BAB 1

Romance Completed 6328

Hari ini.

“Ooohhh tidak!”

Pertama kali dalam sejarah hidup aku, aku jatuh cinta pandang pertama! Oh tidak…tak mungkin. Tapi hati mana pandai berbohong kan? Aku merebahkan badanku ke atas sofa. Sofa buruk yang semakin kusam aku lanyak semahunya. Sambil menilai-nilai dengan pandangan dan perbualan yang berlangsung kurang dari sejam tadi. Pertemuan yang singkat tapi sudah cukup untuk buat aku jadi gila pada makhluk itu.

Aku memandang siling. Penuh dengan sawang. Maklumlah, rumah bujang. Student pulak tu. Siapa la yang rajin nak mengemas. Aku mengimbau kembali pertemuan sebentar tadi. Pertemuan singkat itu buat aku hilang arah seketika. Masakan tidak, baru terpandang beberapa saat terus jatuh hati! Sedangkan aku ni bukan jenis yang cepat jatuh cinta.

Dah masuk tahun ke empat di UiTM Shah Alam ni, seorang awek pun aku tak berkenan. Perempuan yang jatuh hati pada aku adalah. Setiap semester mesti ada sekurang-kurangnya seorang yang hantar salam perkenalan. Tu belum dikira makcik cleaner dan pensyarah yang tengah cari calon suami. Tapi aku biasalah. Buat tak tahu je. Mungkin sebab mereka tengok aku macam imam muda kot? Imam muda la sangat.

Waktu itu aku baru keluar dari masjid negeri lepas solat Asar. Memang rutin aku hari jumaat aku akan ke masjid Shah Alam untuk solat Asar. Sebab lepas tu boleh aku berjoging di sekitar tasik Shah Alam. Tapi entah kenapa tadi aku tergerak nak tengok gerai-gerai kecil di bahagian belakang kawasan masjid. Niatnya cuma nak tengok-tengoklah barang-barang yang dijual. Mana tahu ada yang berkenan. Tapi entah macam mana juga, mata aku yang cukup sifat ni terpandang pada susuk tubuh seorang gadis. Ye… gadis. Dia sedang membelek-belek tudung yang dipamerkan di situ. Dan gadis itu dengan serta merta memandang aku dan melemparkan senyuman paling manis yang pernah aku lihat.

Dan saat itu jugak, hati aku cair bagai coklat panas. Hilang terus ego dan rasa jantan yang dibawa sepanjang hidup. Terus terkulat-kulat aku dibuatnya mamandang lantai. Muka dah pasti merah. Terus jadi malu macam anak dara! Tapi aku gagahkan juga untuk membalas senyumannya. Niatkan bersedekah. Dapat juga pahala. Orangnya agak tinggi. Tapi aku lagi tinggi. Kulitnya putih kemerahan. Aku gelap sedikit. Hidungnya taklah mancung sangat. Hidung aku lagi tinggi. Matanya besar dan hitam. Sama macam aku. Cuma mata aku taklah besar sangat.

Tapi tak sampai seminit, dia terus berlalu meninggalkan kawasan itu. Aku hanya memerhatikan langkahnya pergi. Mata aku tak lepas dari memandang susuk tubuh berbaju kurung ungu itu sehinggalah aku dikejutkan oleh penjual minyak wangi disebelah aku.

“Nak beli ke bang?”

“Eh, tak. Saja nak tengok-tengok.”

Kata aku sambil tersenyum. Malu juga rasanya bila ditanya begitu. Tapi mungkin adik itu faham. Kehidupan seorang pelajar bukan boleh boros sangat. Benda yang boleh dicatu, catu dulu.

Gadis itu menghilang. Aku mengeluh kecil. Lalu aku tinggalkan perkarangan masjid Shah Alam menuju ke tempat pakir motor. Dalam berjalan, ingatan aku pada gadis itu masih kuat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience