B1:BAYANGAN YANG HILANG

Romance Series 715

Bunyi deruan salji yang halus menimpa tingkap kaca kamar cukup untuk membangkitkan suasana dingin yang menyelubungi kota Seoul. Di dalam kamar mewah sebuah banglo tiga tingkat milik keluarga Puan Sri Hamyla, dua sosok gadis kembar sedang bertentang mata. Ariean Elissa dan Anieya Ellena, nama mereka seakan serupa, wajah mereka pula persis cermin, namun hati dan prinsip hidup mereka sangat berbeza.

"Nieya, kau pasti nak buat macam ni?" Suara Ariean bergetar, seolah cuba menahan segunung resah.

Anieya memeluk tubuhnya sendiri, wajahnya sayu namun tekad di matanya jelas terpahat. "Riean, aku dah fikir lama. Aku sayangkan Rafael. Aku tahu Mama tak setuju, tapi aku tak sanggup kehilangan dia."

"Tapi lari macam ni? Kahwin sorok-sorok dekat Malaysia? Nieya, kau tahu tak apa yang Mama akan rasa bila tahu kau hilang?" Ariean menghampiri kakaknya, menggenggam tangan sejuk itu erat.

Namun genggaman itu tak mampu menahan hati yang sudah bulat membuat keputusan.

---

Pagi keesokannya, banglo mewah itu digemparkan dengan kehilangan Anieya Ellena. Satu nota ringkas ditinggalkan di meja sisi:

*Maafkan Nieya, Mama. Ini pilihan hidup Nieya.*

Puan Sri Hamyla, wanita anggun dan tegas, hampir rebah apabila membaca nota tersebut. Tangannya menggeletar, wajahnya pucat.

"Dia ke Malaysia… demi lelaki tu," bisiknya penuh kecewa.

Ariean berdiri di sisi ibunya, namun hatinya sendiri sudah sarat dengan pelbagai rasa. Marah. Sedih. Bingung. Dan paling besar — bimbang.

Hari yang sama, Ariean menempah tiket penerbangan ke Kuala Lumpur tanpa berfikir panjang. Tidak peduli akan jadual nyanyiannya, rakaman drama yang tertangguh, atau dunia glamor yang sepatutnya menjadi keutamaannya kini. Yang penting, dia mahu cari kakaknya.

---

Lapangan terbang Kuala Lumpur bising dan sibuk seperti biasa. Saat Ariean melangkah keluar dengan bagasi kecilnya, dia masih sempat membetulkan kot trench hitam yang membaluti tubuh rampingnya. Wajahnya ayu, rambutnya yang beralun coklat gelap dibiarkan lepas, bergaya bak heroin drama Korea.

Tanpa disangka, satu tubuh lelaki yang sedang berjalan laju melintasinya tiba-tiba berlanggar dengannya.

"Eh maaf!" Lelaki itu cepat-cepat menahan lengannya agar tidak terjatuh.

"It’s okay," balas Ariean spontan, dalam nada lembut tapi sedikit kaget.

Noah Aqasha terpempan. Wajah di hadapannya… seperti dalam mimpi. Wajah yang sekali pandang, takkan mudah dilupa.

Namun sebelum dia sempat bertanya lebih lanjut, gadis itu sudah berlalu, hilang dalam lautan manusia.

Dia hanya mampu berpaling, memerhati langkah gadis itu menjauh — dan senyum tipis terbentuk pada wajahnya.

"Entah kenapa… aku rasa aku akan jumpa kau lagi."

---

Tiga hari berlalu di Kuala Lumpur. Tiga hari yang dipenuhi dengan pencarian yang tiada hujung.

Ariean menelusuri setiap jejak yang mungkin ditinggalkan oleh kakaknya — butik pengantin, pejabat urusan nikah, hotel murah, restoran kecil, taman rekreasi. Tapi semuanya menemui jalan buntu.

Dia menyewa bilik kecil berdekatan Bukit Bintang. Walaupun dia seorang selebriti terkenal di Seoul, dia tidak mahu menarik perhatian. Penampilannya disederhanakan, namun tetap terserlah elegan dari caranya berjalan dan bertutur.

“Nieya… mana kau sebenarnya?” bisiknya perlahan sambil duduk di bangku taman Tasik Titiwangsa.

Telefon bimbit di tangan dipandang sepi. Tiada mesej. Tiada petunjuk. Hanya satu gambar lama — gambar mereka berdua semasa zaman remaja — yang direnung berkali-kali.

---

Sementara itu, dalam sebuah bilik sewa sempit di Cheras, Anieya Ellena masih termenung. Wajahnya sembap, matanya sudah kering menangis. Baju pengantin yang sepatutnya dipakainya tempoh hari kini tergantung kaku di balik pintu.

Rafael Hazran telah mengkhianatinya. Pada hari mereka sepatutnya disatukan, dia melihat lelaki itu memeluk seorang wanita lain di belakang dewan majlis.

Anieya melarikan diri. Tanpa sempat beritahu sesiapa. Tanpa sempat menoleh.

---

Dalam waktu yang sama, Noah Aqasha sedang berjalan kaki menuju ke parkir selepas selesai bertemu klien. Hari itu dia tidak membawa kereta — sengaja ingin menikmati udara senja.

Sedang dia melintasi lorong kecil di belakang sebuah restoran, dia ternampak seorang gadis bertocang duduk mencangkung, memeluk lutut.

Wajahnya… sungguh dikenali.

"Awak okay?" soalnya perlahan sambil mendekat.

Anieya terkejut, namun tidak lari. Dia hanya mengangguk perlahan, cuba tersenyum walaupun senyuman itu penuh kepedihan.

Qash berdiri tegak. Jantungnya berdegup kencang.

*Wajah ni... gadis di lapangan terbang haritu. Mustahil aku lupa.*

Dia senyum, mencuba nasib. "Kita pernah jumpa sebelum ni, kan? Di airport?"

Anieya geleng. “Saya tak pasti. Mungkin tersilap orang.”

Tapi Qash tidak yakin. Dia makin pasti.

“Nama awak siapa?” soalnya lagi.

Anieya terdiam seketika. Akhirnya, dia menjawab jujur. “Nieya.”

Dan sejak hari itu, bermulalah satu hubungan yang pelik — antara lelaki yang menyangka dia bertemu kembali dengan gadis di lapangan terbang, dan gadis yang hanya ingin melupakan segalanya.

---

Dua minggu sudah berlalu sejak pertemuan Qash dengan Nieya di lorong kecil itu. Kini, hubungan mereka semakin rapat — bukan sebagai pasangan, tetapi sebagai dua insan yang saling menemani luka.

Qash tidak tahu kisah silam Nieya. Dan Nieya pula tidak berani untuk menceritakan segalanya, apatah lagi mengaku bahawa dia pernah melarikan diri dari keluarganya dan dikhianati oleh lelaki yang ingin dikahwininya.

Namun, setiap kali Qash memandang Nieya, dia makin yakin — dia sudah jatuh hati. Gadis itu lembut, sederhana dan tenang berbeza dengan wajah yang kali pertama dia lihat di lapangan terbang iaitu wajah Ariean. Wajah Anieya yang manis, senyumannya mendamaikan. Tapi dia tak tahu… itu bukan gadis yang dia jumpa di lapangan terbang dulu.

---

Di sisi lain kota, Ariean masih meneruskan pencariannya. Dia berhubung dengan kenalan lama Mama di Malaysia, bertanya kepada pihak berkuasa secara senyap, dan menghantar mesej kepada semua akaun media sosial yang mungkin berkait dengan Anieya — semuanya sia-sia.

Hatinya makin lelah. Namun dia tak mahu menyerah.

----

Udara pagi di Kuala Lumpur lembap dan berbau rumput basah selepas hujan malam tadi. Ariean Elissa berdiri di tepi tingkap bilik hotel bajet yang disewanya, memandang keluar ke arah bandar yang semakin sibuk. Rambutnya yang beralun hitam-coklat disepit kemas ke belakang, wajahnya bersih tanpa solekan. Hari ini, dia akan meneruskan pencarian kakaknya, Anieya Ellena.

Sudah beberapa minggu dia berada di Malaysia, namun belum juga berjaya menemui Nieya. Pelbagai tempat telah dilawatinya — hospital, rumah perlindungan wanita, malah kawasan kediaman lama yang pernah mereka kunjungi ketika kecil. Semuanya hampa. Panggilan kepada nombor lama kakaknya juga langsung tidak berjawab.

Di atas katil, seorang jejaka sedang melipat baju ke dalam beg galasnya. Wajahnya tenang, berbaju t-shirt hitam ringkas dipadankan dengan seluar khaki. Itulah Aufar Darin, sepupu dan sahabat karib Riean sejak kecil. Mereka membesar bersama di Seoul, Korea setelah keluarga mereka berpindah dari Malaysia.

"Kau dah siap? Kita kena keluar awal kalau nak sempat pergi dua tempat hari ni," ujar Aufar sambil menyandang begnya.

"Aku dah malas nak berharap, Aufar… rasa macam sia-sia semua ni," jawab Riean perlahan, matanya masih memandang ke luar.

"Kalau kau dah penat, kita boleh balik Korea dulu. Tapi aku tahu kau bukan jenis yang senang putus asa, Riean. Kita cari sampai jumpa," jawab Aufar dengan nada tenang namun yakin.

---

Anieya Ellena tiba teringat akan kejadian yang menimpa dirinya.

Hari yang sepatutnya menjadi hari bahagia bagi Anieya Ellena bertukar menjadi mimpi ngeri. Dengan gaun putih tersarung indah di tubuhnya, Anieya berdiri di hadapan cermin, jantungnya berdegup kencang. Perkahwinan yang dia pertahankan, yang dia tinggalkan keluarganya demi cinta, kini terasa hambar.

Beberapa jam sebelum majlis bermula, dia menerima satu pesanan daripada seorang wanita — video ringkas memaparkan tunangnya, Rafael Hazran, sedang bermesra dengan wanita lain. Dunia Anieya gelap seketika.

Tanpa sebarang penjelasan kepada sesiapa, dia keluar dari bilik pengantin dan melangkah pergi, meninggalkan segala-galanya — gaun, pelamin, dan Rafael.

Beberapa hari kemudian, ketika hidupnya bersimpang siur, dia bertemu dengan seorang lelaki yang secara tidak sengaja menolongnya — Noah Aqasha. Qash menyangkakan dia ialah gadis yang pernah ditemuinya di lapangan terbang — Ariean. Tetapi Anieya hanya diam, tidak membetulkan sangkaan itu. Dalam kekeliruan dan simpati, Qash menawarkan perlindungan. Mereka menjadi rapat, dan tidak lama kemudian, berkahwin secara sederhana.

Setelah 4 bulan berkahwin, Noah Aqasha dan Anieya Ellena mendapat berita gembira kerana akan segera menimang cahaya mata pertama mereka.

Namun takdir menguji mereka. Ketika mengandungkan anak pertama, kesihatan Anieya semakin merosot. Qash berulang-alik membawa isterinya ke hospital, dan sentiasa ada di sisi. Pada malam kelahiran, hujan turun lebat. Qash menggenggam tangan isterinya yang lemah di atas katil hospital.

"Kalau jadi apa-apa... jaga anak kita, Abang," bisik Anieya lemah.

"Jangan cakap macam tu... kita akan jaga dia sama-sama."

Tetapi takdir tidak mengizinkan. Anieya pergi sebaik sahaja bayi perempuan mereka dilahirkan — seorang bayi yang diberi nama **Ellesa Nayra**.

Qash tidak pernah tahu bahawa isteri yang dikahwininya bukan gadis yang mencuri hatinya di lapangan terbang dahulu. Dan dia juga tidak tahu, wanita itu kini kembali ke Malaysia — bersama sepupunya, Aufar Darin.

---

Kini, selepas tujuh tahun berlalu, Ariean Elissa kini seorang penyanyi, pelakon dan model terkenal di Korea Selatan dan Malaysia iaitu tanah airnya sendiri, dan kini dijemput ke Malaysia untuk menghadiri sesi penggambaran, wawancara,penyanyi jemputan di konsert dan promosi drama terbaru lakonannya.

Aufar masih setia di sisinya, sebagai sepupu, pengurus muzik dan satu-satunya lelaki yang memahami siapa Riean sebenarnya.

"Malaysia dah banyak berubah," ujar Aufar dalam kereta sambil memerhati bangunan-bangunan tinggi di luar tingkap.

"Tapi hati aku masih di tempat sama... masih berharap Nieya ada di sini," jawab Riean perlahan.

Takdir masih menyusun langkah-langkah mereka. Belum tiba masanya Noah dan Riean bertemu semula, tapi semua simpulan akan terbuka — bila waktunya sudah sampai.

Hi semua ini merupakan karya pertama saya sebagai penulis novel..harap korang semua lah ek hihi..Qash ni pun boleh tertukar pulak..tapi nak buat macam mana kan dah kembar seiras hehe..selamat membaca semua!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience