“Emak… Oh emak!”
Senyap. Mana pula pergi emak aku ni? Sampai keluar rumah aku cari. Jarang emak keluar rumah pagi-pagi macam ni.
“Em…ak. Oh kat sini rupanya.”
Emak tengah berbual dengan Megat. Seorang tengah jemur pakaian, seorang lagi tengah siram pokok bunga. Elok sangat lah tu.
“Rai beritahu abah nanti…”
Emak pandang aku. “Beritahu apa?”
“Emak dating dengan jiran sebelah.”
Entah apalah yang seronok sangat sembang dengan Megat ni sampaikan emak aku yang jarang siram pokok bunga pun boleh jadi rajin harini.
“Eleh… Abah tak kisah. Bukan sembang dengan orang lain pun. Bakal menantu emak juga.”
Bulat mata aku tengok emak. Tak malu betul lah emak ni! Kan mamat tu dah tersengih-sengih.
“Nak jodohkan dengan angah ke?”
“Eh, kamu ni… Mana boleh!”
Aku tersengih..
“Rai nak pergi bandar sekejap. Nak ambil stock untuk kafe. Emak nak kirim apa-apa tak?”
“Kirim salam ajelah. Kamu pergi dengan siapa?”
“Seorang sajalah. Kenapa? Emak nak ikut?”
Emak menggelengkan kepalanya beberapa kali. Kemudian, dia pandang Megat sekilas sambil tersenyum.
“Tak nak lah. Emak belum masak lagi.”
“Okay, Rai pergi dulu. Assalamualaikum,” kata aku sambil mencium tangan emak.
Tapi emak seperti tak nak lepaskan tangan aku. Emak pandang Megat yang baru siap jemur pakaian.
“Megat! Kamu tak kerjakan harini?”
Ah sudah! Jangan cakap yang emak nak suruh dia…
“Kamu teman Rai pergi ke bandar, boleh? Makcik risau lah dia memandu seorang. Kamu sibuk tak harini?”
Hesy! Emak aku ni…
“Eh? Tak payahlah. Rai boleh memandu seorang.”
Mak menjeling aku supaya aku diam. Bila emak dah pandang aku begitu, maksudnya keputusan adalah muktamad.
“Saya tak sibuk hari ni. Kalau Rai tak kisah, saya okay aje.”
Ek eh… Aku tarik tangan emak sampai ke kereta aku.
“Emak… Rai tak nak lah keluar dengan dia… Kan tak elok keluar berdua.”
“Siapa cakap emak nak biarkan kamu keluar berdua saja?”
Berkerut dahi aku. Aku salah dengar ke? Bukan tadi emak suruh Megat teman aku pergi bandar ke?
“Kamu bawa Yan sekali. Dia kan tak sekolah. Boleh lah dia hilangkan stress juga sebelum periksa pertengahan tahun minggu hadapan.”
“Baik Rai ajak Yan aje. Tak payah suruh pakcik sebelah tu teman sekali.”
“Bawa ajelah Megat sekali. Boleh juga kamu kenal-kenal dengan dia nanti.”
Hesy… Emak ni… Aku dah agak dah! Ini mesti ada agenda lain! kut lah Si Megat tu ada kerja lain ke kan? Tak fasal-fasal kena ikut aku pula. Tak fasal-fasal juga kereta aku jadi senyap sunyi. Bunyi cengkerik pun tak ada! Dah macam ambil ujian memandu. Nak bawa laju-laju pun tak boleh. Nanti doktor sebelah ni beritahu emak pula.
“Err…Kak nanti singgah kedai buku kat dalam mall tu, boleh?”
Yan yang duduk di tempat duduk belakang akhirnya bersuara memecah kesunyian.
“Hmm… Boleh. Nak beli buku ke?”
“Ha’ah. Nak beli buku rujukan dengan alat tulis sekali.”
Aku mengangguk. Sesekali aku pandang Megat di sebelah. Dia boleh tidur? Kemudian, aku pandang Yan sekilas di belakang yang sedang menahan tawa. Aku pun tertawa bila lihat muka Yan dah merah padam ketawa perlahan di belakang sehingga mengejutkan lelaki tersebut.
Megat menggosok matanya beberapa kali dengan tangan. “Dah sampai ke?”
“Dah nak balik.”
“Hah?”
“Lap tu air liur basi.”
Yan ketawa melekek-lekek di belakang. Megat terus menyentuh bibirnya sendiri.
“Mana ada.”
Aku tertawa melihat kelakuan dia. Apalah dia ni. Perlahan sangat ke aku memandu sampai dia boleh tertidur? Patutlah senyap saja. Nasib baik dia tak berdengkur.
Selepas selesai urusan mengambil stok untuk kafe, kami terus ke kedai buku yang terletak di dalam mall tidak jauh dari tempat aku mengambil stok.
“Kak Rai. Yan mungkin lama sikit kat kedai buku. Akak jalan-jalan lah dulu dengan Abang Megat kat dalam mall ni.”
“Tapi…”
Belum sempat aku habiskan ayat, Yan dah melambaikan tangan sambil tersengih-sengih. Mesti emak yang suruh dia buat macam ni. Hesy…
“Jom! Kita lepak dekat kedai dessert tu.”
Aku hanya mengikuti langkah Megat. Dia ni jalan bukan main laju. Aku tahu lah kaki dia tu panjang. Agak-agak lah. Aku baru nak masuk ke dalam kedai tersebut, tanganku ditarik oleh seseorang. Terkejut aku. Baru nak marah. Rupa-rupanya dia…
“Biha?!”
Biha tertawa. Aku menampar lembut tangannya.
“Terkejut aku tau!”
“Aku lagi terkejut nampak kau jalan berdua dengan Dr. Megat.”
“Eh? Kau kenal dia?”
“Tak kan lah tak kenal. Dia kan lecturer kat tempat kita belajar dulu. Sekarang, aku pun dah mengajar di UKM. Lagi lah aku ingat muka dia. Baru beberapa hari lepas UKM buat program. Dia pun ada bagi talk untuk student. Macam mana kau boleh jadi girlfriend dia pula ni? Tak cerita pun!”
Panjang lebar Biha bercakap sampaikan aku tak boleh nak mencelah.
“Hesy… Kita orang tak ada apa-apa lah. Dia menyewa sebelah rumah aku. Masalahnya, aku tak ingat dia. Tapi dia macam kenal aku sangat-sangat. Aku nak tanya kau, nombor kau pula hilang. Dia pernah mengajar kita ke?”
“Dia pernah relief kelas Dr.Fauziah. Tapi, satu masa saja. Memang logik lah kalau kau tak ingat. Tapi dia famous tau di UKM sekarang. Tengok lah dia sekarang, dah semakin sado!”
Ceh! Aku dah agak dah! Pakcik tu menipu!
“Tapi… Macam mana dia boleh tahu nama penuh aku? Macam-macam tentang aku?”
Biha terdiam seperti sedang berfikir sejenak.
“Baru aku teringat. Kau ingat tak dulu masa kita belajar di UKM. Aku pernah tunjuk kau… Ada seorang pelajar perempuan ni, muka dia sama sebiji macam kau! Kau ingat tak?”
“Ada ke?”
Dia suruh flashback lah pula. Aku ni dah lah cepat lupa muka orang.
“Ada… Nama dia pun lebih kurang kau. Tapi nama dia, Raisha Madiha. Birthday kau orang pun sama!”
“Birthday pun?”
Biha mengangguk.
“Kau tak ingat ke? Masa kita celebrate birthday kau, kita terserempak dengan Dr. Megat. Perempuan tu pun ada sekali. Dr. Megat siap bagi ucapan happy birthday kat kau. Kau lupa ke?”
Aku menggaru-garu kepala yg tidak gatal. Tiba-tiba, Biha mencubit lengan aku.
“Kau ni! Benda sweet pun kau boleh lupa! Dr. Megat tu banyak kali cuba nak dekat dengan kau. Tapi kau macam mengelak. Kau kata dia dah tua. Banyak makan semut lah kau ni.”
“Benda tak penting. Buat apa nak ingat! Perempuan tu girlfriend dia ke? Dah putus ke?”
Biha menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Perempuan tu… Adik dia. Adik dia dah meninggal. Tak silap aku lepas kita tamat belajar.”
Aku menekup mulut. Aku ingatkan dia betul-betul anak tunggal.
“Adik dia sakit ke?”
“Accident. Kau pun accident kan dulu? Bezanya, kau accident masuk parit. Adik dia accident masuk gaung. Sekarang ni… Dia minta cuti panjang. Mungkin sebab tak boleh nak fokus mengajar. Teringat adik dia kut. Bila ada talk untuk student atau event yang memerlukan dia, baru dia akan datang.”
Aku mengangguk faham. Aku rasa sebab dulu dia tak penting dan tak sekacak sekarang… Sebab tu aku tak ingat dia. Atau sebab kepala aku terhentak semasa accident.
“Kau jalan seorang ke?”
Biha tersenyum. Lalu menggenggam erat jari jemari aku.
“Aku beritahu ni… Kau jangan marah tau? Tapi… Sumpah… Aku bukan khianat kau. Aku bertunang dengan dia pun baru tahun lepas.”
Dahi sku berkerut. “Kau tunang dengan siapa?”
“Sekejap.”
Biha melambai-lambai tangan ke arah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari situ. Dan lelaki itu…
“Kasha?!!!”
Biha menekup mulut aku.
“Ma… Macam mana kau boleh bertunang dengan dia?”
Kasha tu… Crush aku! Aku minat dia sejak semester pertama lagi. Biha lah yang selalu dengar luahan hati aku. Tak sangka pula dia juga yang bertunang dengan lelaki tu. Disebabkan Kasha lah aku tak pandang lelaki lain. Patutlah aku tak ingat apa-apa fasal Dr. Megat sebab aku tengah angau dengan lelaki lain!
“Aku pun tak sangka… Mak aku berkawan baik dengan mak dia. Mak kita orang yang aturkan. Betul!”
Aku mencebik. Hmmm… Cliche sungguh!
“Kau jangan marah tau?!”
Biha memeluk aku. Aku tak tahu nak marah ke apa. Perasaan suka pada Kasha dulu memang dah lama padam. Iyalah, dah 7 tahun berlalu. Kasha pun bukan tahu aku suka pada dia.
Aku melepaskan pelukan. Aku tarik nafas dalam. “Aku tak marah lah. Aku minta maaflah sebab dulu selalu luahkan perasaan pada kau fasal Kasha. Kalau aku tahu akan jadi macam ni, aku tak akan cerita pada siapapun.”
Biha peluk aku lagi.
“Kau tak salah. Aku tak kisah. Dulu pun aku bukan ada simpan apa-apa perasaan pada dia. Kau jangan jauhkan diri dari aku pula. Nanti simpan nombor aku tau!”
Tiba-tiba…
“Raisha Medina. Kenapa ni?”
Terkejut aku mendengar suara Megat yang betul-betul berada di belakang aku. Aku hanya menggelengkan kepala beberapa kali.
“Saya telefon awak banyak kali. Kenapa tak angkat? Risau saya tahu tak?”
Memang nampak muka Megat tengah risau saat ini. Tak tahu lah dia risaukan aku atau risau dia kena tinggal.
Biha tersenyum sambil melihat aku dan Megat silih berganti. “Hai, Dr. Megat!”
“Eh? Nabiha? Buat apa kat sini?”
“Saja jalan-jalan dengan Kasha. Tadi, ternampak doktor dengan Rai. Itu yang saya kidnap Rai sekejap. Maaf ya pinjam girlfriend doktor tak beritahu,” jawab Biha sambil tersengih-sengih.
Aku cubit pinggang Biha. Sempat pula dia mengelak. Megat pun tak nak kalah.
“Apa girlfriend pula… Bakal isteri lah.”
Bulat mata aku pandang dia. Dia boleh buat tak bersalah pula.
Biha tertawa. “Semoga jodoh Dr. Megat dengan Rai kuat dan berkekalan sampai hujung nyawa. Aamiin.”
Eh?
“Aamiin…!” kata Megat sambil menadah tangan.
Kuat pula tu dia sebut ‘Aamiin’. Tak malu betul! Biha tersengih-sengih sambil menyiku tangan aku. Aku buat-buat tak dengar saja.
Orang tua ni bukan boleh di layan!
Share this novel