Okey, sekarang baru aku faham. Patut ibu boleh layan aku persis seorang puteri waktu kenduri adik perempuan Aidan. Rupa-rupanya, masih ada rahsia yang tersembunyi. Dayah tak cerita pula pada ibu?
"Awak patut jujur dengan ibu awak. Bila awak jujur, saya yakin perasaan suka dan sayang ibu awak akan bertukar pada kebencian. Tak ada mak mentua yang sanggup terima menantu macam saya." Aku tersenyum tawar.
"Tapi... tu aib kau."
Spontan, aku cubit paha sendiri. Takut tengah bermimpi pada siang hari. Tak sangka aku akan dapat jawapan balas versi lindungan Kaabah daripada Aidan. Rasa kagum sangat. Namun dalam masa yang sama, rasa geram juga.
Aku ingat perempuan aje yang complicated. Lelaki pun dua kali lima juga. Ada masalah kecelaruan fikiran dan emosi.
"Awak mungkin lupa, tapi biar saya tolong ingatkan." Aku senyum dulu sesaat sebelum menghela nafas panjang. Tengah buat persediaan awal untuk lancar serangan peluru berpandu.
"Selama tujuh bulan kita kahwin... awak guna aib saya untuk pijak maruah saya habis-habisan, wahai Encik Ahmad Aidan. So, sekarang awak nak bercakap tentang aib dengan saya?"
Dia mengusap kasar muka sambil pandang ke arah luar. Tengah tengok hujan lebat yang turun mencurah ke bumi.
Tapi yang menarik perhatian aku saat ini, jemari dia yang agak menggigil. Dan juga, kerutan tebal pada dahi dia.
Agak-agak apa yang ada dalam fikiran dia sekarang? Rasa penyesalan atau api dendam yang semakin marak membakar jiwa?
"Kau tak faham masalah aku, Adel." Dia mengadu dengan anak mata yang masih menghala ke arah dinding kaca.
"Dan awak pun... tak pernah faham masalah saya. Fair and square. Jadi, bila kita nak bercerai?"
Selama dua bulan ini, aku sentiasa ternanti-nanti lafaz cerai daripada Aidan. Tak sabar nak bebas daripada hubungan suami isteri yang langsung tak mendatangkan kebaikan untuk kami berdua.
"Kau memang tak sabar nak jadi janda aku?" tanya dia dengan gigi yang terketap. Nafas pula menderu kasar.
"Awak salah pilih ayat. Bukan tak sabar nak jadi janda awak." Aku silang pangkah kedua-dua belah tangan sambil menggelengkan kepala. Biar dia nampak dengan jelas kesungguhan aku.
"Tapi... saya tak sabar nak jadi perempuan yang merdeka dan masih boleh bangga dengan diri sendiri. Bukan jadi wanita hinaan awak semata-mata," luah aku yakin. Lalu, aku teguk sampai habis kopi yang sudah sejuk dek penyaman udara kedai.
Bibir sebelah kiri Aidan tercunggit ke atas. Sejurus kemudian, dia mula tepuk tangan namun tiada bunyi yang keluar. Hanya gaya untuk menganjing semata-mata.
"Atau awak nak saya tuntut fasakh?"
Tak sampai sesaat, terhenti tepukan angin Aidan dan sepasang mata hitam dia mencerlung. Memek muka dia saat ini, mungkin lebih garang daripada bapak singa.
"Kau betul-betul nak bercerai dengan aku?"
Laju aku anggukan kepala dan beria-ia.
"Mungkin kau lupa, tapi tak apa. Biar aku tolong remind untuk kau." Giliran dia pula copy and paste ayat aku tadi. Namun rentak suara dia, lebih sinis dan tajam daripada aku.
"Kau yang merayu separuh mati dekat aku tujuh bulan lepas. Sekarang kau nak minta cerai pula, Adelina?"
Aku rasa dia memang sengaja panggil guna nama 'Adelina'. Kerana dia tahu, aku mudah lemah dengan sebutan nama penuh sendiri.
Malangnya, bukan untuk hari ini. Aku takkan sesekali lemah kerana sebutan nama sendiri. Aku akan terus bertahan dan lawan raksasa yang berada dalam minda.
"Ya, saya masih ingat. Tapi sekarang... saya rasa menyesal. Saya tak patut merayu pada awak tujuh bulan lepas," balas aku dalam mode monotone.
"So maksudnya, kau menyesal kahwin dengan aku?"
"Saya tak menyesal kahwin dengan awak. Saya cuma menyesal merayu pada jembalang tanah macam awak." Sewaktu perkataan 'jembalang tanah' meniti di bibir, jari telunjuk aku menghala ke arah muka dia.
Reaksi Aidan?
Dia naik angin. Hampir-hampir saja dia nak cekik aku. Sebelum akhirnya, dia gigit lengan sendiri untuk menahan rasa marah.
"Saya patut biar aje awak ceraikan saya dulu. Lebih baik jadi janda pada hari pertama perkahwinan. Daripada pegang gelaran isteri awak selama tujuh bulan," tambah aku sebagai pelengkap luahan hati.
"Kau terseksa jadi isteri aku?"
Aku gelak terbahak-bahak dalam hati. Soalan dia memang tahap Bodoh bin Bendul sungguh. Gaya macam polos sangat, tapi mulut serupa loji kumbahan.
"Awak terseksa jadi suami saya?" Aku balas soalan dia dengan soalan yang lebih kurang juga. Biar kami sama-sama checkmate.
Soalan aku tergantung sepi tanpa jawapan biarpun selepas lima minit. Aidan cuma pandang aku tak lepas. Ibarat muka aku ada skema jawapan untuk perasaan hati dia.
"Saya rasa kita sama-sama terseksa. So jalan yang terbaik, kita berpisah. Awak dah tak terikat dengan perempuan setan macam saya."
"Boleh tak kau jangan ungkit ayat aku?"
"Bila masa saya ungkit?" Aku main tarik tali. Padahal faham aje ayat mudah dia.
"Tu perempuan setan. Cuma aku aje panggil kau setan, kan?"
"Saya tak ungkit. Tapi memang fakta, kan? Di mata awak, saya setan. Hanya Dayah yang bidadari." Aku tersenyum polos.
Aidan ramas kasar rambut sebelum tumbukan tangan kanannya mendarat pada tangan sebelah kiri. Gamaknya dia tengah lepas stres dengan situasi tegang kami berdua.
"Kenapa kau tak menyesal setuju kahwin dengan aku?"
"Kerana babah," jawab aku pendek dan ringkas, tetapi lebih daripada cukup untuk Aidan faham.
Kerana lafaz akad Aidan, aku boleh nampak senyuman babah biarpun cuma lima saat. Itu senyuman pertama babah untuk aku selepas berpuluh-puluh tahun. Sebab itu, aku tak menyesal terima dia sebagai suami.
"Aku takkan ceraikan kau. Kau akan terus jadi isteri aku sampai bila-bila. Ni keputusan muktamad aku," ujar dia tenang.
"Saya tak kisah jadi isteri awak sampai bila-bila."
Terkedu dia kerana balasan sepantas kilat aku. Mungkin tak sangka aku akan balas macam tu. Padahal beberapa minit lepas, aku yang beria-ia nak bercerai.
"Tapi saya tak sanggup jadi lubuk dosa awak," olah aku sebelum berhenti untuk seketika.
"Hubungan suami isteri datang dengan tanggungjawab besar. Tanggungjawab memberi nafkah... perlindungan... kasih sayang dan banyak lagi. Kalau awak tak anggap saya sebagai isteri, macam mana awak nak jalankan tanggungjawab awak?"
"Aku... Aku... Aku..." Dia cuma ulang perkataan yang sama berulang kali. Tak ada sambungan perkataan lain yang muncul walaupun selang beberapa minit.
"Awak pun tahu kan, saya ni pendosa. Dosa saya dah terlampau banyak. Tolong jangan tambah dosa saya sebagai isteri awak, boleh?" soal aku lembut.
p/s: happy reading! ❤️
Share this novel
lamanya x update sis....updatelah...apa dh jadi 2 ketul ni