BAB 1

Family Completed 776

Seawal jam 3 pagi lagi, puan Aaminah sudah bangun, untuk membuat kuih-muih dan nasi lemak untuk dijual di warung pak Samad nanti. Semenjak diceraikan oleh suaminya 7 tahun yang lalu, puan Aaminah adalah ibu dan juga bapa kepada lima orang anaknya. Si sulung bernama Safiya, belajar di satu universiti awam di Selangor manakala yang Anis dan Anissa belajar di menengah manakala Aniq dan Alif belajar di sekolah rendah.

“Mak dah bangun?” soal Anis sambil menggenyeh mata. Dia mengambil tempat di meja makan, sambil matanya samar-samar melihat ibunya yang sedang menanak nasi. Anis selalu membantu puan Aaminah membungkus nasi. Jika tiada dia, mahu puan Aaminah kelam kabut seorang diri di dapur, menyiapkan segalanya tanpa bantuan sesiapapun.

“Ya Nis. Daun pisang ada kat tepi peti ais. Macam biasalah..”

“Anis tolong lapkan ya?” seperti dapat mengagak apa yang bakal dicakapkan oleh ibunya, Anis terus menyambung bicara puan Aaminah tanpa menanti dia habiskan ayatnya terlebih dahulu. Tawa mereka bersatu.

Seperti diberitahu oleh ibunya tadi, Anis terus mencapai daun pisang yang telah siap dipotong kepada bentuk empat segi lalu mengambil kain bersih untuk membersihkan daun-daun itu daripada getah.

“Mak..”

“Ya..” puan Aaminah menoleh ke anaknya sekilas sebelum membasuh tangan di sinki.

Anis mengigit bibir, rasa serba salah sama ada dia perlu beritahu ibunya mengenai keinginannya itu ataupun tidak. Dia faham bahawa keluarga mereka kesempitan wang dan dia juga faham bahawa ibunya perlu menangung kakaknya di universti tetapi rasanya jika dia hanya minta ibunya membelikan sehelai seluar sukan buatnya tak menjejaskan pendapatan harian ibunya bukan?

“Kenapa Anis? Nak cakap apa tadi? Cakaplah..” lembut suara puan Aaminah bertanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience