BAB 10

Romance Completed 10359

Adam Danial cuba membuka matanya, tetapi terasa begitu berat dan dia ingin mengukirkan senyuman buat isterinya tetapi dia sendiri tidak terdaya untuk melakukannya. Hanya jarinya saja yang bergerak menjadi tanda untuk responnya.

“Abang maafkan semua kesalahan saya sepanjang saya menjadi isteri abang. Halalkan makan minum saya yang selama ni abang sediakan…” Aisy Qaisara tidak mampu lagi untuk bertutur. Hatinya menjadi sakit, sebak untuk menghadapi kenyataannya.

“Aii…aiss…aisyy..” Dengan susah payahnya Adam Danial cuba memanggil nama isterinya. Suaranya yang tersekat-sekat sangat menyukarnya.

“Abang, Abang Adam…” Melihat keadaan Adam Danial semakin tenat membuatkan Aisy Qaisara menjadi panik. Aisy Qaisara dibawa keluar oleh jururawat yang bertugas manakala Hasanah berusaha untuk menyelamatkan abangnya.

Selepas lima minit Hasanah berada di dalam wad berusaha menyelamatkan Adam Danial. Akhirnya dia keluar menemui Aisy Qaisara.

“Hasanah macam mana keadaan Abang Adam?” Soal Aisy Qaisara lemah.

“Maafkan Hasanah, kak. Allah lebih menyayangi Abang Adam.” Ucap Hasanah bersama dengan air mata yang turut membasahi pipinya. Dia tidak sangka akhirnya abangnya akan pergi meninggalkan dia untuk selama-lamanya. Aisy Qaisara yang tidak percaya dengan apa yang didengarnya merebahkan diri.

Usai sahaja majlis pengebumian, Aisy Qaisara terus mengikut Hasanah menuju ke satu tempat. Katanya itu adalah amanah dari Adam Danial. Kereta dipandu oleh Hasanah, manakala Aisy Qaisara pula hanya menjadi penumpang. Sepanjang perjalanan dia melayan perasaan mengingat kembali kenangan-kenangan lama antara dia dan Adam Danial.

“Kak, kita dah sampai.” Hasanah memanggil Aisy Qaisara yang dari tadi menyepikan diri. Aisy Qaisara mengikut saja kelakuan Hasanah yang turun dari kereta, kini mereka menghampiri satu rumah banglo yang sangat cantik.

“Rumah siapa ni Hasanah?” Soal Aisy Qaisara pelik.

“Rumah akak. Hadiah daripada arwah Abang Adam untuk akak. Dah lama sebenarnya rumah ni wujud tapi arwah abang belum sempat nak beritahu akak sebab masa tu rumah ni masih lagi dalam pengubahsuaian. Arwah abang nak jadikan rumah ni sebagai rumah akak dengan dia tapi apa dayanya kesempatan dia sangat terhad.” Sekali lagi Aisy Qaisara tidak dapat membendung air matanya daripada jatuh menitis.

“Ni surat terakhir daripada abang untuk akak.” Hasanah menyerahkan sepucuk surat buat Aisy Qaisara.

Assalamualaikum Aisy Qaisara. Hari ini dan ketika ini, awak baca saja surat ni bermakna jodoh antara kita sudah menemui penghujungnya. Saya minta maaf dengan apa yang berlaku terutama mengenai penyakit saya, sebab saya tak sanggup menyusahkan awak dengan penyakit saya. Aisy Qaisara saya tahu sepanjang pemergian saya, awak selalu terseksa sebab saya merasakan hal yang sama. Selama ni saya lagi terseksa untuk melayan awak sekasar itu, tapi hanya itu saja cara yang ada untuk awak lupakan saya.

Aisy Qaisara mungkin awak anggap saya dah tinggalkan awak untuk selama-lamanya tapi sebenarnya walaupun sesaat hati saya tidak pernah tinggalkan awak. Awak adalah pemilik sebahagian daripada hati saya. Tujuh tahun yang lalu di saat awak perlukan penderma untuk hati, dengan berbekalkan rasa cinta saya pada awak saya rela berkongsi hati dengan wanita yang sangat saya cintai. Terlalu lama saya cintakan awak Aisy Qaisara sehingga ke akhir nafas saya.

Hampir setahun saya berkahwin dengan awak dengan tujuan saya mampu menarik awak ke jalan yang benar. Saya tiada pilihan untuk membimbing awak dengan sah selain dengan cara menikahi awak. Saya terlalu cintakan awak sehingga saya tidak sanggup berpisah dengan awak. Setiap hari dalam diam saya akan sentiasa mengekori awak dan saya tahu apa yang selama ni awak lakukan. Hanya Allah saja yang tahu betapa saya rindukan gelak tawa, gurauan dan senyuman yang sentiasa terukir dibibir isteri tercinta saya.

Terima kasih atas segalanya kerana sudi menjadi isteri, makmum dan bidadari saya di dunia yang fana dan terima kasih kerana awak telah memegang amanah yang saya berikan sepanjang awak bergelar isteri saya. Saya yakin kali ni saya dah boleh lepaskan awak untuk selama-lamanya.

Salam Terakhir dari Suamimu: Adam Danial

“Awak, walaupun saya tidak pernah ungkapkan kata cinta saya kepada awak. Tapi percayalah, awak adalah insan yang paling saya cintai. Saya cintakan awak, Adam Danial.” Ucap Aisy Qaisara yang jatuh terjelepok di atas lantai. Surat terakhir dari suaminya dipeluk erat.

Ya Allah, terima kasih atas segala-galanya. Kerana takdirMu kehidupan aku jauh berubah. Kerana cinta daripada seorang hambaMu, aku dikurniakan kebahagiaan. Kerana kasih sayangMu, aku diberi peluang kedua untuk bernafas di bumiMu dan kerana ujianMu, baru aku merasai kewujudan rasa kasih, sayang dan cinta si pemilik hati yang menjadi sebahagian dari hidupku.

Linangan air mata berjuraian disekah dengan tudungnya. Sungguh pedih untuk melepaskan pemergian ini. Betapa kehilangan insan tercinta kuat mengentam membuatkannya rebah terkulai. Namun redha, ya redha sahaja yang harus dilakukannya saat ini. Berdoa agar selepas badai ini, Allah memberikan sesuatu asbab yang akhirnya dapat difahami olehnya. Buat masa ini biarkanlah dia meratapi kehilangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience