Puan Aaminah berdiri di hadapan villa yang indah seni binannya itu. Tercari-cari jugalah dia loceng untuknya tekan tetapi masih tak dijumpai.
Kebetulan, seorang lelaki mudah dalam lingkungan umur 20 tahun keluar dari rumah itu, lantas dia memanggil lelaki itu dekat dengannya.
“Ya mak cik?” sapa lelaki itu lembut.
“Ini rumah Datin Rina ke?” lelaki itu mengangguk, mengiyakan pertanyaan puan Aaminah.
“Nama mak cik, Aaminah. Semalam datin ada telefon mak cik, katanya nak minta mak cik bersihkan rumah ini pada hari ini.” terangnya.
“Oh.. Mak cik Aaminah..” remote di tangan ditekan dan pintu pagar dengan automatiknya terbuka sedikit, cukup untuk puan Aaminah membolos ke dalam.
“Nama saya Hamizan, anak kepada orang yang mak cik cakap tadi.. Mak cik dah lama ke sampai?” soal Hamizan ramah. Dia mengiringi puan Aaminah masuk ke dalam rumah.
“Baru saja.. Datin di mana ya?”
“Mama keluar.. Pergi ambil adik di universiti.. Rindu katanya.” Hamizan tergelak kecil tatkala teringatkan mamanya yang tak habis-habis menelefon adiknya semenjak dari semalam lagi. Rindu sangat kepada anak bongsunya itu sampaikan dia pun naik cemburu dibuatnya.
“Mak cik duduk dulu ya, kejap lagi saya beritahu apa yang mak cik perlu buat.” Dan dengan itu, Hamizan hilang dari pandangan mata puan Aaminah.
Puan Aaminah memerhatikan keadaan sekeliling. Mewah betul rumah ni.. Perabot pun nampak elegan, seperti diimport dari luar negara. TV nipis tergantung elok pada dinding.. Sofa pun boleh tahan empuk juga sehinggakan dia berasa dirinya tak layak pun untuk melabuhkan duduk di situ.
Tak lama kemudian, Hamizan datang bersama segelas air oren di tangan. Kasihan dia melihat orang tua itu yang kelihatan penat ketika dia sampai di hadapan rumahnya tadi, sebab itulah dia menyuruh puan Aaminah berehat sebentar sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan.
Share this novel