BAB 10

Drama Completed 363

“Eh, abang kata balik minggu depan?” suara Mami terketar-ketar.

“Kerja habis awal… Mana Along?”

“Abang, Along ada di bilik, saya ada ajar dia sedikit tadi… Dia makin
nakal, kali ni dia mencuri di rumah jiran. Sebab tak mahu kata manjakan
anak, saya pukul dia di depan jiran. Kalau tidak kita malu bang...
Perangai dia juga aneh. Selalu cakap yang bukan-bukan. Bahkan kadang
kala mengaji tak tentu masa…”

‘Fitnah, itu semua fitnah. Along membaca surah bila di pukul Mami,
supaya Along boleh bertahan dan terus bertabah…’

“Mana dia?”

“Tak payah tengok la abang, dia merajuk tu… Saya ada berita gembira buat
Abang, saya dah mengandung…” Mami mula mengalih topik.

“Benarkah!? Itulah sebab abang panggil Iman tu Along, sebagai berkah dia
dapat adik!” suara ayah gembira sekali. Along yang mendengar hanya
senyum. Dia sudah ada pengganti… maka, dia pasti makin tersisih.

Malam itu Along terdengar ayah berbual dengan Mami di meja makan.

“Pasal Along ni beginilah, abang akan hantar dia tinggal dengan pakcik
abang, bekas jeneral bersara tu. Biar dia belajar disiplin sikit…”

“Pakcik abang yang tinggal di Mekah tu?”

“Ya, dia tinggal di sana beribadat, menghabiskan masa bersaranya. Hujung
minggu ni dia balik sini sekejap. Boleh lah dia datang ambil Iman…”

“Baguslah bang, biar disiplin sikit Along tu. Pakcik abang tu kan
garang.” Mami menggulung senyum.

Along di dalam bilik lagi lebar senyumannya. Ya, pakcik Hasyim memang
garang dan tegas. Kerana dia bekas jeneral tentera. Dia juga warak
orangnya. Tetapi dia sangat menyayangi Along. Pakcik Hasyim boleh didik
Along ilmu peperangan, ilmu agama. Untuk persediaan Along menjadi
tentera Imam Mahadi. Senyum Along tambah melebar, dia mengangkat kedua
tangan ke wajah.

“Ya Allah, kau ambillah Sina ke sisiMu, sesungguhnya dia sangat
merinduiMu.” Along menunaikan janji pada Sina . Dia redhakan Sina
pergi, kerana dia tidak berseorangan lagi. Dia akan bersama dan dijaga
seorang lelaki yang baik dan berwibawa nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience