BAB 11

Family Completed 4914

“Im, kalau aku cakap, kau jangan marah, ya.”

“Cakaplah, Syaqif. Insya-Allah, aku takkan marah.”

Zaim meraup mukanya. Dia merasa sedikit tenang berada di dalam surau ini. Sengaja didirikan solat sunat taubat dua rakaat selepas ditunaikan solat Zohor tadi. Dia merasakan ketenangan mulai singgah di hati.

“Sungguh aku takjub dengan kekuasaan-MU, ya Rabbi. Benarlah ENGKAU yang Maha Berkuasa, menguasai hati dan kehidupan setiap hamba-MU. Menenangkan hatiku yang mengharapkan kebahagiaan dalam keredhaan. Rabbi yassir wa la tu’assir. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku, jangan KAU susahkan lagi ia.”

Doa yang terlafaz di kalbu Zaim. Mengharap ujian ini adalah salah satu cara penguat cinta daripada-NYA.

Mereka menyambung bicara di luar surau. Kedua-dua orang lelaki ini melabuhkan punggung di kerusi yang terletak di dalam hospital itu.

“Aku sebenarnya tahu detail cerita yang berlaku antara kau dengan atok kau. Dan ada apa yang aku tahu tu, engkau tak tahu.”

Ujar Syaqif. Penuh berhati-hati dia menyusun bicara.

“Apa maksud kau?”

Tanya Zaim. Berkerut dahinya cuba memahami butir bicara Syaqif.

“Atok kau rapat dengan walid aku. So, aku tahu banyak juga kenapa atok kau buat macam tu kat kau. Kenapa dia tinggalkan kau. Dia buat begitu bersebab, Im. Dia bukan datuk yang kejam untuk tinggalkan satu-satunya cucu kesayangan dia sesuka hati.”

“Ceritalah kat aku. Mungkin dah tiba masanya dirungkai apa sebab atok tinggalkan aku. Sebab aku tak tahu apa-apa. Kalau kau lebih tahu, ceritalah kat aku. Aku perlukan jawapan. Dan alasan. Untuk memaafkan mereka.”

Sambung Zaim lagi.

“Kau tahu arwah orang tua kau dan abang kau meninggal sebab apa?”

Tanya Syaqif pula. Zaim hanya menggeleng laju.

“Sebab accident. Kerana dilanggar kereta, 15 tahun dulu. Aku dah terlalu trauma untuk merombak semula apa penyebabnya dan siapa dalangnya.”

Balas Zaim. Lelaki berkulit sedikit hitam manis ini menggeleng perlahan kepalanya. Kemudian dipanggung kepalanya. Memandang Syaqif semula.

“Ada yang berdendam dengan atok kau, Im. Biasalah orang bisnes. Ada je yang tak puas hati bila atok kau naik lebih. Dia cuba jatuhkan atok kau dengan pelbagai macam cara. Mujur dapat ditangkap helahnya. Songlap, gelap duit syarikat atok kau. Semua dia buat. Lepas itu, dia dijatuhkan di muka pengadilan oleh mama kau sendiri. Dia rasakan keluarga kau bertanggungjawab untuk kejatuhan dia. Itu yang dia tekad dan berdendam sangat hendak musnahkan setiap ahli keluarga Tan Sri Muaz. Disebabkan dendam, dia melanggar laju orang tua kau dan abang kau. Mujur, kau terselamat.”

“Astaghfirullahal ‘azim. Betul ke ni Syaqif?”

Zaim mula meminta kepastian. Dibiarkan Syaqif menyambung cerita. Dia hanya menjadi pendengar yang setia.

“Sumpah, demi Allah, Im. Aku bercerita mengikut apa yang walid bagitau aku. Walid tak pernah menipu aku, Im. Walid sendiri cakap, cerita ini atok kau yang bagitau dia.

Disebabkan kehilangan tiga orang ahli keluarga sekaligus dan hanya tinggal engkau satu-satunya sebagai pewaris Tan Sri Muaz, dia buat keputusan yang dia sendiri terasa perit untuk jalankan. Tok mak kau pula tidak boleh membantah, walaupun dia jatuh sakit teruk lepas dihantar kau pergi jauh dari mereka. Dia tak dapat terima hakikat terpaksa berjauhan dengan cucu tunggalnya selepas semua ahli keluarga kau yang lain dah meninggal.”

“Tok mak sakit sebab berjauhan dari aku? Bukan diorang ke yang buang aku dari hidup diorang?”

Nada yang dituturkan Zaim sedikit sinis.

“Diorang terpaksa, Im! Kalau diorang tak buat macam tu, mungkin diorang terpaksa kehilangan kau pulak. Diorang tak sanggup kalau kau pulak jadi mangsa. Dendam yang membaluti musuh keluarga kau tu bukan sikit, Im. Tebal! Dia amat membenci setiap ahli keluarga Tan Sri Muaz. Selepas dia dijatuhkan hukuman, dia ada beritahu mama dan atok kau yang dia pasti akan kembali untuk membalas dendam!

Atok dan tok mak kau tak sanggup nak tengok kalau kau pula jadi mangsa seterusnya. Itu yang diupah orang tertentu untuk menjaga dan mengawal ketat keselamatan kau hampir 15 tahun ini. Sementara itu, diorang berusaha keras mengumpul bukti yang cukup untuk mendakwa semula dalang yang membunuh ahli keluarga kau tu.

Tok mak kau pulak kena serangan strok yang agak teruk tak lama lepas orang tua kau meninggal. Puas atok kau berikhtiar di luar negara untuk ubatkan tok mak kau. Itu salah satu penyebab mereka terpaksa tinggalkan kau jauh dari diorang. Diorang tak sanggup nak kongsi rasa sakit yang ditanggung tok mak kau. Takut mengganggu konsentrasi kau belajar dan buat kau lagi sedih.

Diorang sangka kau akan selamat bila kau jauh dari diorang. Bila sudah dipasang secara senyap-senyap pengawal peribadi menjaga dan mengawal kau. Tapi, mereka silap. Musuh keluarga kau ini terlalu licik. Bukti-bukti semasa kejadian 15 tahun lepas tu berjaya dihapuskan tanpa sebarang kesan.

Tapi…”

Syaqif terhenti seketika. Dia ragu-ragu untuk meneruskan cerita. Takut hati Zaim tersayat lagi apabila mengetahui kebenaran yang lebih menyakitkan ini.

“Tapi apa, Qif?”

Hati Zaim berdebar-debar apabila bicara Syaqif terhenti.

“Kejadian yang dalang tu buat kat Izz dua bulan lepas. Berjaya dirakam sebagai bukti untuk heret dia ke muka pengadilan. Dia berjaya disabitkan hukuman penjara seumur hidup.”

“Kejadian yang berlaku kat Izz? Maksud kau? Apa yang terjadi kat Isya, yang buat dia terbaring kat katil hospital selama ni bukan sebab kemalangan biasa? Yang buatkan Isya terpaksa lahirkan Risya secara pembedahan ni? Ya Allah, Syaqif… Kenapa aku tak tahu?”

Benar hati Zaim makin tersayat.

Syaqif hanya mengangguk. Perlahan-lahan.

Zaim terpempan sendiri. Setelah mengetahui kebenaran di sebalik dirinya ditinggal pergi oleh datuk dan neneknya. Kini dia harus menelan hakikat, kejadian yang menimpa Isya itu juga berkait rapat dengan dalang penyebab dia kehilangan ahli keluarganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience