BAB 2

Romance Completed 7267

Dalam amarah, dia masih mampu mengawal segala perilakunya. ‘Tak mampu rasanya aku melepaskan dirinya. Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepadaku,’ bisikan demi bisikan semakin mengharu-birukan hatiku, namun mengundang kekuatan untuk terus berdiri.

Tangan Airiel mendarat perlahan di bahuku, perilaku tanpa sedarnya.

“Saya takkan lepaskan awak pergi. Saya tak percaya awak senang-senang je nak putuskan hubungan kita,” keras nadanya mengecutkan hatiku. Tajam matanya menikam tepat mataku. Tangan di bahu kucapai dan kulepaskan perlahan-lahan.

Hanya gelenggan mampu kuzahirkan saat ini. Kukira penolakkanku mengundang kekalutan dan kekusutan yang menghapuskan ketenangan yang dipamerkan selama ini. Tangannya pantas melurut rambut. Tingkah itu amat kufahami. Tingkahlaku yang terhasil dari kegalauan perasaan yang sudah tidak mampu dibendung lagi. Cubaannya dalam mengawal amarah hasutan syaitan.

Ketegangan antara kami mengundang rasa tidak selesa di hatiku. Aku ingin segera keluar dari keadaan ini.

“Dah tak ada apa lagi kita nak cakapkan kat sini kan. Saya nak balik!” Ujarku tegas, ingin cepat-cepat pergi.

“Takkanlah selama ini hanya saya yang bertepuk sebelah tangan? Takkanlah selama ini hanya saya yang merasakan wujudnya ikatan perasaan antara kita? Takkanlah selama ini semuanya palsu semata-mata? Hah… jawablah kenapa awak diam aje?”

Soalan bertubi-tubi daripada Airiel membuatkan aku kembali kaku di situ. Tiada daya untuk menjawab semua persoalannya.

‘Bukannya awak bertepuk sebelah tangan Airiel, saya sayangkan awak. Saya sayangkan awak lebih dari saya sayangkan diri saya sendiri. Itulah sebabnya saya nak kita tamatkan perhubungan ini. Saya tak nak awak terluka nanti,’ hatiku membisikkan jawapannya.

Pandanganku masih menjurus kearah raut wajahnya, beradu pandangan yang akhirnya semakin mengundang getar di hatiku.

“Awak tenung mata saya ni dalam-dalam, takkan awak tak nampak sinar kasih dan cinta saya hanyalah untuk awak sorang saja,” desak Airiel lagi bila tiada sebarang tindak balas daripadaku.

Saat itu aku merasakan sabar Airiel sudah sampai ke kemucaknya. Ibaratnya jika aku lelaki, sudah lama melayan penumbuk sulungnya. Bercekak pinggang, melurut rambut dengan kasar, hanya itulah yang mampu dilakukan Airiel dalam keadaan yang tidak menunjukkan sebarang jalan pendamaian antara kami apabila aku masih tetap dengan keputusanku.

Getirnya di wajah itu menggamit lagi rasa bersalahku. Ingin sahaja aku peluk tubuh itu bagi menghilangkan keresahannya. Namun tidak wajar untuk aku melakukannya.

Sesak nafasku ditambah dengan rasa pening yang semakin mencengkam menjadikanku gusar seketika.

‘Aku tidak boleh tunjukkan aku lemah itu di hadapan Airiel. Aku harus lakukan sesuatu.’

Sedikit sebanyak kekuatan yang hadir secara tiba-tiba memberiku semangat untuk meluahkan kata-kata yang sudah pasti semakin menghancurkan lagi hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience