Sementara tunggu Nani yang masih ralit bersembang dengan Umar di dalam restoran, aku lepak dulu di kedai kopi. Tak jauh pun. Hanya selang satu pintu.
Setiap kali lepas makan, aku akan minum kopi kosong. Rutin wajib seorang Adelina. Konon-konon sebagai pencuci deria rasa dan anak tekak. Padahal hakikat yang sebenar, aku peminat tegar kopi. Tanpa kopi, hidup rasa sendu.
Selain kopi, aku suka hujan. 23 tahun lepas, aku bukan manusia yang suka hujan. Kerana ada tragedi buruk yang pernah terjadi waktu hujan. Kejadian yang menyebabkan hidup aku berubah 180 darjah.
Tapi sejak tiga tahun lepas, aku mula suka hujan. Kerana hujan ini ibarat remedi untuk jiwa dan raga aku. Dan setiap kali hujan, aku akan teringat lagu Shima yang bertajuk Kepangkuanmu. Salah satu lirik dalam lagu itu memang 100% tepat untuk aku.
Pendek kata, kopi dan hujan rintik pada petang ini satu rahmat Tuhan untuk aku. Sekurang-kurangnya, aku boleh hapuskan bayangan muka Aidan dalam kotak fikiran. Walaupun kami tak bercakap tadi, tapi kehadiran dia dah lebih daripada cukup untuk buat emosi aku berantakan.
Sedang aku melayan perasaan sambil pandang titisan hujan yang membasahi dinding kaca kedai, tiba-tiba Aidan muncul. Mati terus mood tenteram aku. Dan secara automatik, perasaan bergelora seperti ombak pada musim tengkujuh.
"Adel..."
Teguran yang datang bersama intonasi suara yang cukup lembut dan sopan. Agak berbeza dengan Aidan versi dua bulan lepas.
Dah kenapa lelaki ni?
Takkan kena sampuk dek gelaran 'hanat' daripada Nani?
Rasa pelik pula. Macam cepat sangat insaf. Dalam sekelip mata, intonasi suara dia boleh berubah persis lelaki gentleman. Siap panggil aku 'Adel' lagi. Jangan-jangan ada udang di sebalik batu.
"Adel..." seru dia buat kali kedua.
Aishh, apalah masalah lelaki ni? Dia ada masalah jiwa? Atau dia dengki tengok aku bahagia?
"Awak nak apa, Aidan?" soal aku tak mesra alam dan sangat dingin. Sama dingin dengan renungan aku.
"Aku nak cakap dengan kau, boleh?"
Wow, mengagumkan!
Bukan setakat intonasi suara dia yang berubah. Malah, dia dah pandai minta izin sekarang. Ini penangan gelaran 'hanat' atau kerana tamparan aku tempoh hari?
"Awak nak cakap dengan saya?"
"Haah." Dia kedip kelopak matanya dalam satu kali.
"Serius? Atau awak nak sambung hina saya sebenarnya?" tanya aku staright to the point.
Selama ini, mana pernah dia cakap elok-elok dengan aku. Nada dia sentiasa menyinga sampai tahap boleh pecah gegendang telinga. Dan, akan berakhir dengan pergaduhan besar antara kami berdua.
"Aku berani sumpah atas nama ibu. Aku takkan hina kau... hari ni." Dia bersumpah seraya mengangkat tangan kanan sama paras dengan bahagian bahu.
Aku tergelak hambar
Nampak sangat dia ada rancangan untuk hina aku pada masa hadapan. Sebab itu, sambungan perkataan 'hari ni' tu agak lambat. Selepas selang beberapa kali hembusan nafas.
"Tak takut kantoi dengan Nani dan Umar?" Restoran dan kedai kopi bersebelahan. Bila-bila masa saja, pasangan tunang itu boleh muncul dekat sini.
"Amanah ibu lebih penting buat masa sekarang."
Jawapan sepantas kilat Aidan hanya mengundang senyum tipis aku semata-mata. Perangai dia langsung tak seiring dan sejalan. Hanat pada isteri sendiri, tetapi sangat menghormati si ibu
Bukan sepatutnya sebagai lelaki, dia kena hormat setiap wanita dalam dunia ni?
Itu baru sifat lelaki gentleman yang original dan terbaik dari ladang. Bukan terbatas pada latar belakang hidup seorang wanita semata-mata.
"Apa amanah ibu awak?"
Dia mengeluh terlebih dahulu sebelum tarik kerusi untuk duduk. Tapi belum sempat punggung dia berlabuh di atas kerusi, suara tegas aku dah kembali berbunyi.
"Jangan duduk dekat sini. Duduk dekat tempat lain."
"Kalau tak duduk sini, aku nak duduk mana?" Ton suara Aidan masih mesra pada pendengaran walaupun mukanya berkerut seribu.
"Duduk meja sebelah. Jangan duduk semeja dengan saya." Aku tunjuk meja sebelah kanan yang kosong tanpa penghuni. Anak mata lurus ke hadapan. Lebih rela pandang dinding daripada tengok muka kawan baik Umar.
"Kenapa? Kau jijik dengan aku?"
Tercarik senyum sinis pada bibir aku.
Siapa yang jijik dengan siapa? Dia tengah bercakap dengan cermin ke?
"Saya tak nak kantoi dengan Nani."
"Kenapa? Kau malu terpaksa kahwin dengan duda?"
"Tak. Saya cuma risau Nani masuk lokap. Gara-gara belasah lelaki macam awak."
Itu bukan ugutan, tetapi peringatan mesra. Kalau Nani nampak kami duduk semeja, sah dia akan syak yang bukan-bukan. Sebab dia tahu perangai aku macam mana. Aku bukan jenis perempuan yang sewenang-wenangnya boleh duduk semeja dengan lelaki asing. Silap hari bulan, boleh kantoi yang Aidan ni suami aku.
"Kenapa lelaki macam aku? Hanat sangat?" Dia tunjuk muka sendiri bersama renungan yang tajam. Agaknya masih sakit hati dengan gelaran 'hanat' dari mulut celopar Nani.
"Awak rasa?"
"Aku rasa diri aku baik. Tak perangai lahanat pun."
"Okey." Aku jongket kedua-dua belah bahu. Gaya orang tak kisah. Padahal aku tengah tahan gelak daripada meletus keluar.
Kalau Aidan rasa dirinya baik, kenapa dia asyik tersedak waktu makan tadi? Kenapa dia nak terasa sangat dengan gelaran 'hanat' tu? Dia boleh saja buat bodoh seperti orang pekak badak.
"Lagi satu, sehanat-hanat aku..."
Ayat Aidan tergantung sampai di situ saja bila empunya suara sibuk menarik kerusi untuk duduk. Walaupun dah larang, dia tetap juga duduk semeja dengan aku.
"Aku tak pernah buat dosa besar macam kau," sambung dia dalam bentuk bisikan sebaik saja punggungnya berlabuh di atas kerusi.
"Saya tak tahu pula yang menghina orang tu boleh dapat pahala." Aku tenung ke dalam matanya sebelum tersenyum senget.
Dia pejam mata dengan kedua-dua tangan yang tergenggam erat di atas meja. Kemudian, dia usap dada sendiri sambil menghembus nafas perlahan-lahan ikut mulut.
"Dan lagi satu... awak dah makan sumpah. Awak baru lepas hina saya. So, assalamualaikun wahai ahli syurga." Habis saja cakap, terus aku bangun. Tak tunggu respons daripada Aidan terlebih dahulu.
Aku keluar petang ini untuk berhibur dan healing. Bukan untuk tadah lubang telinga kena maki dengan si jembalang tanah.
"Eh, Adel! Janganlah..."
Gelabah biawak dia jadinya bila tengok aku bangkit. Cepat-cepat dia pun bangun juga seraya menghalang pergerakan tubuh aku.
"Aku tak sengaja. Tolong duduk balik. Pleaseee... Adel," rayu dia bersama muka menagih simpati.
Ini kali pertama Aidan merayu. Dan sejujurnya, aku suka. Terasa diri aku yang hina nampak berguna pada mata dia.
"Minta maaf. Saya tak berminat." Walaupun suka, tetapi hati aku dah terluka. Orang macam dia memang tak boleh bagi peluang langsung.
"Jangan buat aku macam ni. Kesian dekat aku." Sambil merayu, dia goyang lengan aku berulang kali.
"Kenapa pegang? Tak takut kena sertu?" Anak mata aku jatuh pada tangan dia dulu selama beberapa saat. Lalu, baru bergerak ke atas dan melekat pada muka dia.
"Kenapa nak kena sertu? Kau manusia."
Wow, dahsyatnya!
Ahmad Aidan bila terdesak boleh bertukar personaliti jadi baik terus. Ibarat dia lelaki budiman yang tak pernah menghina aku selama ini.
"Aku merayu sangat-sangat dengan kau. Tolong duduk balik. Pleaseee..."
Aku suka dengar suara lemah tak berdaya dia. Seolah-olah hilang terus segala ego yang dia junjung sebagai lelaki hebat dan paling suci dalam dunia.
Sayangnya, rayuan dia datang tanpa ucapan minta maaf. Kalau dia minta maaf, mungkin lebih sempurna. Baru nampak yang rayuan dia tu memang ikhlas dari hati. Tak lah hanya mainan mulut kerana terikat pada amanah ibu semata-mata.
"Lagi sekali awak hina saya, saya balik rumah terus. Takkan ada peluang kedua," ugut aku sebelum duduk balik di atas kerusi.
"Saya janji." Dia angkat tangan sama paras dengan telinga.
"So, apa amanah ibu awak?" tanya aku usai saja Aidan duduk semula di atas kerusi. Tak berdiri seperti pak pacak di tepi meja.
"Ibu jemput kau datang rumah malam Khamis minggu depan. Ada kenduri doa selamat."
Sepantas kilat, aku gelengkan kepala. Menolak secara langsung jemputan yang datang daripada mak mentua.
"Kenapa kau tolak?" Bengang semacam aje suara garau Aidan.
"Saya sibuk."
Itu bukan jawapan mengelak, tetapi memang betul aku sibuk. Minggu depan aku outstation di Johor. Ada job audit dekat sana.
"Tak boleh cancel?"
"Tak boleh... Lagipun, cukup sekali saya terlibat dalam majlis keluarga awak. Saya tak nak awak tanggung malu kerana saya." Aku tak menyindir, tetapi fakta. Lambat-laun, keluarga besar Aidan akan tahu juga latar belakang hidup aku.
Bahagian atas bibir dia terbuka sedikit. Seolah-olah ada benda yang dia nak cakap. Tapi akhirnya, dia cuma tenung muka aku bersama tangan terlipat di atas meja.
"Saya minta maaf. Saya tak boleh datang minggu depan. Tolong kirim salam dekat ibu awak."
Tapi sejujurnya... kalau tak outstation pun, aku takkan muncul di rumah keluarga Aidan. Aku akan mengelak sehabis boleh. Semuanya demi mengelak daripada mengundang bahaya masuk dalam hidup yang retak menanti belah.
"Kau tak kesian dekat ibu? Ibu suka kau. Dia lebih suka kau daripada Dayah," luah dia dengan nada yang agak kecewa.
"Huhh?"
"Ibu sayang kau, Adel."
Itu luahan dia yang seterusnya. Luahan yang datang bersama satu keluhan berat dari celah bibir dia. Ibarat perasaan sayang ibu pada aku satu malapetaka besar dalam kehidupan harian dia.
Sedetik...
Dua detik...
Aku masih berada dalam keadaan senyap. Tengah ambil masa untuk hadam ayat yang datang daripada Aidan. Dan, ada rasa takut yang mula menguasai jiwa.
Tak mungkin ibu suka dan sayang aku...
Tak mungkin sama sekali!
Kerana orang tua sendiri pun tak pernah sayang aku. Malah, mereka paling benci aku. Mereka anggap aku anak yang membawa malang dan pemusnah keluarga.
"Ibu awak tahu sejarah hidup saya?"
Dia sekadar gelengkan kepala sebagai jawapan.
Share this novel