Series
4918
Kemeja yang baru digosok digantungkan pada tombol almari bersama seluar yang sudah dia pilih tadi. Lama Khairil merenung pakaian yang dia pilih untuk esok, menimbang-nimbang jika apa yang dia bakal lakukan ini betul ataupun tidak.
Lelaki itu tidak pasti satu hal: apakah dia boleh mencintai gadis yang bakal dia jumpa? Ketidakpastian itu yang buat Khairil agak ragu untuk bertemu dengan gadis itu. Dia tidak mahu memberi harapan palsu.
“Ya Allah, permudahkanlah urusan aku esok.” bisiknya sendiri. Tingkap-tingkap yang berfungsi sebagai dinding apartment menghadap sungai membenarkan penghuni apartment itu melihat kecantikan lampu-lampu di jambatan.
Cahaya bulan juga sedikit-sebanyak menerangi ruang apartment yang agak gelap. Khairil tetap dengan sikapnya ketika di Jepun, tidak membuka banyak lampu. Cukup lampu meja sisi katilnya dan lampu di dapur.
Lebih jimat, baginya.
Mindanya berlegar kepada projek yang masih dia uruskan bersama sekumpulan rakan sekerjanya yang lain. Khairil belakangan ini kerap meminta untuk bekerja dari rumah dan berulang-alik ke kilang, hanya hadir di pejabat jika ada mesyuarat ataupun ada keperluan dia untuk ke sana.
Jadi kebanyakan masanya dihabiskan di ruang kerja dalam apartmentnya sendiri, kadang menjawab panggilan video dari pembekal untuk projek mereka, kadang memeriksa dokumen yang dihantar.
Berbeza dengan cara kerjanya di syarikat sebelumnya yang meminta dia untuk turun ke kilang dan pejabat lebih kerap–walaupun gaji yang ditawarkan berbaloi dengan jadualnya yang padat.
Anak lelaki Melayu tulen, tetapi berwajah seakan Cina. Itulah Khairil, yang berjaya menyandang jawatan agak tinggi hasil dari pengalamannya bekerja selama lima tahun.
“Apalah sangat jawatan tinggi kalau hati tak bahagia?” bisik Khairil sendiri sebelum mengeluh.
Dia bangun menuju ke tingkap yang menyambungkan lantai dan syiling, menampakkan permandangan malam dari tingkat dua belas bangunan apartmentnya.
Jemari menelusuri jambatan yang tidak kalah besarnya, seakan melukis semula senibina itu. Kenderaan-kenderaan yang bergerak dari sisi sungai ke sisi sungai yang lain kelihatan sekecil semut.
Ayat ibunya berlegar dalam ruang fikiran, tidak mahu berhenti.
“Ibu rasa kamu harus kahwin. Mereka akan tetap babitkan kamu dalam pergaduhan kalau kamu terus bujang seperti ini. Ariff akan tetap rasa terancam.”
Sebolehnya dia mahu menjerit dan menangis di situ. Menjerit yang Ariff tidak patut rasa terancam. Tak perlu pun.
“Sebab Ariff yang dia pilih.” bisik Khairil perlahan.
Masih dia ingat wajah pasangan itu lima tahun lepas, berjalan-jalan sambil ketawa di sebuah pusat beli-belah. Masih dia ingat pandangan maaf yang dilemparkan ke arahnya lima tahun lepas. Punca dia melarikan diri ke Jepun dan tak pulang-pulang selama lima tahun.
Satu peristiwa yang hanya mereka bertiga yang tahu.
Pagi datang tanpa sedar, mimpi masih membuai lelaki itu. Azan Subuh dari telefon pintar dan deringan jam loceng bergabung menjadi satu bunyi yang mengganggu lena.
Dia menggeliat malas namun mata dibuka paksa. Hanya sempat melelapkan mata tiga jam memberi impak besar pada perasaannya di pagi hari.
“Rasa macam malas nak bangun...” gumamnya perlahan. Kelopak mata masih berat berjaya dibuka separuh. Pemandangan di awal pagi melalui tingkap berjaya sedikit sebanyak menceriakan hati.
Matahari mengintai di balik banjaran dan bangunan-bangunan, memberi ketenangan kepada jiwa insan yang runsing dengan kehidupan dunia.
Khairil menghela nafas panjang, hanya fokus pada suasana yang sepi dan tenang. Seolah-oleh hidupnya tidak tunggang terbalik semalam.
Kontra dengan umum masyarakat, Khairil bukan jenis yang memeriksa telefon sebaik sahaja terkejut dari tidur. Malah, dia mungkin akan memeriksa sewaktu dia menaiki lif kebiasaannya, jika tidak di kilang atau pejabat.
Telefonnya sering berada dalam mod senyap, hanya bergetar di dalam saku seluar tatkala ada panggilan masuk. Lelaki itu belajar: Semakin kurang kebergantungan engkau pada teknologi, semakin tenang engkau melangkaui hidup sehari-hari.
Kerana melihat entri-entri Intan dalam media sosial bukanlah perkara yang membahagiakan Khairil buat masa ini. Dia lebih senang begini, lebih bahagia.
Dia bangun mendapatkan tuala, memulakan rutin pagi yang sudah dia adaptasi lama dulu.
————————
This one is short… tapi I’m publishing whatever I had drafted first and picking this up later. Ini work I dari zaman belajar, so…
Share this novel