Rate

1

Romance Series 12280

Nama aku Raisha Medina. Orang panggil aku Rai. Sebab apa panggil Rai? Aku pun tak tahu. Umur aku baru 28 tahun. Kerja? Macam-macam kerja aku buat. Disebabkan aku tak suka kerja bawah orang, jadi aku ambil keputusan untuk bekerja sendiri sebagai peniaga kecil-kecilan dan juga freelancer!

“Raisha Medina!!!”

Awal pagi lagi mak dah terjerit-jerit panggil aku. Bukan dia tak tahu aku tengah buat apa kat bilik. Kerja aku banyak tau! Anak bukan main ramai, nama aku juga yang selalu disebut-sebut kalau nak suruh buat apa-apa. Aku ni anak angkat ke?

“Iya mak…!”

Aku keluar bilik mencari mak yang entah dimana. Di ruang tamu, tak ada. Dalam bilik, tak ada. Di dapur pun tak ada. Mak ni nak main-main kan aku ke?

“Along. Nampak mak tak? Tadi, Rai dengar mak panggil. Mak tak ada pun dalam rumah.”

Aku tanya Along yang sedang sibuk menanda kertas soalan murid-muridnya. Maklumlah, cikgu lah katakan. Kerja kat sekolah pun bawa balik rumah.

“Along tak dengar pula. Entah-entah… Syaiton!”

“Syaiton tengkorak Along lah! Mana ada hantu pagi-pagi.”

Along tertawa. “Itu hantu. Along kata syaitan. Kan lain bunyinya.”

Malas aku layan. Nama saja cikgu, tapi dirumah tak macam cikgu, tapi macam hantu. Ada saja dia nak kenakan aku. Aku terus pergi keluar rumah. Mana tahu mak tengah jemur kain.

“Mak! Oh mak! Where are you…? Emak… Ema…”

Tak sempat aku habiskan ayat, aku dah nampak mak di sempadan antara rumahku dengan rumah orang sebelah. Tak jauh pun. Adalah dalam sepuluh langkah, dah sampai rumah orang sebelah. Bukan main lagi mak aku ni bersembang dengan orang lelaki tu. Kalau abah nampak ni, boleh perang dunia ketiga!

Jiran baru ke? Nek Som dah tak duduk sini, dia ikut anak dia menetap di Kuala Lumpur. Jadi, rumah ini dia kata nak sewakan. Mungkin, inilah penyewa tersebut. Tapi, aku tak sangka pula secepat ini Nek Som dapat penyewa. Nek Som baru saja pindah dua minggu lepas. Nampaknya lepas ni tak boleh lah aku nak menyanyi sesuka hati. Nanti jiran baru ni dengar pula suara merdu aku ni!

“Mak…”

“Hah! Rai. Penat mak tunggu. Ini, mak nak kenalkan dengan jiran baru kita, Encik Megat Raihan.”

Nama dia pun ada ‘Rai’ juga lah. Mak ni pun… Dah kenapa nak kenalkan dengan aku? Dengan adik beradik aku yang lain mak tak nak kenalkan ke?

“Oh…” Kata aku sepatah.

“Oh je? Maaflah Encik Megat. Anak makcik ni memang macam ni.”

Dah tu nak cakap apa? Mak ni macam tak tahu je yang aku ni sejenis perempuan yang tak bercakap dengan lelaki.

“Eh, tak apa. Panggil saya Megat je. Anak makcik seorang je ke?”

“Tak lah… Ada lima orang, yang lain lelaki. Rai ni anak nombor tiga, dia seorang perempuan. Itu yang panggil dia je. Yang lelaki nanti pandai-pandailah dia orang kenal-kenal dengan Megat sendiri.”

Wah…! Terbaiklah mak! Nampak sangat nak promote aku. Aku baru 28 tahun kut! Agak-agak lah… Nasib baik Si Megat ni ada lah rupa juga. Omputih kata good looking lah. Tapi, macam dah berumur je.

“Megat kerja mana?”

“Saya pengurus sekolah tadika. Baru ditukarkan ke sini.”

Pengurus sekolah tadika? Sorry lah… Not my taste! Tak ada dalam senarai ciri-ciri lelaki pilihan aku. Antara ciri-ciri lelaki idaman aku ialah seorang ustaz. Tak jadi ustaz pun tak apalah, janji ciri-ciri kearah ustaz tu ada. Si Megat ni? Macam tak ada je. Aku baru nak melangkah, mak sebut nama aku. Macam tahu-tahu je aku nak lari masuk rumah.

“Oh… Rai ni freelancer. Macam-macam dia boleh buat. Design boleh, menulis artikel boleh, melukis boleh, masak pun pandai. Rai ada buka kafe kat hujung kampung tu. Nanti bila-bila ada kelapangan, singgahlah. Rai, kamu tak nak bagi name card kamu kat Megat? Mana tahu dia nak guna servis kamu nanti.”

Inilah masanya untuk aku melarikan diri.

“Haaa… Sekejap, Rai ambil kat dalam.”

“Bagi sajalah nombor kamu, tak payah pakai kad, lagi senang.”

Mak!!! Buat malu aku sajalah. Mak ni… Si Megat ni pun, tak reti nak tolak cara baik ke? Nanti girlfriend marah, baru ada akal!

Megat tersenyum sambil menghulurkan telefon pintarnya kepada aku. Mula-mula, aku tak nak ambil. Tapi, mak yang beriya-iya ambil dan terus beri pada aku. Terpaksalah aku beri juga nombor telefon aku. Tapi, tak apalah. Mana tahu ini adalah rezeki dari tuhan, aku juga dapat job!

“Rai masuk dulu lah mak. Ada nak buat kerja sikit.”

“Haa… Iyalah.”

Aku tak tunggu lama, berdesup aku balik ke rumah. Masa nak masuk rumah tadi, aku terdengar lagi perbualan mak dengan Megat.

“Megat ni umurnya berapa? Dah ada orang rumah ke?”

“Saya dah tua, makcik. Dah 38 tahun. Tapi, jodoh tak sampai lagi.”

Tudia!! Tua sepuluh tahun dari aku! Memang tak nak lah aku!

“Oh…Muda lagi tu… Insha Allah, nanti sampai juga jodoh tu.”

“Saya minta diri dululah, makcik. Lori yang angkat barang-barang saya dah sampai tu.”

“Okay. Okay. Nanti makcik panggil anak-anak lelaki makcik untuk tolong kamu.”

Aku dengar saja bunyi kasut mak, cepat-cepat aku masuk ke dalam rumah. Baik hati lain macam mak aku harini.

“Mak… Kenapa mak buat macam ni?”

“Buat apa? Mana ada mak buat apa-apa. Mana abang dengan adik-adik kamu?”

Mak buat muka tak bersalah pula. Geram betul aku!

“Entah. Tak tahu! Rai nak masuk bilik. Banyak kerja. Jangan suruh Rai tolong dia angkat barang pula eh… Ahli keluarga dia kan ada mak, tak kan lah dia orang tak datang untuk tolong?”

“Dia anak tunggal. Mak ayah dia dah lama tak ada, Rai. Kan banyak pahala kalau tolong anak yatim piatu.” Jawab mak sambil berlalu ke ruang tamu.

Memang lah banyak pahala tolong anak yatim piatu. Tapi, mak tolong penuh dengan makna! Macamlah aku tak tahu! Ceh!

“Rai. Kamu tolong buatkan air. Nanti hantar kat rumah jiran baru kita tu.”

“Rai banyak kerjalah mak…”

“Kamu ni… Sambung nantilah kerja tu. Kan ada jiran baru pindah tu. Kita kenalah tolong apa yang patut. Cepat pergi buat air. Mak nak goreng pisang ni. Nanti boleh bagi Megat sekali.”

Hesy…Megat lagi! Aku letak ubat gegat karang dalam air ni. Baru tau!

“Raisha Medina…!”

“Iyalah-iyalah… Nak buat lah ni.”

Mak ni… Dah lah paksa aku buatkan air untuk jiran baru ni. Kena hantar sekali pula tu! Hesy…

“Eh?! Adik perempuan kesayangan Angah! Wah…! Siap buatkan air lah! Along! Tengok long! Macam mimpilah!”

“Mak lah yang suruh Rai buat air dan hantar ke sini! Jemput minum semua.” Kata aku sambil meletakkan dulang berisi jag air dan gelas ke atas meja batu di luar rumah Megat.

“Nak balik dah? Tak tuangkan sekali ke air tu?” soal Along sambil tersengih-sengih. Saja nak kenakan aku lah tu!

“Layan diri ya abang-abang semua…” Kata aku sambil berjalan pulang ke rumah.

Sempat juga aku pandang muka Si Megat Raihan tadi. Dia tersenyum je melihat telatah kami adik beradik. Handsomelah pula bila tengok dia angkat barang tadi. Mana tak nya, badan dia fit kut! Siapa-siapa yang tengok pun mesti cuci mata punya!

“Hhmm… Sedapnya bau ni… Udang masak lemak!” Kata Along sambil menarik kerusi di meja makan untuk duduk.

“Mestilah sedap… Rai yang masak, bukan Along.” Jawab aku selamba sambil mencuci kuali di sinki. Along mencebik.

“Tapi, kenapa tiba-tiba rajin nak masak malam-malam ni?”

“Mak lah… Dia paksa Rai masak tadi. Selalunya, boleh je panaskan lauk yang tak habis tu. Mak kata sesekali nak juga makan lauk fresh masa makan malam.”

“Entah-entah… Mak kita tu buang tabiat dah kut?”

“Iya ke?” soal aku kembali sambil menekup mulut.

Tiba-tiba…Tok! Tok! Tok!

“Assalamualaikum…” Kedengaran suara abah dari luar.

“Waalaikumussalam…” Jawab aku dan Along serentak.

Along terus bangun untuk membuka kunci pintu. Selalunya abah akan ke masjid untuk solat maghrib. Tapi sayang, adik beradik aku yang lain jarang ikut abah ke masjid. Nama saja lelaki!

“Rai! Pergi naik atas, pakai tudung. Ada Megat ni.” Kata abah sebaik saja Along membukakan pintu tadi.

Kelam kabut aku lari menaiki tangga. Nasib baik tak jatuh. Patutlah mak beriya-iya suruh aku masak tadi. Ada tetamu rupanya. Bergegar rumah kerana dek hentakan kaki aku. Maklumlah, rumah ni bahagian hadapan masih lagi kayu. Hanya bahagian dapur saja yang abah renovate. Jadi, separuh kayu, separuh batu.

“Kak Rai. Mak ajak makan sekali kat dapur.” Kata Rayyan lalu duduk di katil menghadap aku.

Rayyan ni adik aku yang bongsu, berumur 17 tahun. Seorang yang agak pendiam. Tak macam adik beradik aku yang lain. Kepochi! Tak tahulah dia ikut siapa. Adik aku lagi seorang pula kerja kilang. Dia seorang je yang tak duduk sebumbung dengan kami.

“Yan, cakap dengan mak… Akak busy. Nanti dah siap kerja akak makan.”

“Yan dah cakap tadi yang akak tengah buat kerja. Mak kata buat kerja lepas makan, ada tetamu. Tunjuk muka sekejap pun jadilah.”

“Itu mak yang cakap ke Yan yang tambah?”

Rayyan tertawa. “Mak lah… Jom lah! Makan sekejap je. Nanti mak bising kat Yan pula.”

Hesy… Puan Normala ni!

“Haa… Turun pun Tuan Puteri. Nak dijemput juga baru nak turun makan. Kita orang dari tadi tak makan sebab tunggu Rai tau!” Kata angah.

Angah memang macam tu. Mulut dia bukan ada insurance sangat. Nama saja peguam syarie. Tapi, ikut dia je nak cakap apa, bukan dia kira ada tetamu ke tidak.

Aku mencebik. “Siapa suruh tunggu…” Kata aku sambil duduk di kerusi sebelah Rayyan.

Baik aku duduk sebelah Rayyan, kalau sebelah Angah nanti sampai habis makan asyik bercakap tak sudah. Tapi, kenalah hadap muka jiran baru yang duduk betul-betul berhadapan dengan aku. Sekejap lagi, mesti aku kena bahan.

“Nak duduk depan Megat je. Tahulah Megat handsome!” Kata Angah lagi. Kan aku dah kata!

“Angah nak tukar tempat dengan Rai ke? Dah ni je kerusi yang kosong.” Aku mula nak naik angin. Biasalah… Perempuan kan?

“Dah. Dah. Makan-makan... Apa cakap macam tu depan Megat. Angah pun… Suka sangat menyakat orang.” Abah dah bersuara. Semua terdiam, kecuali Angah.

Angah tertawa.“Angah gurau je, abah.”

“Jemput makan, Megat. Jangan hiraukan budak berdua ni. Dia orang memang suka bergurau macam tu.”

Megat tersenyum. “Tak apa. Saya okay je. Sekali sekala dapat tengok adik beradik bergurau senda macam ni, seronok juga.” Kata Megat.

Semua terdiam. Kasihan pula dengar dia cakap macam tu. Dah lah anak tunggal, mak ayah pula dah tak ada. Mesti sunyi.

“Abang Megat boleh je kalau nak jadi adik beradik kami. Tapi… Kena kahwin dengan Kak Rai dulu lah.” Kata Rayyan. Masing-masing tersenyum mendengar kata-kata Rayyan.

Tersedak terus aku dengar kata-kata Rayyan. Rayyan jarang nak menyampuk bila orang lebih tua dari dia bercakap. Sejak bila dia jangkit perangai Angah ni? Megat hulurkan gelas berisi air kepada aku. Cepat-cepat aku ambil dan minum. Muka aku dah merah padam sebab tersedak nasi tadi.

“So sweet…” Kata Angah.

Semua tertawakan kami bila Angah cakap macam tu. Kali ni muka Megat pula yang merah. Sepanjang waktu makan, aku tak pandang langsung muka dia. Lepas makan, aku tak tunggu lama dan terus masuk bilik untuk sambung buat kerja yang tertangguh tadi. Nasib baik tak kena marah dengan mak sebab masuk bilik awal.

‘Kafe kampung’ itulah nama kafe aku, sebab aku duduk kampung. Kalau aku duduk bandar, mungkin nama kafe aku ‘Kafe bandar’. Angah kata tak ada ‘class’ betul nama kafe aku. Suka hati aku lah. Kafe aku, bukan dia. Angah tu memang suka menyibuk hal orang. Kecoh betul! Mungkin sebab tu sampai sekarang tak ada girlfriend lagi. Along? Along dah bertunang dengan seorang cikgu juga. Biasakan macam tu, cikgu kahwin dengan cikgu. Aku? Aku kan selalu busy, mana sempat nak cari!

“Rai. Dah nak pergi kafe ke?”

“Ha’ah, abah.”

“Tolong abah sekejap.”

“Tolong apa?”

“Ini haa… Mak kamu suruh bagi pada Megat.” Kata abah sambil menghulurkan bekas polisterin.

“Kan Mak suruh abah…”

“Abah nak pergi kerja. Dah lambat ni. Tolong ya. Terima kasih, Rai.” Kata Abah sambil menghidupkan enjin motorsikalnya.

Abah kerja sebagai tukang kebun sekolah. Sebelum ni Abah kerja kilang juga. Tapi, disebabkan ada anak yang masih bersekolah, Abah kata itu tanggung jawabnya untuk menyara persekolahan Rayyan. Kami juga membantu mana yang perlu.

Nak, tak nak terpaksalah aku hantarkan ke rumah sebelah. Mak ni baik hati betul dengan jiran baru ni dah kenapa? Masa Nek Som duduk sini, Nek Som yang selalu hantar makanan ke rumah kami. Ini terbalik pula.

“Assalamualaikum…!”

Dah tiga kali aku beri salam. Macam tak ada orang je. Dah pergi kerja kut! Dia kan pengurus tadika. Mestilah datang ke tadika awal pagi. Orang kata beri salam tiga kali, kalau tak ada yang jawab, balik je. Aku bagi ekstra lagi satu!

“Assalamualaikum…!”

“Waalaikumussalam! Sekejap…”

Satu… Dua… Tiga… Empat… Lima… Aku balik sajalah… Buka pintu pun lambat! Aku letak bekas polisterin di atas meja batu di beranda rumahnya. Baru aku nak balik, pintu pun di buka.

“Maaf, tadi saya mandi. Ada apa?”

“Aaarrrggghhh!!! Tutup! Tutup!” Kata aku sambil menutup muka dengan kedua tapak tangan aku.

“Hah?! Apa? Apa?”

“Tutuplah badan awak tu! Pergi pakai baju dulu! Sengaja nak tayang body ke apa?!”

Kelam kabut Megat masuk semula ke dalam rumah. Boleh pula dia keluar tanpa baju?! Memanglah dia pakai seluar, tapi badan dia tu… Hesy… Malu lah sikit!

“Rai.”

“Iya.”

“Sampai bila awak nak tunduk macam tu?”

“Dah pakai baju ke belum?”

“Belum.”

“Hesy… Memang tak tahu malu ke apa?”

Megat tertawa. “Dah pakai lah. Dah lima minit saya berdiri tunggu awak angkat muka. Memang suka duduk kat rumah saya ni lama-lama ke?”

Ceh! Aku pula yang kena. Lima minit apanya? Padahal baru lima saat!

“Nah! Emak saya suruh bagi ni.”

“Susah-susah saja. Terima kasih. Untunglah saya dapat duduk sebelah rumah awak ni. Malam tadi makan free, pagi ni dapat sarapan free pula. Alhamdulillah…”

“Tahniah lah kalau macam tu.”

“Tahniah sebab apa pula?”

“Sebab… Ini pertama kali emak saya buat macam ni.”

“Wah… Itu maknanya saya ni special lah!”

“Tak ada maknanya lah! Saya balik dulu lah. Nak pesan ni. Lain kali nak keluar, pastikan dah pakai baju dulu baru keluar. Buat sakit mata saya saja. Assalamualaikum.” Kata aku dan terus berjalan ke arah rumah aku.

“Eleh… Padahal suka dapat cuci mata.” Kata Megat dari rumahnya.

Dia ingat aku tak dengar ke?

“Saya dengar, Encik Megat!”

“Apa? Saya cakap waalaikumussalam lah!”

Ceh! Dia ingat aku pekak ke?

Sampai saja di rumah, emak pula bertanya.

“Emak dengar bunyi bising dari rumah Megat. Macam orang bergaduh saja. Kamu cari fasal dengan dia ke?”

Aku tunding jari ke arah diri sendiri. “Rai? Bergaduh?”

“Iyalah… Mak nampak tadi kamu pergi rumah dia. Buat apa?”

Eh? Emak aku ni dah kenapa? Tak kan aku saja-saja nak pergi ziarah Si Megat tu pula?

“Kan Emak suruh Ayah bagi sarapan pada Encik Megat tu… Ayah suruh Rai yang hantar.”

“Oh… Pandai Ayah kamu mengelak ya.” Kata Emak sambil tersenyum.

Aku macam kena tipu saja ni. Mesti ini pelan mereka berdua. Aarrgghh! Tak suka!

Share this novel

Che Da(Ayunifalin)
2024-12-15 21:18:01 

Sudi tak wasap Che da Di nombor 0.1.3.8.5.8.9.7.4.0. buang semua titik ok.


NovelPlus Premium

The best ads free experience