Terkelip – kelip Selena memandang rumah agam yang tersergam indah berhadapan rumah sewa barunya. Menjadi seorang guru muda di sebuah sekolah selatan tanah air membuatkannya terpaksa berjauhan dengan mama dan papanya yang tersayang. Anak manja itu terpaksa berdikari untuk hidup bersendirian. Dia lebih gemar duduk berseorangan di rumah daripada berkongsi dengan teman – teman yang lain. Kurang privasi katanya.
Pintu kaca rumah agam itu terbuka luas. Terpaku sebentar Selena apabila terpandangkan wajah jelita milik wanita berambut coklat gelap itu. Selena hanya memerhatikan wanita Inggeris itu yang seolah – olah mencari seseorang di bawah. Selena turut menjatuhkan pandangannya ke tingkat bawah rumah agam itu. Ya Allah... comel sungguh kanak – kanak perempuan yang bergaun putih itu. anak patung di tangannya dikelek bagaikan bayi. Dia melambai – lambai tangannya ke arah wanita itu. sedang asyik Selena memerhatikan mereka, dia bagaikan sedikit terkejut apabila melihat wanita itu sedang memandangnya.
Selena tersenyum dan melambaikan tangannya pada kanak – kanak itu dan senyumannya dibalas dengan cara yang sama. Telefon bimbit yang berbunyi membuatkan Selena terpaksa berlari turun ke bawah untuk menjawab panggilan.
Sebaik sahaja selesai berbicara dengan mamanya, pintunya pula diketuk seseorang.
“Assalamualaikum nak” senyum seorang Pak lebai bersama dua orang anak muda lain.
“Baru berpindah di sini ye?”
“ya” senyum Selena . Dia memandang tabung di tangan salah seorag anak muda di hadapannya.
“Nak kutip derma ya Pak Lebai?” Selena menyoal dan senyuman Pak Lebai itu membuatkan kakinya lantas masuk ke dalam rumah untuk membuka dompet. Wang dua puluh ringgit di hulurkan.
Pak lebai sedikit hairan apabila melihat Selena seperti terintai – intai akan sesuatu.
“Anak intai apa?. Maaflah kalau Pak Lebai tanya”
“Tak. Comel betul anak orang Inggeris tu. Tadi ada dengan mama dia. Dah masuk ke dalam rumah agaknya” Selena tersenyum lagi. Sejuk matanya memandang pak lebai yang sangat berseri wajahnya itu.
“Anak nampak?” soal Pak Lebai. Selena lantas mengangguk. Sudah pasti dia nampak akan kecomelan kanak – kanak tadi. Pak Lebai tunduk seketika.
“Anak... tinggal sendirian di dalam rumah kena isikan dengan bacaan ayat – ayat Al –Quran ya. Kalau ada ketukan pintu di malam hari, diendahkan sahaja. Takut jika ada pemuda yang nakal – nakal di sini. Hmmm.... tak kira siapa pun tak perlulah dibuka”
Pesan pak Lebai itu disambut dengan anggukan tanda faham oleh Selena . Setelah dua tiga langkah meninggalkan rumah Selena , Pak Lebai menoleh ke belakang dan tunduk semula.
Selena menutup pintunya.
Share this novel