Bila peak period, memang aku akan balik kerja selepas azan isyak. Selagi tak dengar azan, aku akan duduk menghadap laptop sampai merah habis mata. Sama juga macam malam ini.
Sebaik saja habis azan, baru aku turun ke tempat parkir kereta yang agak gelap. Selalunya terang aje. Tapi malam ini, lampu jalan rosak. Itu yang gelap semacam.
Tengah simpan barang dalam kereta, tiba-tiba ada tangan yang hinggap pada bahu aku. Dan tak sampai sesaat, mata si pemilik tangan dah selamat kena sembur dengan pepper spray yang tergantung pada kunci kereta aku. Tindakan spontan bila badan mula berada dalam situasi bahaya.
Tak cukup sembur pepper spray, aku siap tendang lagi tulang kering si pemilik tangan sekuat hati. Sampai jatuh terduduk si lelaki yang muncul dalam pakaian serba hitam seperti seorang penjenayah.
"Arghhh, shit!"
Serta-merta darah dalam badan terasa kering-kontang bila suara garau Aidan yang menjengah ke gegendang telinga. Ini bukan penjenayah, tetapi psiko.
Macam lelaki ni boleh ada dekat sini?
Dia stalk aku?
Benci, tetapi mengekor aku seperti bayang-bayang. Dia suka muncul di depan mata dalam keadaan mengejut. Sama macam kes dekat tempat parkir kereta masjid dua bulan lepas. Dia ni hater atau peminat aku sebenarnya?
"Kau nak bunuh aku ke, perempuan?" soal dia garang dengan tangan kanan berada di bahagian mata. Manakala tangan kiri pula, tengah pegang tempat aku tendang tadi.
"Mana ada orang mati lepas kena sembur dengan lada," balas aku senada sambil mengambil botol air dari dalam kereta.
"So, kau memang ada niat nak bunuh aku?"
Aku putar anak mata ke atas dengan bibir yang tercebik. Sepatutnya, aku sembur lada dalam mulut dia. Baru dia reti diam dan padan muka.
"Aduh, makin pedih!" Merah padam muka dia menahan rasa perit pada mata yang terkena semburan lada.
Aku tersenyum sinis seraya duduk dalam keadaan melutut di depan Aidan. Aku pandang muka dia untuk seketika sebelum membuka penutup botol. Kemudian, baru aku hulur botol ke arah dia.
"Air." Pendek aje ayat aku. Gaya orang malas nak bercakap.
"Mana air? Tak nampak pun." Tangan kiri dia menggagau tak tentu hala. Sekejap di atas jalan raya. Selang beberapa saat, tangan dia tergawang di atas angin pula.
Aku pula bila tengok dia ibarat orang buta, lagilah rasa seronok nak mengusik. Setiap dua saat, aku akan ubah posisi tangan yang sedang pegang botol. Aku suka tengok lagak dia yang seperti orang bodoh.
"Kau tak boleh tolong aku ke, perempuan? Aku jadi macam ni pun kerana kau juga." Dia mengomel geram. Mungkin bengang bila tangan dia masih tak jumpa botol air.
"Apa perempuan kotor macam saya boleh tolong awak, Aidan?" tanya aku dalam bentuk bisikan sembari bertinggung di depan dia. Tak berada dalam keadaan melutut macam tadi.
"Adelina..." seru dia lemah tak berdaya dan berakhir dengan satu keluhan panjang. Kepala dia tertunduk rapat ke bawah.
"Hulur tangan awak dekat saya. Saya nak tuang air. Nanti awak basuh sendiri mata dan muka awak." Kerana rasa kesian dan belas ihsan sesama manusia, aku tolong juga dia.
"Kau tak boleh tolong basuh?"
"Awak nak tangan saya yang jijik ni sentuh muka awak?" Aku balas soalan Aidan dengan soalan juga.
"Tak apa. Nanti aku sertu."
Ternaik tinggi kening aku.
Sertu?
Ini hinaan yang paling terbaru dan pecah rekod selama 10 tahun ini. Dalam banyak-banyak perkataan, sertu juga yang dia pilih?
Dia nak sertu kerana sentuhan aku?
Buat sekian kalinya, hati aku hancur berkecai. Tak sangka pada mata dia, aku bukan manusia. Tapi cuma seekor anjing atau babi. Sebab itu, dia sampai tahap nak sertu. Orang hanya sertu anggota badan bila terkena najis mughallazah a.k.a najis babi dan anjing.
"Awak nak sertu kerana saya sentuh awak?" Suara memang tak ada intonasi. Tapi raut wajah aku, dah hilang sinar kebahagiaan.
Laju Aidan anggukan kepala dan berkali-kali.
Ya Allah...
Hina sungguh aku pada mata dia. Tak sepatutnya aku kahwin dengan dia lima bulan lepas. Sekarang jiwa dan raga sendiri yang kian sengsara.
Apa gunanya dapat gelaran isteri, tetapi maruah aku berada di bawah telapak kaki seorang suami. Malang sungguh nasib aku. Setiap lelaki yang muncul dalam hidup aku sejak dulu, semuanya pemusnah. Tiada seorang yang boleh jadi tempat aku berlindung.
Tapi, aku tak boleh sesekali rasa menyesal. Kerana lima bulan lepas, aku yang pilih untuk jadi isteri Ahmad Aidan. Dan setiap pilihan, pasti ada harga yang harus aku bayar. Sama ada dengan harga diri atau nyawa.
"Hey, perempuan! Kau masih hidup, kan?"
"Alhamdulillah, masih hidup." Elok saja habis cakap, terus aku bangun dan tuang air dalam botol dari atas kepala Aidan. Dalam sekelip mata, rambut dan kemeja hitam dia basah kuyup.
"Okey, done. Saya dah tolong awak, Encik Aidan. Paling penting, awak tak payah susah-susah cari air tanah untuk menyamak muka awak," olah aku bersahaja dan monotone.
"Kau! Huhhh..." Dia meramas kasar muka bersama dada yang berombak ganas.
Jujur, aku rasa terhibur tengok muka basah kuyup Aidan. Ibarat dendam aku pada malam ini terbalas. Tak tinggal langsung sebarang hutang. Namun benda paling menarik pada pandangan, mata merah menyala dia. Hampir serupa seperti hantu raya.
"Kau memang suka cari fasal dengan aku, kan?" Sambil menyoal, dia bangun dan goyangkan kepala dalam dua tiga. Lalu, dia buka satu per satu butang kemejanya sehingga nampak t-shirt fit warna putih dekat dalam.
"Saya balik dulu. Assalamualaikum." Seperti biasa, aku akan mengelak daripada sambung bergaduh dengan Aidan. Kerana berperang mulut dengan dia, takkan pernah bawa untung dalam hidup. Malah, menambahkan luka di hati.
"Eh, siapa kata kau boleh balik?" Dia tarik lengan baju kurung aku dari arah tepi.
"Aku datang cari kau sampai sini bukan untuk lepas rindu. Aku ada tujuan lain," sambung dia, bongkak.
"Apa tujuan awak? Nak kena sembur dengan pepper spray?" Aku tunjuk pepper spray yang berada dalam genggaman.
Dia jeling aku tajam bersama raut wajah yang tegang. Selepas beberapa minit, baru dia mula bersuara semula.
"Aku nak minta tolong," luah dia dengan suara yang cukup perlahan. Seolah-olah sedang berbisik pada diri sendiri.
"Huh? Awak kata apa tadi? Boleh ulang lagi sekali?" tanya aku serupa orang pekak badak. Padahal aku dengar aje. Jarak kami berdua bukan jauh sangat.
"Aku nak minta tolong kau." Nada suara dia naik seoktaf, tetapi bebola mata menghala ke bawah. Nampak sangat yang dia tengah malu dengan aku.
"Tak sangka perempuan kotor macam saya berguna juga untuk awak. Malam ni aje, dah dua kali awak minta tolong dekat saya."
"Haih, kau perempuan! Tak padan dengan bekas orang, sombong." Dia tersenyum sinis.
Aku hanya angguk, mengiakan. Penat nak bergaduh dengan lelaki yang tak matang macam Aidan. Buat membazir tenaga aje.
"Kau wajib tolong aku, perempuan. Aku tengah tuntut janji kau lima bulan lepas."
"Awak nak saya tolong apa?" Sebagai manusia yang berpegang pada janji, aku terpaksa mengalah dan mengikut rentak permainan Aidan.
"Kita makan dulu. Nanti waktu makan, aku bagi tau kau."
Tak semena-mena, dia tarik lengan baju kurung aku. Tangan kiri dia pula, tolong tutup pintu kereta aku yang terbuka luas sejak tadi.
"Awak sanggup makan dengan saya? Perempuan sama taraf dengan bohsia ni?"
Itu saja modal untuk aku mengelak daripada duduk semeja dengan Aidan. Risau aku kunyah nasi sambil makan hati nanti. Mulut dia dah lah jenis celopar.
Dan lagi satu, perkataan 'bohsia' itu datang daripada mulut babah dan khas untuk aku seorang. Aku lah bohsia dalam keluarga terhormat Encik Borhan. Memang perit kena cap dengan babah sendiri. Namun itu kenyataan yang terpaksa aku telan sejak 10 tahun lepas.
"Makan mulut masing-masing dan aku makan sambil tutup mata. So, tak ada masalah."
Dia bercakap tanpa pandang muka aku. Tangan dia pula masih setia tarik lengan baju kurung.
Aku mengeluh panjang dalam hati. Nak tak nak, aku terpaksa mengekor langkah dia dari arah belakang.
"Tapi awak basah." Aku guna cara lain pula sebagai jalan terakhir untuk mengelak.
"Setakat basah kerana air kosong, tak ada masalah. Lainlah kau. Dah terpalit dengan dosa. Susah nak bersih balik." Dia pusing pandang aku lantas tersenyum tajam.
Share this novel