Anis hanya menunduk, masih lagi berdebat dengan dirinya sama ada mahu beritahu ibunya mengenainya ataupun tidak.
Bibirnya digerakkan sedikit.
“Seluar sukan Anis yang lama dah koyak. Anis dah jahit tapi masih lagi koyak.. Boleh tak mak tolong belikan Anis seluar baru? Lagipun hari sukan dah nak dekat, Anis terpilih untuk mewakili rumah sukan Anis dalam beberapa acara larian.. Tak kanlah Anis nak pakai se..”
“Anis..” ibunya mematikan bicaranya. Anis sambung mengelap daun pisang. Dia tahu ibunya akan beritahu dia betapa mahalnya harga sehelai seluar sukan dan ibunya tak mampu untuk membelinya dalam masa yang singkat ini.
“Tak apalah mak.. Anis pakai yang lama saja..” putusnya, dalam nada yang mendatar. Air mata mula mengaburi mata namun dia mengerdipkan matanya berulangkali supaya air jernih itu tak tumpah membasahi pipinya.
Jauh di dalam hati, terdetik rasa menyesal kerana melontarkan permintaannya kepada ibunya tadi. Terasa seperti dia mementingkan diri sendiri dan tak fikirkan perasaan ibunya langsung.
‘Sudahlah Anis.. Mak tak ada duit.. Janganlah paksa dia beli benda yang dia tak mampu. Sehelai seluar yang kau nak tu sudah berharga RM 20, dimana duit itu boleh digunakan untuk beli barang yang lebih penting seperti barang makan kau sekeluarga.. Apa salahnya pakai yang lama. Nanti kalau mak ada duit lebih sikit, pasti dia belikan untuk kau punya..’ getus Anis di dalam hati, lebih kepada memujuk diri sendiri.
“Mak, surat khabar mak dah potong ke belum? Kalau belum, mehlah Anis tolong potongkan..” katanya, menukar topik. Dia tak mahu ibunya susah hati dek kerana permintaannya yang tadi.
Perlahan, puan Aaminah mengangguk. Wajah puteri keduanya itu direnung seketika. Anis memang anak yang baik. Dia sentiasa memahami situasi yang dihadapi oleh ibunya. Jarang sekali dia meminta ibunya belikan barang buatnya melainkan jika dia betul-betul memerlukannya.
Safiya menyarungkan sepatu berjenama Nike berharga lebih RM 200, hasil daripada memaksa ibunya memasukkan duit buatnya dengan alasan, untuk beli buku rujukkan. Di universiti, Safiya tidak menjadi dirinya sendiri. Culture shock. Ya, itu adalah istilah yang sangat tepat dengannya semenjak dia melangkah masuk ke alam universiti ini. Tambahan pula, dia dikelilingi oleh anak orang-orang berada dan kaya di sana dan dia sedikit sebanyak terpengaruh dengan gaya mereka semua.
Share this novel