah kata yang terpacul keluar daripada pihak dia. Nampaknya dia dah hilang kosa kata untuk membidas setiap ayat aku.
"Saya memang hilang dara, tapi awak kena ingat. Walaupun seteruk mana awak hina saya, yang hilang tak mungkin akan kembali. Tapi jiwa yang rosak... akan bertambah musnah kerana lidah tak bertulang awak, Aidan."
10 tahun aku telan dan pendam segalanya seorang diri. Tak bukan 10 tahun... tetapi sejak 23 tahun yang lalu. Aku hadap semua biarpun perit. Kerana aku seorang pendosa pada mata babah dan mama. Sampai jiwa dan mental aku musnah teruk.
Bila kahwin dengan Aidan pula, yang musnah terus hancur berkecai. Aku bukan minta dia sayang aku sebagai kekasih. Cuma aku minta sangat dia hormat diri ini sebagai manusia.
Malangnya kerana aku perempuan kotor, aku tak layak langsung walaupun untuk sekelumit perasaan hormat. Hanya herdikan dan pandangan hina yang menjadi santapan aku hari-hari.
"Hilang dara tak bermaksud saya hilang peluang untuk masuk syurga. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk pendosa macam saya. Tapi... saya ada satu soalan dekat awak, Encik Aidan?" Aku maju satu langkah ke depan dan anak mata terpasak pada muka kejur dia.
"Awak yakin syurga itu milik awak?" soal aku dengan rentak suara yang cukup lembut. Namun sinisnya, mampu mencalar ego si pendengar.
"Atau awak ingat dah jadi imam, awak dah maksum?" Aku tepuk perlahan muka dia sebelum melangkah keluar dari bilik. Dan bila sampai di depan pintu, aku kembali bersuara semula.
"You know what, Aidan? Awak boleh hukum saya."
Ayat aku tergantung sampai di situ saja dahulu. Dengan tujuan nak pancing Aidan yang sedang tunduk pandang ke bawah.
"Dengan cara ceraikan saya talak tiga. Biar saya terus hidup sebagai anak buangan babah. Tu hukuman awak untuk saya yang berdosa."
Itu yang terlafaz dari bibir sebaik saja dia dongak dan pandang muka aku lama. Kemudian, terus aku melangkah pergi. Bukan masuk ke dalam dewan, tetapi pulang ke rumah sewa.
Share this novel