Petang itu, habis sahaja istiadat penyampaian diploma, aku terus bergerak ke tempat makanan. Ayah dan ibu awal-awal sudah duduk menjamah makanan. Aku ambil kerusi di sebelah ibu. Sedikit kuih yang telah sedia ibu ambil, aku capai dan masukkan ke mulut.
“Assalamualaikum.”
Ucap satu suara di belakang kerusi aku. Serentak, aku, ayah dan ibu menjawab salam itu. Aku telan liur apabila melihat gerangan yang memberi salam.
Rayyan!
Rayyan berjalan mendekati ayah lalu menghulurkan salam.
“Pak cik sihat?”
Rayyan memulakan perbualan. Aku sudah angkat kening sebelah.
“Sihat, anak ni yang tadi ambil anugerah inovasi dan augerah dekan ye?”
Ucap Ayah. Tu dia, ayah pun teruja bila Rayyan datang menegur.
Rayyan tersenyum.
“Ye pakcik, nama saya Rayyan.”
“Rayyan, patutlah bijak, nama pun pelik!”
Sengaja ayah bergurau. Rayyan tersenyum, Aku pula mengerutkan kening. Lain macam pula ayah ni!
“Saya satu group dengan Ayang, saya rapat juga dengan Ayang.”
Ucap Rayyan.
Ayah dan ibu tiba-tiba tersenyum.
“Ayang?”
Soal Ibu pada Rayyan.
“Eh, maksud saya Ann.”
Tergagap-gagap Rayyan menyebut nama aku. Aku sudah menepuk dahi sendiri.
“Tak apa, pak cik dan mak cik memang panggil Ann dengan nama Ayang dekat rumah. Ayang ni memang cukup tak suka kalau budak lelaki panggil dia dengan nama Ayang, tak sangka pula bila Rayyan panggil Ann dengan nama Ayang dia okey je!”
Mata Ayah sudah bulat memandang aku. Ada senyuman terukir di wajahnya.
“Oh ye ke, jadinya tak ada masalahlah kalau saya nak panggil Ann dengan nama Ayang.”
Mata Rayyan sudah melirik pada aku.
“Boleh je.”
Tambah ibu pula. Amboi… hebat sungguh dia melobi ayah dan ibu.
“Rayyan, kalau senang-senang datanglah rumah uncle, kata kawan dengan Ayang, jemputlah datang rumah!”
Pelawa ibu pulak. Kini giliran mata aku pula bulat memandang ibu. Rayyan mengukir senyuman menyenget pada aku!
Konspirasi apa pula kali ni!
“Pak cik, saya nak minta izin pinjam Ayang sekejap, nanti saya pulangkan balik, boleh?”
Itu dia! Gentle sungguh Albert Einstain ni! Kagum aku lima saat.
“Boleh! Boleh!”
Ucap Ayah sambil melirik pada aku. Aku bangun dari kerusi. Rayyan berjalan laju ke hadapan, aku hanya mengekori dia tanpa banyak soal.
Share this novel