BAB 9

Romance Completed 6328

Tiga bulan berlalu lepas kunjungan aku ke hospital. Sejak hari tu, aku tidak lagi menziarah Amirah. Bukan apa, aku sebenarnya orang luar. Nanti dia sedar, dia mana nak kenal aku. Nanti dia tanya, takkan aku nak cakap aku jumpa dia dalam koma kot? Aku dah boleh terima hakikat yang apa yang aku lalui bersebab. Kenapa Allah nak aku jumpa Amirah dalam keadaan macam tu, aku masih mencari. Mungkin jumpa. Mungkin tak. Ah! Sudahlah. Malas aku nak fikir pasal dia. Awek bukan seorang. Boleh cari lagi. Em, aku ingat nak ajak Cik Muslihah kahwin la. Dia pun macam angau kat aku. Ceh! Perasan lebih!

Aku melepak dekat kedai makan di dataran. Mizi tak sampai-sampai lagi. Jam dah tunjuk pukul 5.30 petang. Kuliah habis lewat kot. Aku mula rasa bosan. Duduk seorang ni mula la nak layan blues. Ramai juga orang kat dataran ni.

Awek pun ramai. Ada la seorang dua menjeling-jeling pada aku. Aku? Buat tak tahu je. Padahal ni dah semester akhir ni. Calon isteri takde lagi. Lepas ni nak cari kerja pula. Mak kat kampung dah tanya-tanya pasal calon. Kalau takde, mak nak tanya pada Pak Mail ketua kampung. Nak merisik anak daranya untuk aku. Aduh mak…Amar tak kerja pun lagi.

Dari jauh aku nampak kelibat seorang gadis berbaju kurung merah jambu dan bertudung merah. Ye, gadis itu adalah Amirah. Ini kali ketiga aku nampak dia di dataran ni. Entah dia perasan aku atau tak. Dengar cerita lepas aku melawat dia 3 bulan lepas, malam tu dia terjaga dari koma. Bangun dari koma tak ingat sesiapa. Lepas tu ambil masa seminggu untuk ingat balik orang disekelilingnya.

Dan 2 bulan lebih untuk betul-betul sihat macam sekarang. Tengok dia dah berisi sikit. Nampak segar bugar lagi. Senyum pun makin murah. Lesung pipitnya aku tak boleh nak lupa. Masih terletak elok kat situ. Yang bagusnya dia dah bertudung sekarang. Baju ketat seluar sendat dah tak nampak dah. Berbaju kurung je memanjang. Jauh dah berubahnya. Orang kata la.

Aku? Biarlah dia tak kenal aku pun. Aku dah cukup bersyukur dah bila dia bangun dari koma. ‘Amirah’ yang aku jumpa semasa Amirah koma, sama sebiji dengan Amirah sekarang. Masa melawat dulu pun aku tak bagitahu mak ayah Amirah nama aku. Biarlah kenangan aku dan ‘Amirah’, jadi rahsia aku saja. Dan rahsia Mizi.

Amirah berlalu di hadapan aku. Nampak dia rancak berbual dengan kawan sebelahnya. Aku sekadar memerhati. Mata kami bertemu tapi dia alihkan pandangannya kembali. Dia terus berlalu menandakan yang dia tak mengenali siapa aku. Aku menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Aku biarkan saja Amirah berlalu tanpa menoleh kepadanya. Sedikit rasa lega bercampur sedikit kecewa.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

Aku menoleh. Tergamam. Dihadapan aku Amirah. Aku jadi kalut. Cuba buat-buat selamber. Padahal jantung dah macam nak pecah! Amirah duduk di kerusi di hadapan aku. Antara kami dipisahkan dengan hanya sebuah meja. Dia tidak senyum. Tapi raut mukanya sentiasa manis. Dia merenung aku yang terpinga-pinga. Untuk beberapa saat yang pertama, tiada perbualan antara kami.

“Awak kenal kita?”

Amirah bertanya dan aku menggeleng berbohong.

“Tapi kenapa kita rasa macam kenal awak ye?”

Amirah bertanya lagi. Soalannya buat aku rasa sesak nafas. Dia nampak sedikit kecewa. Aku hanya mendiamkan diri.

“Awak pernah datang melawat kita kat hospital?”

Dia bertanya lagi. Aku semakin sesak nafas. Sekali lagi aku menggeleng berbohong. Amirah mecebikkan bibir comelnya. Pandangannya dialihkan dari aku.

“Ayah kata sebelum kita sedar, ada kawan datang melawat. Tapi ayah tak tanya pula namanya. Ayah kata dia bacakan surah Yasin untuk kita.”

Matanya menangkap mataku. Nafas aku terhenti sekejap.

“Kalau ikut apa yang ayah cakap, ciri-ciri orang tu macam awak.”

Kali ini dia merenung tajam mata aku. Macam dah terkantoi je ni? Ke dia ni serkap jarang je? Peluh dah mula mercik kat dahi aku.

“Orang lain kot.”

Aku menjawab ringkas. Kalau boleh nak pergi dari situ. Aku bukan sengaja nak berbohong, tapi dalam kepala ni tengah berfikir. Kalau dia tanya macam mana boleh kenal dia, apa aku nak jawab? Takkan nak cerita tentang ‘Amirah’ misteri yang aku jumpa tu? Mampus dia nak percaya.

“Er…kalau takde apa-apa, saya nak pergi dululah. Okay?”

Aku minta diri untuk beredar. Aku takut nak berada lama di situ. Aku segera bangun dari situ dan meninggalkan Amirah sendirian. Aku minta maaf Amirah! Bukan aku tak nak berterus terang, tapi aku takut kau tak boleh terima apa yang aku alami. Aku berjalan cepat-cepat. Tiba-tiba telefon ku berbunyi. Mesti Mizi telefon. Aku terus menjawab panggilan itu.

“Helo Mizi, aku balik dulu. Kita jumpa kat rumah okey.”

Kataku ringkas. Tapi suara Mizi tak pula aku dengar dari hujung telefon. Aku segera melihat paparan skrin pada telefonku. Nama ‘Gadis ku Amirah’ terpapar. Aku terkejut. Langkahku terhenti. Alamak!

Aku berpaling ke belakang dan Amirah betul-betul di hadapanku. Dia mengekori aku dari tadi dan aku tak perasan. Terasa lidah kelu dan kebas. Aku terpaku. Amirah di hadapan ku masam mencuka. Tapi masih comel!

“Awak kata awak tak kenal kita. Tapi kenapa awak ada nombor telefon kita?”

Soalan maut Amirah mematikan akal ku. Aku tak tahu nak jawab apa. Silap sangat aku jawab telefon tadi. Lain kali check dulu.

“Ada beratus mesej awak dalam telefon Amirah. Takkan awak tak kenal Amirah? Tapi kenapa hati ni kuat sangat kata yang Amirah kenal awak. Awak betul-betul tak kenal Amirah?”

Kali ini Amirah bertegas. Aku dah terasa macam nak menangis.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan diri.

“Hakikat yang awak perlu tahu, awak tak mengenali saya. Walaupun hati awak kuat mengatakan yang awak mengenali saya. Hati adalah satu perasaan bukan logik yang susah nak di gambarkan dengan kata-kata. Dan mana mungkin kita kenal satu sama lain kalau kita…”

“Amar.”

Tiba-tiba perkataan itu keluar dari bibirnya. Mematikan terus hujah aku. Sekali lagi aku terdiam ternganga. Tak terkata apa-apa. Hujah tadi dah jauh hilang dari ingatan aku.

“Nama awak Amar kan? Amirah tak silap. Amirah kenal Amar. Tapi Amirah tak tahu kat mana dan macam mana Amirah kenal Amar!”

Aku membisu.

“Amar, janganlah berdalih. Amirah betul-betul nak tahu ni. Ceritalah apa pun, Amirah akan percaya.”

Mata kami bertemu. Aku rasa aku sudah tak boleh mengelak lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience