BAB 6

Family Completed 4914

Duhai bonda, duhai ayahanda

Dengarlah rayuan anakanda

Yang jauh di mata

Kan kusujud di kakimu bila kita bertemu

Kan kucium tanganmu, kupohon restu

Oh maafkan daku, kesalahan diriku…

“Jadi ke kamu nak pergi jenguk mereka nanti?”

Tanya ayah mertuanya itu. Tadi selepas sesi bersalam dan bermaaf-maafan dengan kedua orang mertuanya, terus mereka menjamu selera pelbagai jenis juadah hari raya yang sudah terhidang.

“Jadi, bah. Abah nak ikut ke nanti?”

Balas Zaim pula. Ketupat yang sudah dicicah rendang daging itu seakan terasa sukar untuk ditelan. Ayish hanya memandang kosong perbualan antara datuk dan bapanya itu. Tidak memahami langsung apa yang sedang dibincangkan oleh mereka berdua.

“Abah minta maaf, Im. Abah rasa hari ni abah tak dapat ikut kamu. Rumah ni ramai tetamu datang pagi raya ni. Tapi, kamu ajaklah mak kamu tu. Abah izinkan. Kamu bawaklah mak kamu, boleh juga dia tolong jagakan Risya tu nanti. Dia pun rindu nak tengok Isya lagi.”

Zaim hanya mengangguk. Mengiakan suruhan bapa mertuanya itu.

Setelah menjamu selera, bergegas dia membawa kedua orang anaknya dan emak mertuanya itu menuju ke suatu tempat yang menempatkan insan-insan yang amat disayanginya. Walaupun mereka telah tiada, Zaim masih mahukan anak-anaknya mengenali siapa mereka.

Sufi Zairisya dipangku di dalam kereta oleh neneknya di tempat duduk belakang. Zaim kasihan mengenangkan anaknya itu masih bayi untuk dibawa bersama. Dibiarkan sahaja enjin kereta hidup bagi membiarkan penghawa dingin terus terpasang.

Zaim mengajak Ayish keluar.

Di hadapan pintu pagar tanah perkuburan itu, Zaim memimpin tangan Ayish. Menuju ke kubur insan-insan yang amat dirinduinya.

“Assalamu’alaikum, mama, papa, Abang Zaif. Selamat Hari Raya semua. Hari ni Im bawak anak Im. Nama dia Muhammad Yusuf Zulfarish. Tapi kami panggil dia Ayish. Comel tak Ayish?”

Sapa Zaim. Seolah-olah mereka itu ada duduk berbicara dengannya. Hatinya dipagut rasa rindu yang membelenggu.

“Abang, ingat tak. Dulu kau suka sangat nama Yusuf ni. Aku bubuh nama ni dalam nama anak aku sebab aku rindukan kau, bang. Aku letak sekali nama Zulfarish sempena nama kau. Muhammad Zaif Zulfarish.”

Zaim menyuruh Ayish duduk di kerusi batu yang dipenuhi marmar bewarna hijau itu. Ayish hanya menurut. Sungguh dia seorang anak yang patuh.

Kerusi batu itu dibina oleh Zaim untuk memudahkan dia berteleku di kubur itu setiap kali dia datang melawat. Kedudukan kerusi batu itu kemas terletak di antara kubur papa dan mamanya.

Dibacakan surah Yaasin dan disedekahkan kepada mereka bertiga. Seusai bacaan Yaasin itu, diajak supaya Ayish sama-sama mengaminkan doanya yang mengharapkan kebahagiaan mereka di alam barzakh sana.

Zaim memaut satu demi persatu, ketiga-tiga batu nisan kedua orang tuanya dan juga abangnya itu. Di setiap pelukan itu, tidak sudah dia menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka.

“Pa, ma. Maafkan segala salah silap Zaim selama kita hidup bersama ni ya? Im minta maaf dengan mama dan papa sebab selalu susahkan mama dan papa dengan kerenah Im. Sebab Im, nyawa mama, papa dan abang melayang.

Im minta maaf ma, pa. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Mama, terima kasih dan tolong halalkan setiap titik air susu mama dan suapan makanan yang mama suakan ke mulut Im dulu. Im minta maaf Im tak sempat balas jasa mama yang dah bersusah-payah lahir dan jaga Im dulu. Hanya sedekah dan amal jariah atas nama mama, papa dan Abang Zaif je yang Im mampu lakukan untuk tolong orang yang Im sayang di sana.

Papa, terima kasih dan halalkan setiap perbelanjaan yang papa tanggung untuk Im dulu. Maafkan Im sebab tak dapat balas setiap keringat Papa yang keluar bila mencari rezeki demi kami sekeluarga. Demi membesarkan Im yang degil ni.

Im minta maaf, kerana Im papa dan mama pergi dalam usia muda. Kerana Im buat papa dan mama meninggal, atok dan tok mak bencikan Im. Im tak tahu nak buat apa lagi, pa, ma. Im rasa bersalah sangat dah buat mereka hilang anak, menantu dan cucu kesayangan mereka.

Im betul-betul tak tahu apa lagi yang Im perlu buat untuk meraih semula kasih sayang atok dan tok mak. Im buntu.

Maafkan Im, papa,mama. Maafkan Im…”

“Ayish, ini kubur arwah Tok Pa dan Tok Ma Ayish. Papa dan mama kepada ayah, tau.”

Ayish tersenyum polos dan mengangguk. Akalnya yang bijak itu memahami butir bicara ayahnya.

“Yang kat sana tu kubur arwah pak long Ayish. Abang ayah. Zaif Zulfarish namanya. Lebih kurang dengan nama ayah, Zaim. Tapi ayah letak nama pak long dalam nama Ayish. Sebab tu nama penuh Ayish, Muhammad Yusuf Zulfarish. Pak long kamu suka nama Yusuf tu.”

Jari Zaim menunjukkan kubur Zaif di sebelah kubur arwah mamanya. Sekali lagi si kecil itu tersenyum memandang kubur itu. Di kubur itu, ada sesuatu yang menarik minatnya. Yang membuatkan si kecil itu tersenyum senang.

Tersenyum sumbing sedikit Zaim bila mengingatkan yang abangnya itu lebih rapat dengan mamanya dulu. Dia pula lebih rapat dengan papanya memandangkan mereka berkongsi satu minat dan hobi yang sama, iaitu memancing!

Abang Zaif dan mamanya pula lebih suka menghabiskan masa memasak bersama. Pelbagai resepi pernah dicuba bersama. Dia pula tidak begitu meminati bidang masakan ini. Untung isterinya Isya itu pakar memasak.

“Anak dara mama dengan mama, tolong masak ikan ni ya? Kitorang dah penat memancing kat tasik, so turn korang pulak lah ye memasak.”

Suara papa menyakat anak bujang sulungnya dan juga isterinya. Membuatkan satu keluarga itu tergelak.

“Awak ni, baik-baik dia ni anak bujang smart cukup pakej, awak panggil anak dara pulak ya? Jatuh saham bujang macho kita sorang ni.”

Balas Mama pula. Zaif hanya tersenyum sumbing mendengarkan bicara orang tuanya. Dari ekor matanya, dapat dilihat adiknya, Zaim turut tertawa senang.

“Takpelah, ma. Zaif tak kisah pun papa nak panggil Zaif apa. Janji tak membawa maksud buruk. Papa nak masak macam mana ikan ni, pa?”

Tanya Zaif yang ketika itu sedang bercuti selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Dia memang selalu diusik sebagai anak dara oleh papanya memandangkan dia gemar tolong mamanya memasak dan mengemas rumah. Hendak buat macam mana, dalam keluarga mereka, dua orang bujang ini sahaja penghias rumah tangga pasangan jurutera dan peguam ini. Namun, mereka tetap bahagia. Tiada sengketa.

Zaif tidak kisah dipanggil anak dara oleh papanya. Dia tahu papanya bergurau sahaja. Asalkan hati mereka bahagia dan gembira, dia sudah cukup bersyukur. Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat kasih sayang yang tak terhingga dalam keluarga kecil mereka ini.

“Ayah, Pak Long Zaif ni mesti baik kan orangnya ayah?”

Pertanyaan Ayish sekali lagi mematikan lamunan Zaim.

“Kenapa Ayish tanya macam tu?”

Tanya Zaim. Pelik.

“Kubur Pak Long Zaif bau wangi. Lepas tu, pokok tu tumbuh cantik kat kubur pak long.”

Dihalakan jari telunjuknya ke arah pohon kemboja yang subur di tepi kuburan Zaif.

Zaim tergamam mendengar butir bicara anak bujang ciliknya ini.

“Mana Ayish tahu pak long baik orangnya?”

Tanya Zaim lagi. Jawapan dipinta.

“Mak tok cakap kat Ayish, selalunya kubur orang yang baik-baik ni, wangi dan berseri je kuburnya. Bersinar-sinar dan bercahaya. Tanda yang Allah sayangkan mereka.”

Jawab Ayish bersahaja. Petah sungguh bicaranya. Zaim memeluk anaknya itu.

Sekali lagi hatinya dipagut rasa sayu. Sebak.

“Abang, tengok bang. Anak aku yang kecik ni pun tahu kau amat baik orangnya, bang. Aku minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki pada kau bang. Terima kasih untuk setiap limpahan kasih sayang dan curahan ilmu yang kau kongsi dengan aku selama hampir 13 tahun aku hidup bersama kau dalam keluarga kita ni. Terima kasih sangat-sangat kau ajar ilmu kau dekat adik kau yang jahil ni dulu. Lebih-lebih lagi ilmu agama. Terima kasih sudi jadi cikgu mengaji aku sampai aku khatam Al-Quran. Kau sentiasa nasihat aku supaya pilih jalan mana yang betul dan yang salah. Terima kasih sebab kau sanggup gadaikan nyawa kau demi selamatkan adik kau yang banyak buat salah dan silap kat kau dan papa mama ni.

Aku banyak salah kat kau, bang. Agaknya kalau aku tak lawan cakap kau hari tu, mungkin kau masih ada kat sini, bang. Abang Zaif. Aku rindu sangat kat kau, bang.”

Luahan itu hanya terucap di dalam hati Zaim. Ada air mata yang mengalir laju dari pelupuk matanya.

“Ayah, jangan menangis. Tak baik.”

Tegur Ayish. Ringkas. Zaim memandang wajah si kecil itu. Persis wajah arwah Zaif.

Zaim mengeratkan lagi pelukannya di tubuh si kecil itu. Ayish turut memeluk erat ayahnya. Kemudian, dia mengelap air mata yang berlinangan di pipi Zaim. Walhal, di pipi si kecil itu turut dibasahi air mata. Sedih melihatkan ayahnya menangis.

“Baiklah. Ayah takkan menangis lagi, sayang. Terima kasih sebab Ayish sentiasa jadi penguat semangat ayah…”

Dia merasakan seolah-olah Ayish itu seperti Zaif, sentiasa berjaya memujuk hatinya yang sedang diruntun pilu.

“Dah, jom kita pergi lawat ibu pulak. Beri salam kat Tok Pa, Tok Ma dan Pak Long Zaif.”

Tukas Zaim.

“Assalamu’alaikum Tok Ma, Tok Pa and Pak Long Zaif. Ayish balik dulu ya. Ayish nak gi tengok ibu pulak.”

Ayish turut berbuat seperti Zaim tadi. Memeluk satu-persatu ketiga-ketiga batu nisan itu. Seolah-olah memeluk mereka secara zahir sesungguhnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience