Malam ini, aku minta izin dari ayah dan ibu untuk mengikuti program ceramah yang dianjurkan oleh Masjid Kampung Besut bersama Eyra. Kalau tak ada Eyra, ayah tak akan bagi aku pergi seorang. Gigih betul nak pastikan yang dr. Megat dan jiran aku ini adalah orang yang berbeza, sampai sanggup pergi ke masjid Kampung Busut yang agak jauh dari kampung aku. Ini semua Eyra punya rancangan.
“Kita ni… Tak macam beriya sangat ke?”
Kami duduk di barisan ketiga di bahagian tempat duduk muslimat. Jadi, nanti masih boleh nampak dengan jelas muka penceramah.
“Beriya apanya? Kan kita nak pergi dengar ceramah ni.”
Aku mencebik. Dengar ceramah lah sangat, padahal dia nak cuci mata tengok Dr. Megat Raihan. Macam lah aku tak tahu.
“Macam mana kalau Dr.Megat tu bukan Megat jiran aku?”
“Haaa… Lagi bagus. Kau ambil Megat jiran kau tu, aku pula boleh ambil Dr.Megat ni.”
Ceh! Dia ingat doktor tu nak kat dia ke? Entah-entah… Pandang sebelah mata pun tidak. Dia ambil sajalah Megat tu, aku tak nak.
“Eyra. Macam mana kalau…”
“Sssyyhhh… Banyak betul soalan kau. Tirai nak buka dah tu. Kita tunggu dan lihat.”
Hesy… Nak tanya pun tak boleh! Bukan kena bayar pun kalau jawab soalan. Tak lama kemudian, tirai pun di buka. Ada tiga kerusi kosong yang sudah tersedia. Kerusi pertama untuk Pengerusi majlis, kedua untuk penceramah pertama iaitu Ustaz Haji Awang dan kerusi terakhir adalah untuk penceramah jemputan iaitu Dr. Megat Raihan. Hati aku pula yang berdebar-debar. Nak dengar ceramah saja pun. Baik aku buat kerja di telefon dahulu sebelum ceramah bermula.
“Testing… Testing… One, two, three.”
Bunyi microphone menandakan majlis akan bermula. Aku pun terus menyimpan telefon di dalam beg dan mengangkat muka menghadap ke hadapan. Apabila aku pandang hadapan saja terus aku nampak muka Megat dan dia sedang memandang tepat ke arah aku. Walaupun kami berada pada jarak yang jauh, aku masih dapat nampak anak matanya yang sedang memandangku sambil tersenyum. Kaku terus seluruh anggota badan aku. Nak pandang tempat lain pun tak boleh.
“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sebelum meneruskan acara majlis, marilah sama-sama kita melafazkan ummul kitab Al-Fatihah.”
Semua orang menadah tangan untuk membaca doa seperti yang dipinta oleh tuan pengerusi majlis.
“Alhamdulillah. Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam masjid ini pada malam jumaat yang penuh barakah ini. Jumaat juga dikenali sebagai sayyidul ayyam yang bermaksud penghulu segala hari. Ini selaras dengan sebuah hadith yang hasan sanadnya, diriwayatkan oleh imam ahmad rahmatullahalaihi, dari Abu Lubabah Ibnu Mundzir Radhiyallahu Anhu berkata, bahawasanya Rasulullah وسلم عليه الله صلى bersabda, ‘Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa iaitu diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.’ Pertama-tama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada para hadirin-hadirat sekalian kerana berkumpulnya kita di sini adalah bagi menyertai majlis ilmu yang akan disampaikan sebentar lagi oleh penceramah jemputan kita pada malam ini, iaitu Ustaz Haji Awang, nama yang tidak asing lagi bagi kita di kampung ini. Dan penceramah jemputan kita iaitu Dr. Megat Raihan. Sedikit latar belakang mengenai Dr. Megat Raihan. Beliau adalah anak kelahiran negeri Johor dan menetap di Selangor. Berkelulusan Phd dalam bidang pengajian Al-Quran dan Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga merupakan seorang pensyarah di UKM…”
Apabila pengerusi majlis kata dari UKM, aku dan Eyra saling berpandangan. Aku dah tak dengar apa ayat seterusnya yang pengerusi majlis tu cakap. Kalau dia pensyarah di UKM, ini bermakna…
“Rai. Kau tak kenal ke Dr. Megat tu? Kau kan belajar kat sana.” Bisik Eyra.
“Aku tak ingat.” Kata aku turut berbisik.
“Kau ni… Dia pernah mengajar kau tak?”
“Aku tak tahu… Kan aku cakap aku tak ingat.”
“Pensyarah sendiri pun tak ingat?”
“Dah tujuh tahun aku tinggalkan zaman belajar. Mana lah aku ingat.”
“Hesy, kau ni. Cepat betul lupa. Banyak makan semut!”
Eh? Aku pula yang kena marah. Benda tak penting buat apa nak ingat lama-lama? Aku akan ingat waktu dia mengajar saja, lepas habis belajar belum tentu aku akan ingat. Mungkin, dia tak pernah mengajar aku, sebab tu aku tak ingat langsung muka dia. Universiti bukan ada seorang saja pensyarah, ramai kut!
Tepat pukul 10 malam, tamatlah majlis ilmu di masjid ini. Aku bercadang nak balik awal, tapi Eyra beriya nak tunggu sampai habis. Dia kata rugi balik awal, nanti tak dapat makanan free! Dia ni nak ilmu ke nak makan sebenarnya?
“Eyra. Jom! Kau tercegat kat situ buat apa? Nak minta autograph Ustaz Haji Awang ke?”
Eyra ketawa. “Baik aku minta autograph Dr.Megat tu…”
Aku mencebik.“Dah tu, kau tunggu apa? Kan dah dapat makanan ni.”
“Sekejap lah. Mana tahu ada makanan lebih ke kan? Boleh bawa balik.”
Hesy, dia ni… Itu yang aku malas nak bawa dia pergi majlis apa-apa, buat malu saja lah!
“Tak payah lah! Buat malu aje lah.”
Aku tarik tangan Eyra untuk keluar dari masjid. Muncung sedepa lah dia. Baru nak sarung selipar, nama aku pula di seru.
“Assalamualaikum, Rai.”
Allah… Doktor ni pula…
“Waalaikumussalam, Dr.Megat.”
Megat tertawa. “Tak payah panggil ‘doktor’ lah. Kan saya suruh panggil ‘abang’.”
Terbatuk-batuk Eyra mendengarnya. Aku pula pandang ke kanan dan kiri, takut ada yang dengar pula. Tak malu betul lah dia ni!
“Dr. Megat mengajar di UKM dah lama ke?” Soal Eyra pula.
“Lebih kurang 10 tahun. Kenapa?”
Aku cubit-cubit lengan Eyra supaya dia berhenti bercakap.Tapi dia buat-buat tak faham lah pula. Aduhai…
“Rai pun belajar di UKM. Doktor tak ada mengajar dia ke? Sebab Rai ni banyak makan semut, dia bukan ingat sangat pun.”
Aku menjeling Eyra. Macam tu aje dia kenakan aku? Aku ada kat sebelah dia tau!
“Ada. Rai aje yang tak ingat.”
Bulat mata aku. Bila pula dia mengajar aku? Eyra pandang aku.
“Hah kan? Aku dah agak dah! Patutlah saya tengok doktor pandang Rai macam dah kenal lama saja. Eh? Tapi kenapa doktor menyewa kat sini pula?”
Banyak tanya pula minah ni!
“Saya ada urusan di sini. Saya tak duduk sini lama pun. Sampai hujung tahun saja.”
Aku tarik lengan baju Eyra dan terus mencelah.
“Tadi, doktor panggil saya ada apa? Kalau tak ada apa-apa, kami minta diri dulu lah. Takut lewat pula nanti sampai rumah.” Kata aku pula. Kalau dibiarkan, semakin lambat lah aku sampai rumah.
“Oh ya. Saya nak bagi makanan ni. Ada lebih. Tadi, pengerusi majlis suruh saya bawa balik. Tapi saya kan tinggal seorang. Ada lebih dua bungkus. Nah! Awak ambil satu, kawan awak ambil satu.” Kata Megat sambil menghulurkan dua bungkusan makanan.
“Terima kasih, doktor. Saya memang tunggu untuk makanan lebih ni. By the way, nama saya Zafeyra. Nama glamour Eyra.”
Megat hanya menganggukkan kepala.
“Terima kasih, doktor. Eyra ni memang tak tahu malu sikit. Maaf ya. Kami balik dulu. Assalamualaikum.”
Aku terus tarik tangan Eyra selepas Megat menjawab salam.
Baru masuk kereta, telefon aku sudah berbunyi menandakan ada mesej baru masuk.
Megat - Hati-hati memandu. Jangan laju-laju drive. Nanti saya akan follow belakang kereta awak. Lagi satu, stop called me ‘Dr. Megat’. Kita bukan di universiti.
Hesy… Menyesal pula aku bagi nombor pada dia. Kalau tak balas nanti cakap aku bekas pelajar yang sombong pula. Nak tak nak terpaksalah aku balas juga mesej dia.
Rai - Baiklah, Pakcik Megat.
Megat - Excuse me? Pakcik?
Rai - Awak tua 10 tahun dengan saya. Tak salah pun panggil pakcik.
Megat - Hahaha… Umur sekadar angka. Tapi, muka saya macam sebaya awak saja. Awak diberi pilihan sama ada nak panggil saya ‘Megat’ atau ‘Abang Megat’.
Rai - Perasan muda. Mestilah saya pilih pilihan yang pertama. Bye!
“Kau mesej siapa? Cepatlah drive. Tadi, bukan main nak cepat balik. Main telefon pula! Tadi nak cepat sangat…”
”Iyalah-iyalah.”
Macam mana aku boleh tak ingat Dr. Megat pernah mengajar aku? Betul ke? Atau pun dia tipu? Manalah tahu dia saja nak kenakan aku kan? Tak boleh jadi… Aku kena cari tahu juga. Aku kena telefon Biha, dia classmate aku dulu semasa di UKM.
Sampai saja di rumah, kereta Megat pun masuk ke pekarangan rumahnya. Dia betul-betul follow kereta aku dari belakang ke? Maklumlah, bila memandu waktu malam, aku memang tak pandang belakang. Bak kata dalam cerita seram tu, ‘jangan pandang belakang!’. Aku sempat tengok dia turun dari kereta. Bila dia pandang aku sambil tersenyum, aku terus lari masuk ke dalam rumah. Orang tua tu, tak boleh dilayan!
Gara-gara cari maklumat tentang Megat, aku tidur lewat malam. Tak fasal-fasal kena berleter dengan emak sebab bangun lewat. Rasanya sampai rumah sebelah boleh dengar suara emak. Malunya!
“Nak jadi apa ni, Rai? Bangun lewat. Nanti rezeki lambat masuk. Bukan setakat rezeki, jodoh pun lambat sampai!”
Eh?!
“Apa kena mengena dengan jodoh pula? Lagipun, bukan hari-hari Rai bangun lambat. Baru harini.”
“Iyalah… Siapa yang nak dengan kamu kalau tahu kamu bangun pagi pun lambat?”
Aku mencebik. “Sekali sekala…”
Lagipun aku dah solat subuh awal. Kemudian, aku baring sekejap. Tak sangka pula boleh terlelap. Bukannya aku tak solat subuh.
“Menjawab. Menjawab. Sudah. Pergi jemur baju. Emak dah siap basuh baju baru nak bangun.”
“Jemur baju saja eh? Kain, seluar? Tak payah?”
Emak menjeling aku. “Abang! Tengok anak dara abang ni! Menjawab saja!”
Aku tertawa. “Iyalah-iyalah… Gurau sikit pun tak boleh. Itu pun nak mengadu pada ayah.”
“Biarlah. Orang ada suami. Kamu ada?”
“Untunglah…”
Ayat emak pun… Makan dalam!
“Pergi jemur baju sana. Mana tahu jumpa jodoh kat luar.”
Aku mencebik. Abang-abang aku tu bangun lewat tak apa pula! Tak aci! Aku rasa dalam rumah ni yang berfungsi cuma aku dengan adik aku, Rayyan. Yang lain? Hampeh! Selagi dapat mengelak, dia orang akan elak. Tak guna betul!
Share this novel