Rate

9

Humor Completed 11733

“Mama, Ayish ada benda nak cakap dekat mama”.

Mama pandang wajah Farish. Dia berhenti menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Pagi-pagi, dalam kesempatan bersarapan seperti ini, apa pula yang ingin dibicarakan Farish, anaknya?

“Ada apa, Yish?

Farish tarik nafas panjang. Ini memang keputusan hidupnya. Farish yakin keputusan ini adalah yang terbaik dari sebelum-sebelumnya. Hikmah solat istikharahnya seperti sudah tergambar. Dari semalam, fikirannya seperti sudah memusat. Dia mengosongkan minda dan bersolat istikharah sekali lagi malam tadi dan Allah sepertinya sudah memberikan petanda bahawa itulah keputusan yang sebaik-baiknya dia putuskan bila dia bangun pagi tadi.

“Ma, soal calon yang mama minta tu kan..”

“Ayish dah jumpa??” Mama memotong dengan rasa terujanya beraja-raja.

Farish menggeleng. Dia senyum memandang mama.

“Tak, ma. Belum. Sebenarnya macam ni ma. Soal jodoh Ayish, Ayish dah putuskan, Ayish terima pilihan mama”.

Farish tekad kali ini. Tiada timbal balik dalam keputusannya saat ini. Menyesal? Kamus hidupnya seperti sudah mati dengan istilah penyesalan. Sewajarnya dia menyesal kerana memilih Wanie dahulu. Itulah penyesalan terakhirnya. Sesal memilih sendiri dan akhirnya merana hati.

Mama seperti terkejut. Dia terkedu. Terdiam.

“Ma, mama pilih saja sesiapa pun, Ayish terima dengan redha kali ni. Ayish yakin mama tak akan kecewakan Ayish dengan pilihan mama”.

Mama merenung Farish lama. Bagai tidak percaya dia itu anaknya Farish. Anak itu berwajah manis bila memberitahunya soal ini. Sepertinya anak itu sudah membuat keputusan muktamad soal ini. Yakinkah dia dengan pilihannya kelak?
Bagaimana kalau nanti ditakdirkan jodoh yang dia pilih untuk anaknya itu tidak panjang? Tidak marahkah Farish? Mama bukan apa, dulu yang dipaksa-paksanya Farish mencari calon isteri itu, semuanya kerana dia sedang marah. Marah dengan kesibukan melampau anaknya sehingga akhirnya cinta yang satu itu tidak terjaga. Tetapi, marah ibu sampai bila lamanya? Hati mama akhirnya redup setelah dua tiga hari masa berlalu. Malah, soal dia memaksa Farish mencari bakal isterinya dalam masa dua minggu itu juga sudah dia lupakan. Tiba-tiba, bila Farish bangkitkan begini, mama betul-betul serba-salah. Takut dia tersalah memilih dan akhirnya anak itu marah-marah di kemudian hari.

“Ayish, macam mana kalau jodoh yang mama pilih nanti tak bertahan lama macam yang sebelum ni? Mama risau Ayish marah mama nanti”. Wajah mama serba-salah.

Farish senyum. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali.

“Ma, I’m okay with that. The one yang pegang kuasa menentukan segala-galanya ialah Dia. Dia yang di atas sana. Mama cari saja bakal isteri Ayish, Ayish terima, ma. Kalau hubungan kami tak berlangsung macam yang kita nak, Ayish redha. Ayish redha dengan semuanya. Mama jangan risau”. Farish senyum lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience