BAB 1

Romance Completed 16153

Sampai bila harus aku mengalah demi untuk keutuhan cinta kita? Sampai bila harus aku berdiri bersama senyuman meminta cinta sedangkan kau seperti tidak mahu lagi memberi seperti dulu kali pertama kau ucap kata cinta padaku. Sampai bila harus kau sakiti aku? Sampai bila aku menyakiti diri sendiri. Sedarlah, sedarlah, jangan sakiti aku.

**

“Baru sampai Kajang ni Ibu, dah jangan risau, semua Alhamdulillah selamat, tinggal tunggu nak jumpa tilam dan bantal je ni Ibu, letih sungguh, Kakak dah request Uber tadi, jadi kejap lagi sampailah kereta. Kakak letak telefon dulu ya, nak jimat bateri. Nanti kakak update lagi okay ibu. Assalammualaikum.’’ Talian dimatikan.

Letih sengal satu badan hilang tatkala mendengar suara ibu dan aku pasti ibu lagi lebih lega mendengar khabar dari anak tunggal dia ni. Tak berabang dan kakak, sudahnya aku dijaga dan ditatang bagai minyak penuh, akulah teman ibu, puteri hatinya dan segala-galanya yang indah di hati seorang ibu.

Orang panggil aku Dina. Aku ni agak lasak berbanding dengan perempuan-perempuan lain. Almaklumlah. Anak tunggal. Jadi, kecik-kecik lagi orang tua aku dah hantar aku ke kelas taekwando. Katanya, berguna untuk aku suatu hari nanti. Tapi setakat ni, aku tak pernah lagi la karate orang.

Dari jauh, aku nampak kelibat kenderaan berwarna merah putih sedang menanti untuk dinaiki. Aku mempercepatkan langkah. Bukannya apa, cuaca panas semakin menggigit aku. Walaupun aku lasak, cuaca panas tetap menguji aku sebagai seorang perempuan. Sebaik sahaja aku menghampiri sebuah teksi, kelihatan satu kumpulan manusia sedang berasak-asak, memerhatikan sesuatu. Aku jadi musykil serta-merta. Perasaan ingin tahu bertandang, lebih-lebih lagi apabila aku mendengar satu suara meminta tolong. Aku ni pantang dengar orang minta tolong. Beg sandang yang berisi pakaian, ku tinggalkan di tepi jalan. Langkah diatur penuh berhati-hati. Dari celahan manusia, dapat kuperhatikan seorang lelaki berkaca mata sedang terduduk dengan buku yang berterabur.

“Kenapa tu pakcik?” aku bertanya kepada seorang pakcik yang berdiri di sebelahku.

“Biasala nak. Orang muda. Lain sikit cara gurau. Hari-hari diorang bergurau macam tu. Naik bosan pun ada.” Eh eh pak cik ni. Kalau dah naik muak, yang awak sibuk jadi penonton kenapa? Bergurau? Tak nampak macam bergurau pun. Buta agaknya pakcik ni.

“Kan aku dah cakap. Kalau kau tak nak bagi aku tumpang, jangan bawak kereta tu.” Suara seorang lelaki mengalih pandanganku. Hurm. Muka boleh tahan. Tapi perangai macam hantu. Tak boleh buat laki macam ni. Hatiku berderau melihat lelaki tersebut dengan selamba menyepak jauh buku-buku yang berterabur. Selamba dia je. Ingat buku tu dapat free ke nak sepak sesuka hati.

Aku menyelit di antara manusia, dengan selamba mengutip buku-buku yang disepak sebentar tadi. Dapat aku dengar suara-suara halus yang menyebut tentang perilaku aku kala itu.

‘Gila ke perempuan tu?’

‘Memang tak takut mati la minah ni.’

‘Wow!!! Kakak tu cool kot.’

Aku hanya buat-buat tak dengar. Malas aku nak layan cakap-cakap orang di belakang aku. Aku menyerahkan buku-buku tersebut kepada lelaki yang berkaca mata itu. Aku yakin itu adalah miliknya. Tangan dihulurkan, tanda aku ingin membantu dia daripada terus duduk di atas jalan yang kotor itu. Tanganku disambut. Lelaki itu bangun sambil mengibas-ngibas bajunya yang terkena kotoran.

“Wow!!! Ada bidadari datang tolong la. Cik adik yang manis. Kalau rasa nak hidup lama, baik kau blah dari sini.” Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata kasar lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience