BAB 2

Romance Completed 10359

Tidur satu bilik dengan kau? Memang tak lah. Desis hati Aisy Qaisara “Baiklah, aku ambil pilihan nombor dua. Kita tidur berasingan dengan syarat aku akan minta izin kau untuk lakukan sebarang aktiviti luar.” Putus Aisy Qaisara tegas.

Rambut Aisy Qaisara yang ikal mayang dibiarkan lepas tanpa berikat. Dia hanya mengenakan gaun merah paras lutut untuk menghadiri satu majlis hari lahir kawannya. Setelah berpuas hati dengan persiapannya, Aisy Qaisara mencapai beg tangan bersama dengan kunci kereta.

“Awak nak ke mana?” Tegur Adam Danial yang baru sahaja pulang dari kerja. Melihatkan isterinya cantik bergaya timbul di benaknya perasaan cemburu.

“Keluar!” Sepatah sahaja jawapan yang keluar dari mulut Aisy Qaisara.

“Dengan pakaian macam ni awak nak keluar?” Soal Adam Danial dengan rasa yang tidak puas hati.

Aisy Qaisara melihat cara pemakaiannya. Baginya tiada apa-apa pun yang salah. Apa yang pelik sangat di mata Adam Danial sehingga nak mempersoalkan dia sedemikian rupa. “Yalah, ada apa-apa masalah ke?” Tanya Aisy Qaisara dengan sinis. Sepanjang dia berkahwin dengan Adam Danial ada saja lelaki itu menegur perbuatannya.

“A’ha. Aisy Qaisara awak tu isteri saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk menegur cara pemakaian awak serta cara awak bergaul. Cukuplah…” Belum sempat Adam Danial menghabiskan hujahnya, Aisy Qaisara terlebih dahulu memintas cakapnya.

“Tak payahlah kau nak beri tazkirah dekat aku tentang semua tu. Aku tak nak dengar! Sebelum kau kahwin dengan aku, kau tahu sendirikan kehidupan aku macam mana? Aku tak suruh pun kau galas tanggungjawab sebagai suami aku. Bukan sebelum ni aku dah ingatkan kau yang nama kau menjadi suami aku hanya dalam sijil kahwin jadi tak payahlah nak menunjuk alim nak tegur aku yang mana baik yang mana salah. Tepi sikit aku dah lambat!” Aisy Qaisara melanggar kasar badan suaminya sebelum memboloskan diri ke dalam perut kereta.

Hari ini buat pertama kalinya bunyi muzik yang dimainkan oleh DJ sangat menyerabutkan kepala Aisy Qaisara dan hatinya menjadi sangat tidak keruan. Kalau sebelum ini bunyi itu adalah penawar bagi kekusutannya tapi bukan hari ini apabila acap kali di telinganya hanya kedengaran suara Adam Danial. Suara lelaki itu yang sering kali menasihatinya membuatkan hatinya menjadi damai, tenang tanpa kekusutan.

“Sara jom lah ikut kita orang.” Lina yang merupakan kawan baik Aisy Qaisara mengajak dia menari bersama-sama.

“Tak nak! Aku tak ada mood. Aku nak balik!” Fikiran dan hati Aisy Qaisara menjadi semakin serabut. Tanpa dia sedar dia sangat merindui Adam Danial dan dia hanya inginkan lelaki itu yang menghiburkannya bukan bunyi yang bingit atau tarian yang mengkhayalkannya.

Jejak saja kakinya ke dalam rumah. Terus kelibat Adam Danial dicarinya. Kereta ada tapi orangnya hilang. Dari ruang tamu ke dapur dan sekarang ni di dalam bilik lelaki itu sendiri, batang hidung Adam Danial pun tak dijumpainya.

“Kenapa buka pintu bilik saya?” Soal Adam Danial dari arah belakang Aisy Qaisara. Aisy Qaisara yang terkejut dengan teguran daripada lelaki itu cuba menenangkan diri.

“Boleh tak lain kali kalau nak tegur orang tu biar beradab.” Marah Aisy Qaisara dengan sikap Adam Danial yang suka memeranjatkannya.

“Baiklah. Assalamualaikum Puan Aisy Qaisara, kenapa awak buka pintu bilik saya ni? Nak cari tuannya ke?” Soal Adam Danial dengan suara yang sangat lembut dan mengoda di pendengaran Aisy Qaisara.

“Errr. Waalaikumusalam.” Lidah Aisy Qaisara menjadi kelu kerana terpegun melihatkan Adam Danial yang mengenakan baju melayu bersama dengan kain pelikat. Hatinya menjadi semakin tenang dan damai melihat lelaki itu.

Adam Danial yang perasan dengan perubahan air muka Aisy Qaisara sengaja mengenakan isterinya. Dia merenung tepat anak mata Aisy Qaisara sambil dibibirnya bermain dengan senyuman nakal.

“Awak ni dah kenapa nak senyum-senyum macam tu.” Tanpa sedar kata ganti nama buat Adam Danial juga telah berubah.

“Apa? Awak panggil saya dengan panggilan ‘awak’? Saya salah dengar ke apa ni?” Tanya Adam Danial sengaja mengenakan isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience