BAB 8

Romance Completed 10359

Kereta milik Aisy Qaisara dipandu oleh Adam Danial. Masing-masing senyap membisu. Air mata Aisy Qaisara dari tadi asyik mengalir saja tanpa henti. Hari ini hatinya bagaikan di sayat-sayat menjadi kepingan yang kecil. Hatinya sangat terseksa. Kenapa disaat dia mula mengecapi kebahagian ada saja yang ingin menjadi penghalangnya.

“Jadi siapa perempuan tu? Kenapa awak buat saya macam ni dan kenapa awak nak seksa hidup saya Adam Danial?” Sampai saja ke rumah, terus soalan itu yang keluar dari bibir Aisy Qaisara. Pipinya masih lagi setia dibasahi air mata.

“Bukan selama ni kau tak pernah cintakan aku ke?” Soal Adam Danial sinis.

“Ya memang saya tak cintakan awak, tapi dulu sebelum saya tidak mengenali awak dengan dekat tapi bukan hari ni!” Jawab Aisy Qaisara dengan suara yang serak.

“Baguslah! Aku pun cintakan kau, tapi dulu dan bukan sekarang!” Giliran Adam Danial pula yang menjawab.

Aisy Qaisara yang tidak percaya akan kenyataan yang keluar dari bibir suaminya menangis teresak-esak. “Kenapa? Kenapa awak buat saya macam ni? Apa salah saya Adam? Awak tahu tak betapa sakitnya hati saya untuk menghadapi semua ni.” Aisy Qaisara memukul dada Adam Danial sekuat hatinya sebelum dia jatuh pengsan.

Kepala yang sakit membuatkan Aisy Qaisara mengagahkan juga dirinya untuk bangun. Seingatnya dia memarahi Adam Danial tapi kenapa dia pula yang terlantar di atas katil? Aisy Qaisara berusaha mencari kelibat suaminya tetapi suaminya itu tidak tahu hilang ke mana yang ada hanyalah satu nota kecil disertakan bersama buku bank yang ditinggalkan lelaki itu buat dirinya.

Maafkan saya sebab melukakan hati awak Aisy Qaisara. Saya berharap dengan pemergian saya, awak fikirlah apa yang terbaik untuk diri awak. Sama ada ingin meneruskan perkahwinan kita atau tidak. Tapi saya yakin suatu saat nanti kita tetap akan berpisah untuk selama-lamanya. Buku bank yang saya tinggalkan adalah milik awak. Sepanjang ketiadaan saya, saya izinkan awak untuk keluar ke mana-mana saja, cuma satu yang saya minta tolong jaga diri awak baik-baik dan tak payah cari saya. Biarlah takdir yang menemukan kita sekali lagi.

Adam Danial

Selesai saja membaca nota itu, Aisy Qaisara berlari masuk ke dalam bilik Adam Danial dan almari baju suaminya dibuka. Hanya baju yang jarang digunakan oleh Adam Danial sahaja yang ditinggalkannya. Aisy Qaisara menangis lagi sambil memegang erat nota itu. Kenapa nasibnya perlu berpenghujung seperti ni?

SELEPAS TIGA BULAN…

“Puan Aisy Qaisara ada seseorang nak jumpa puan, katanya hal penting. Nak izinkan dia masuk ke?” Soal Hana yang merupakan setiausaha Aisy Qaisara. Selepas pemergian Adam Danial, Aisy Qaisara memulakan hidup baru dengan bekerja di syarikat keluarganya.

“Panggil dia masuk.” Jawab Aisy Qaisara ramah.

“Assalamualaikum Qaisara.” Sapa seorang gadis yang bertudung. Buat seketika Aisy Qaisara cuba mengingati di mana dia pernah berjumpa dengan wanita itu sebelum ini.

“Waalaikumusalam. Sila duduk. Ada apa awak nak jumpa saya?” Soal Aisy Qaisara.

“Saya Hasanah, Doktor Hasanah. Orang yang sama awak pernah jumpa tiga bulan yang lalu dengan suami awak.” Hasanah memperkenalkan dirinya. Mendengarkan saja perkataan suami riak muka Aisy Qaisara terus berubah.

“Jadi awaklah orang yang menghancurkan hubungan saya? Ada apa nak jumpa saya?” Soal Aisy Qaisara dengan sinis.

“Saya minta maaf Kak Qaisara. Saya bukan seperti yang akak sangkakan. Saya adalah adik susuan kepada Adam Danial dan merangkap doktor peribadinya. Bukan niat saya untuk menipu akak, tapi itu atas permintaan Abang Adam sendiri supaya jangan benarkan saya cerita hal yang sebenar.” Aisy Qaisara ternyata terkejut mendengar penjelasan daripada Hasanah. Kalau gadis di depannya adalah adik susuan Adam Danial, kenapa perangai Adam Danial berubah seratus peratus? Aisy Qaisara tertanya-tanya sendiri di dalam hatinya.

“Apa motif Adam Danial buat saya macam tu? Kenapa dia sanggup tinggalkan saya?” Soal Aisy Qaisara. Hatinya menjadi sebak setiap kali nama lelaki itu meniti di bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience