BAB 10

Romance Completed 16153

Aku menghantar satu lagi pesanan buatnya. Aku menuju ke tempat menunggu bas untuk ke pusat membeli belah, meninggalkan Taufiq dengan kerjanya. Yes!!! Ini la peluang nak shopping sakan. Biasanya ada Taufiq, jadi segan nak ambik macam-macam sebab nanti dia yang bayar. Jadi, aku akan guna kesempatan ini sebaiknya.

Sebelum masuk ke pusat membeli belah, aku memeriksa telefonku, kalau-kalau ada mesej yang berbalas. Namun tiada. Aku ingin menghantar satu lagi pesanan buatnya. Namun, sedang aku asyik menaip, skrin telefonku gelap.

“Alamak. Habis bateri pulak. Hurm. Tak apalah. Yang penting dia dah tahu aku kat sini.” Aku mengorak langkah ke dalam untuk menjalankan misi membeli belah.

Bas berhenti betul-betul di selekoh masuk ke rumah sewaku. Setelah membayar tambang, aku berjalan menuju ke rumahku. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Wah!!! Makan masa lama jugak aku shopping. Mana tak nya. Aku keluar tadi pukul 12 lebih. Well, inilah namanya shopping. Sebaik melintasi rumah Taufiq, aku lihat keretanya ada di dalam. Pasti dia dah pulang.

“Dina…” baru sahaja aku nak masuk kawasan rumahku, namaku dipanggil. Ku toleh belakang dan lihat Taufiq sedang berdiri memeluk tubuh. Mukanya masam, tak seperti biasa.

“Abang. Buat apa kat sini? Dina ingat abang kat dalam.”

“Pukul berapa sekarang?”

“6.30.”

“Abang pesan apa pagi tadi?” keras suaranya bertanya.

“Mana satu? Hurm… Jangan balik lambat?”

“Ingat pun. Tapi Dina buat jugak kan. Macam tak ada guna je abang pesan.” Alamak. Apahal aku kena marah macam budak sekolah rendah ni. Ish. Nasib baik tak ada jiran-jiran nampak.

“Dina pergi cari barang. Lagipun, abang cakap kena biasakan tak ada abang. So Dina…”

“So kalau abang cakap macam tu, Dina boleh buat sesuka hati je la?” ayatku dipotong. Suara Taufiq makin tinggi, menggerunkanku. Tak pernah aku tengok dia sebegini. Aku hanya terdiam. Menahan sebak yang bersarang.

“Handphone Dina mana?”

“Bateri habis.”

“Alasan. Ke tak nak abang kacau?”

“Memang habis bateri la. Abang nak Dina cakap apa lagi? Abang ni dah kenapa nak marah-marah?” dalam tak sedar, suaraku juga sedikit tinggi.

Mungkin mendengar suara kami berdua yang agak kuat, ibu Taufiq keluar mendapatkan kami. Mukanya terkejut melihat kami yang dalam keadaan tegang.

“Abang. Kenapa ni? Dina? Apa jadi ni?” kelam kabut wanita itu dibuatnya.

“Boleh tak kalau Dina berhenti buat abang risau? Macam mana abang nak pergi dengan tenang kalau Dina still macam ni?” suara Taufiq mengendur. Aku nampak matanya berkaca-kaca. Ya Allah. Apa yang dah jadi pada lelaki tu? Dia menangis? Sebab aku? Aku tak faham dengan situasi ini.

“Abang…” ibunya melurut tangan Taufiq. Mungkin memberi ketenangan padanya. Taufiq berlalu meninggalkan kami. Air mata yang aku tahan, mengalir juga melihat dia pergi meninggalkan aku begitu. Air mataku semakin laju apabila ibu Taufiq mendapatkanku.

“Kenapa dengan Taufiq tu? Dia tak pernah marah Dina.” aku bertanya dalam sedu.

“Tak ada apa. Dia risaukan Dina. Tu je. Nanti okay la dia tu. Dah jangan menangis. Pergi masuk, rehat.” Aku menurut dengan hati yang berat. Aku ingin tahu apa yang berlaku pada lelaki itu. perubahannya yang drastik benar-benar menakutkanku.

Aku ingatkan, anginnya akan berubah selepas malam itu. Namun, sangkaanku meleset. Taufiq kekal dengan sikap dinginnya terhadapku. Pagi-pagi lagi aku dah dengar enjin keretanya keluar dari rumah. Memang nampaknya dia sengaja tak nak bersemuka dengan aku. Dah seminggu perangainya kekal begitu. Rakan-rakan juga hairan dengan perubahan sikapnya. Ye lah. Kami kan belangkas. Tiba-tiba je terpisah. Aku lagi la hairan dengan sikapnya. Pernah juga aku bertanya pada ibunya, namun jawapan yang aku dapat tidak meyakinkanku. Katanya, Taufiq mungkin tertekan dengan praktikal yang semakin hampir.

Hari ini, aku nekad akan bersemuka dengannya. Sebaik sahaja habis kelas, aku segera ke tempat letak kereta.

Sebaik ternampak keretanya, aku nekad akan menunggunya di situ. Aku bersandar di kereta sambil menunggu kehadirannya. 10 minit, 15 minit, 20 minit. Masih tak nampak kelibatnya. Perutku dah mula berkeroncong. Pagi tadi tak sempat nak sarapan, ni la jadinya.aku mula resah. Mana dia ni? Matahari dah mula naik. Nanti aku tunggu dekat pondok, takut tak nampak dia datang. Sudahnya, aku tunggu dia di situ juga. Panas pun, panas la. Nak buat macam mana. Setelah hampir setengah jam aku menunggu, barulah aku nampak bayang Taufiq. Rasa nak marah pun ada. Tapi aku malas nak keruhkan keadaan. Apabila dia hampir dengan kereta, terkesan riak terkejut di wajahnya dengan kewujudan aku di situ. Aku hanya tersenyum.

“Masuk.” Pendek arahannya untuk aku. Aku hanya menurut. Nanti kalau banyak cakap, kena tinggal pulak. Tapi, macam okay je mood dia ni. Siap suruh aku masuk lagi.

“Baringkan tempat duduk.”

“Hah?” keadaan yang agak bising mengurangkan deria pendengaran aku, menyebabkan aku tidak dapat mendengar ayatnya dengan jelas. Namun, dia tiba-tiba menurunkan tempat dudukku. Keadaan kami yang begitu rapat mendebarkan hatiku. Kenapa dengan dia ni? Tiba-tiba je nak suruh aku baring dalam kereta. Ingat ni hospital ke.

“Kenapa kena baring?” aku mula bertanya. Tanpa jawapan lisan, dia menghulurkan sapu tangan miliknya kepadaku.

“Hidung Dina berdarah.” Mendengar perkataan darah, kakiku mula menggigil.

“Jangan tengok. Lap je. Abang tak nak Dina pengsan kat sini. Abang nak cepat.” Seakan faham dengan tindakanku, dia cepat-cepat menegah. Aku hanya mengikut arahannya. Taufiq memandu kereta tanpa sebarang bicara. Satu situasi yang tidak pernah terjadi antara kami. Melihatkan keadaan sekeliling, aku tahu kami akan pulang ke rumah. Sebaik tiba di hadapan rumah, aku tidak terus turun. Aku hanya menanti dia berkata sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience