Selepas dua bulan, kami kembali bertentang empat mata. Ada rasa marah yang mula menguasai jiwa. Namun demi Hanani a.k.a Nani, aku abaikan perasaan sendiri untuk seketika. Semua demi keharmonian manusia sejagat yang berada di meja makan.
Lagipun, bergaduh di hadapan orang bukan cara aku. Cukup Aidan seorang yang perangai seperti samseng kampung. Jangan aku pun ikut perangai yang sama. Takut bakal mengundang fitnah dalam hidup.
"You memang senyap kan, Adel?"
Selepas sekian lama, akhirnya aku pula yang menjadi subjek perbualan di meja. Terhenti terus tangan Aidan yang sedang menguis makanan di dalam pinggan. Padahal soalan tu datang daripada tunang Nani yang bernama Umar untuk aku.
Dan bila ada Nani, aku tak perlu susah payah untuk buka mulut. Dia yang akan tolong jawab bagi pihak aku. Pendek kata, dia ibarat pengurus tak berbayar dalam hidup manusia yang bernama Adelina binti Borhan.
"Hmm... dia memang senyap. Jenis berat mulut. Bercakap bila perlu aje. Tak macam I yang riuh macam radio buruk." Sambil bercakap, Nani jeling manja ke arah aku. Persis pasangan kekasih yang sedang hangat dilamun cinta.
Dalam dunia ni, cuma Nani dan mak su yang sentiasa pandang aku dengan rasa kasih sayang dan penuh penghormatan. Tak pernah pandang aku jijik meskipun latar belakang hidup aku sangat hitam. Lebih hitam daripada kegelapan malam.
Malangnya gara-gara perbuatan bersahaja Nani, renungan Aidan pada aku makin bertambah tajam. Cuma pada hari ini, renungan dia nampak biasa. Tak terselit perasaan marah dan dendam seperti selalu.
"You radio buruk pun, I tetap sayang."
Balasan yang datang daripada Umar bersama senyuman lebar hingga ke telinga. Boleh nampak yang dia sayang sangat Nani. Untung kawan baik aku...
Nasib baik aku dah terbiasa dengan situasi bercinta antara Nani dan Umar. Tak ada lah anak tekak rasa geli-geleman. Kalau tak, ada juga yang muntah hijau di atas meja restoran.
Sebenarnya setiap kali Nani keluar dating dengan Umar, aku akan teman. Dari zaman bercinta sehingga sekarang. Konon-konon aku ini sebagai pencegah amar makruf dan nahi mungkar. Kerana dalam hubungan cinta antara dua hati yang belum berkahwin, sentiasa akan muncul syaitan sebagai orang ketiga.
Sekurang-kurangnya bila ada aku, setiap perbuatan Nani dah Umar masih berada dalam kawalan. Tapi... itulah. Aku pula yang terpaksa menjadi mangsa tontonan drama Akasia mereka berdua.
Adakah aku cemburu?
Tak, aku tak cemburu langsung. Malah, tumpang bahagia. Kerana senyuman pada wajah Nani menjadi penyumbang pada kebahagiaan aku. Sejujurnya selama 10 tahun ini, aku rasa nikmat bahagia melalui senyuman ceria Nani.
"You... Aidan. Kenapa tengok kawan baik I macam nak telan hidup-hidup?" tegur Nani sebelum dia pandang muka aku dan Aidan silih ganti.
Serta-merta muka dan telinga Aidan bertukar pada rona merah buah tomato. Mungkin malu kerana kantoi dengan Nani
Sementara aku cuma tunjuk muka kosong sambil suap spageti karbonara masuk ke dalam mulut. Aku masih berselera biarpun kena tenung dengan Aidan sejak mula dia melangkah masuk ke dalam restoran tadi.
Sekarang baru aku percaya, dunia ini memang kecil. Dalam banyak-banyak tempat, dekat sini juga kami nak terserempak. Dan benda paling mengejutkan, dia salah seorang kawan baik Umar.
Selama bertahun-tahun aku teman Nani dan Umar dating, Aidan tak pernah muncul di depan mata. Tapi petang ini, kami boleh bersemuka pula.
Sesungguhnya, ini bukan takdir yang terindah. Cuma ujian kecil Tuhan pada petang Sabtu. Aku kena bersiap sedia dari saat ini. Bila-bila masa saja dia akan serang aku.
Sekarang mungkin dia masih senyap lagi kerana ada Nani dan Umar. Tapi selepas keluar dari sini, sah dia akan mengamuk macam selalu. Aku ni seolah-olah minyak petrol dalam hidup dia yang sentiasa membara dengan api kemarahan.
"You jangan cari fasal, Aidan. Kawan baik I dah kahwin."
Nani cuma tahu aku dah kahwin dengan bekas tunang Dayah. Tapi dia tak tahu secara terperinci latar belakang Aidan. Termasuk nama Aidan. Aku pun mengelak daripada bercerita kerana malu. Yang dia tahu hanya...
"Suami aku tak boleh terima aku, Nani."
Itu ayat pertama dan terakhir yang muncul keluar dari bibir sebaik saja aku balik dari kenduri kahwin adik Aidan. Petang itu, aku menangis tanpa suara dalam pelukan Nani.
Dan dengan satu ayat tu saja, dia dah boleh faham situasi sebenar aku sebagai seorang isteri. Itu kali pertama aku buka mulut selepas berbulan-bulan bertahan sebagai isteri pada lelaki yang bernama Ahmad Aidan bin Ahmad Attar.
Sedar tak sedar... dah dua bulan berlalu, namun kesannya masih terasa segar di hati. Gara-gara perangai tak berperikemanusiaan Aidan, aku kembali berjumpa doktor sebelum jiwa kian tenat.
"Aidan pun dah kahwin. So, you jangan risau. Dia takkan cantas kawan baik you ni, sayang."
Aku tak terkejut pun dengan ayat Umar. Kerana aku yakin, semua orang sekeliling Aidan tahu yang dia dah berkahwin. Cuma tiada siapa yang tahu pengantin perempuan dah bertukar orang. Segalanya masih kekal sebagai rahsia keluarga.
Lagipun, hanya keluarga terdekat dia saja yang datang waktu majlis akad nikah di rumah babah. Orang lain tak datang pun. Termasuk Umar.
"You dah kahwin lain, Aidan?" soal Nani agak teruja.
Lambat-lambat, dia anggukan kepala dan tanpa pandang aku. Anak mata dia menghala tepat pada muka Nani yang duduk sebelah kiri aku. Dan aku pula, duduk berhadapan dengan bekas tunang Dayah.
"Tapi yang aku pelik sangat... sampai sekarang kau tak buat kenduri lagi. Padahal kenduri kahwin adik kau dua bulan lepas, punyalah meriah." Umar pandang Aidan dengan rasa syak wasangka.
Aku tergelak hambar dalam hati.
Aidan kahwin dengan aku pun terpaksa. Jadi, tak mungkin dia nak buat kenduri kahwin gilang-gemilang. Jatuh maruah dia nanti depan orang ramai. Lebih-lebih lagi, aku bukan perempuan baik dan suci seperti Dayah.
"Sampai bila kau nak sembunyi isteri kau, Dan?" Tambah Umar dalam bentuk soalan lalu menyiku lengan si kawan baik.
Tak semena-mena, bebola mata Aidan melekat pada muka toya aku. Agak lama juga sebelum dia mula bersuara.
"Isteri hanya untuk tatapan suami. Bukan untuk lelaki lain," jawab dia senada.
Tanpa sedar, aku anggukan kepala. Buat kali pertama, aku setuju dengan kata-kata yang datang daripada pihak Aidan. Walhal aku sedar, dia tengah menganjing sebenarnya.
"Jawapan klise sangat. Sebelum terlupa... I nak tanya you something, sayang."
Giliran Umar pula bercakap. Dan pada masa yang sama, pandangan Aidan masih berpusat pada muka aku. Cara dia tenung ibarat aku ni manusia purba yang muncul pertama kali selepas beratus-ratus tahun.
"You nak tanya apa?"
"Suami Adel tak marah you ke, sayang?"
Secara automatik, sepasang mata Aidan tertumpu pada muka Nani. Memek muka dia sekarang seperti telur di hujung tanduk. Seolah-olah dia takut sangat Nani tahu tentang hubungan kami suami isteri.
"Kenapa suami Adel nak marah I?"
"Yalah... You usung bini dia merata," jawab Umar seraya tersenyum kecil pada aku.
"Suami hanat tu nak marah I? Lambat lagi..." Garang Nani membalas bersama satu tepukan yang kuat di atas meja.
Dan hasil daripada suara menyinga Nani, tersedak teruk Aidan sampai berair habis mata. Sepantas kilat, dia capai gelas air lalu minum hingga ke titisan yang terakhir.
"Kau dah kenapa, Dan? Duk tak duk... tersedak. Kau bukan suami hanat, kan?" Umar gelak sarkastik pada hujung ayat.
"Bukan lah, bangang! Aku sayang bini aku..." balas Aidan kekok selepas tampar belakang badan Umar.
Aku tengok muka Aidan bersama senyum sinis yang tersungging di bibir. Nak membongak pun, janganlah depan aku. Nampak sangat dia lelaki yang hipokrit.
"I yakin Aidan tak hanat. Tak macam suami Adel." Nani tepuk perlahan kekura tangan aku. Seakan-akan sedang memberi aku sokongan moral.
Aku tunduk, tapi ekspresi muka masih sinis. Kalau Nani tahu yang suami hanat aku dan Aidan itu orang sama, macam manalah reaksi dia. Silap hari bulan, semua gigi depan Aidan patah habis semua kena tumbuk dengan tunang Umar.
"Apa nama suami hanat Adel, Nani?"
Tenang Aidan menyoal. Tapi bila sampai pada perkataan 'hanat', emosi dia agak terganggu. Suara sedikit gentar. Air muka pula berubah keruh.
Dan aku yakin 100%, dia bukan tanya saja-saja. Dia tanya untuk pancing reaksi Nani. Sama ada Nani tahu atau tak, yang dia itu suami aku.
"I tak tahu nama suami Adel. Tapi bagi I... nama suami Adel cuma satu patah perkataan aje." Nani cucuk brokoli bersama mata yang mencerlung.
"Apa satu patah perkataan tu, sayang?"
"Hanat... Nama tu yang paling layak untuk lelaki bajingan."
Buat kesekian kalinya, Aidan tersedak air liur. Laju tangan dia bergerak untuk mengambil gelas aku. Tapi sebelum sempat jari dia mencecah pada gelas, aku terlebih dahulu tarik gelas sendiri menjauh. Lalu dengan lagak bodoh, aku sedut sehingga luak separuh gelas.
Perangai manusia memang macam ni, kan?
Bila terdesak, yang jijik pun nampak paling suci. Padahal sebelum ini, dia nak sentuh hujung jari aku pun tak sanggup.
Terkebil-kebil mata Aidan bersama batuk yang makin menjadi-jadi. Dia pandang aje air aku dengan muka menagih simpati.
"Kau dah kenapa, Dan? Asyik tersedak aje." Mulut mengomel macam orang tua, tetapi Umar tetap tolong gosok belakang badan Aidan. Dia siap pelawa air lagi untuk si kawan baik.
"You jangan buat perangai hanat dengan I tau, Umar! Kalau you hanat dengan I, I cincang you sampai lumat Umar," tambah Nani ibarat tak terkesan langsung dengan kejadian tersedak Aidan.
Berubah pucat terus muka Aidan. Kalau toreh dengan pisau, mungkin tak ada setitik darah yang menitis.
Dan makin bertambah pucat, bila Nani cincang habis brokoli yang berada dalam pinggan dia. Seolah-olah dia tengah cincang jari suami yang berperangai hanat pun ada.
Akhirnya, terhambur gelak halus dari bibir aku. Terhibur dengan luahan perasaan Nani. Dia memang pelindung aku nombor dua selepas mak su. Tanpa dia dan mak su, mungkin diri aku yang sekarang lebih teruk keadaannya.
Share this novel
sis.... update please