BAB 10

Family Completed 4914

Kurasa yang kau rasa,

Karena hati bicara.

“Zaim? Cucu atok. Ya Allah, cucu aku! Alhamdulillah, ada rezeki nak jumpa kamu raya ni. Rindunya atok kat kamu, Im. Atok nak mintak maaf ke kamu, cu.”

Sekali lagi Zaim terkejut! Seusai dia dan Syaqif menjamu selera di kafe hospital itu, dia ditegur oleh seseorang yang amat dikenalinya. Insan yang dirinduinya hampir 15 tahun ini. Tapi hatinya masih dipagut rasa takut. Dingin. Bersalah. Semuanya masih bercampur-baur.

“Atok?”

Zaim menggeleng-gelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak percaya! Tan Sri Muaz sudah memeluk tubuh cucunya.

Namun si cucu hanya kaku. Tidak dibalas pelukan itu. Dia masih dipagut rasa bersalah. Perasaan pesimis itu datang lagi. Bercampur-baur. Bergelodak di dalam hati.

Syaqif hanya memandang dari sudut kafe. Dia mengenali Tan Sri Muaz. Datuk kepada Zaim ini adalah salah seorang pemegang saham terbesar di salah satu cawangan syarikatnya juga. Tan Sri Muaz itu bukan orang lain, sudah dianggap bagaikan bapa angkat kepada bapa Syaqif, Megat Furqan.

Tapi tanpa sepengetahuan Zaim, share saham itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Zaim oleh Tan Sri Muaz. Tan Sri Muaz masih takut untuk berterus-terang dan menemui cucunya itu. Ada sesuatu yang perlu diselesaikan sebelum dia boleh menuntut semula kasih sayang cucunya ini. Bukan sengaja dia mengenepikan Zaim dari hidupnya. Ada sebabnya!

Segala masalah yang membelenggu keluarga ini telah diketahui oleh Syaqif dari walidnya, Megat Furqan. Hanya simpati dan empati yang memenuhi kalbunya apabila mengetahui tragedi yang menimpa keluarga Zaim. Walidnya itu sudah dianggap sebagai anak angkat Tan Sri Muaz selepas anak lelaki tunggalnya pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Kerana itu Syaqif tahu. Kisah pahit yang menyelubungi hidup Zaim sebelum bertemu Izzreena Darwisya.

Disebabkan itu juga dia rapat dengan Zaim. Dia memahami kesunyian hidup tanpa teman. Lebih-lebih lagi pada waktu sekarang, tika Izzreena Darwisya masih tidak sedarkan diri. Dia dulu juga hampir kemurungan apabila kehilangan Rania dan hampir-hampir kehilangan Zareen pula. Sungguh dia ikhlas ingin Zaim bangkit semula menghadapi setiap ujian ini!

Zaim dihimpit rasa keliru. Dia tidak tahu, pertemuan ini telah dirancang oleh Syaqif dan Tan Sri Muaz.

15 tahun dia hidup tanpa kedua orang datuk dan neneknya. Kenapa kini mereka muncul? Dicari mereka namun tiada khabar yang menyapa. Hanya kiriman nafkah melalui pindahan akaun bank yang diterimanya selama ini. Tiada langsung huluran rindu yang diterima.

Dilihat tidak jauh dari datuknya, Puan Sri Zaleha sudah terduduk lemah di atas kerusi roda. Tok maknya itu memandangnya sayu. Zaim semakin keliru. Apa sebenarnya yang telah terjadi kepada tok maknya?

“Ya Allah, ujian apa lagikah yang ingin kau tunjukkan kepadaku ini? Aku mohon, kuatkanlah aku.”

Zaim berlalu pergi dari situasi yang menjanggalkan ini. Fikirannya masih berserabut. Syaqif mengejar Zaim. Dia tahu fikiran Zaim semakin bercelaru selepas Tan Sri Muaz dan Puan Sri Zaleha muncul tiba-tiba.

Tan Sri Muaz dan Puan Sri Zaleha terpinga-pinga ditinggal pergi oleh cucu mereka. Puan Sri Zaleha merasakan yang Zaim masih marah dengan mereka.

“Dia masih marah dengan kita ke bang?”

Tanya Puan Sri Zaleha. Sayu.

“Beri dia masa, Za. Dia masih terkejut.”

Pujuk Tan Sri Muaz.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience