BAB 3

Romance Completed 3159

“Ya, encik. Nasi lemak ke kuih?" soal Irdina tanpa sempat mendongak. Tangannya masih ligat membungkus nasi lemak.

Gerai kecil itu hasil ihsan jiran tetangganya yang tidak sanggup melihat dia hidup melarat. Dia tidak pernah peduli cakap-cakap orang.

Yang dia tahu, dia boleh berdikari dan masih mampu meneruskan hidupnya seperti dahulu. Dia tidak perlukan simpati, cukup untuk mereka sekadar menjadi pemerhati. Ya! Dia punyai impian menggunung. Cita-citanya seluas lautan.

"Bagi saya nasi lemak sepuluh bungkus," suara itu menjawab dengan nada mendatar. Tiada riak. Serta merta Irdina mengangkat wajahnya.

Meneliti segenap inci wajah di hadapannya kini. Masakan dia tidak kenal. Suara dan wajah itu tidak pernah dia lupakan. Kerana dia, Farhan. Lelaki hidung belang, buaya darat yang mahu menyunting dirinya. Irdina jadi hairan sendiri.

'Kekuatan apa yang lelaki ini miliki sehingga masih sanggup muncul lagi di hadapanku setelah apa yang aku katakan dulu? Tak malukah dia? Atau memang dia hati batu?' Irdina termenung sejenak. pelbagai persoalan yang berada di mindanya kini. Tambah lagi, dengan penampilan barunya.

"Kenapa Ina tengok abang macam tu? Ina pelik sebab abang pakai kopiah, pakai kain pelikat?" soalan Farhan itu benar-benar membuatkan Irdina kehilangan kata-kata. Terkedu.

‘Benar-benar sudah berubahkah dia? Atau berlagak alim di depan aku semata-mata?’ Farhan tergelak kecil. Seketika terasa ada yang aneh di ruang itu. Irdina buat tidak tahu.

Dia tidak mahu melayan. Masing-masing sudah punya hidup sendiri. Mungkin juga Farhan sudah berumahtangga, kerana itu dia berubah sebegitu rupa, gumam Irdina sendirian. Nasi lemak sepuluh bungkus itu dihulurkan kepada Farhan. Not RM 50 bertukar tangan.

“Ina simpan bakinya. Buat belanja hari-hari. Abang ikhlas,” sekali lagi bicara lelaki itu menyentap tangkai hati Irdina.

Terlalu tulus. Namun, cepat-cepat Irdina mengingatkan hati bahawa Farhan bukan calon pilihannya.

Mana mungkin dia meminta untuk kembali kepada lelaki itu setelah dia melemparkan segala macam tohmahan. Tidak pula dia selidiki asal-usul perkhabaran itu. Entah betul entahkan tidak.

Tetapi, siapa yang tidak kenal Farhan yang kerap bertukar teman wanita. Seluruh kampung sudah heboh. Sementelah, dia bekas banduan, bekas penagih. Semua orang tahu.

“Terima kasih,”Irdina membalas setelah lelaki itu hilang dari pandangan. Sedikit sebanyak, hati wanitanya mulai terusik dengan kelakuan Farhan tadi. Mudah sahaja hati ini tersentuh, dengan tiap tutur katanya yang meresahkan jiwa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience