Bab 6

Romance Series 4771

Ibu sampai tak lama kemudian, selang setengah jam Ariff juga sampai.

Kepala Khairil sakit dek kerana suasana di dalam apartmentnya. Pangkal hidung dia picit kasar, cuba sedaya upaya meredakan sakit yang tiba. Kepala terasa makin berdenyut mendengar perdebatan yang menjadikan dia topik utama.

“Saya dengan Khai kawan dari kecil, tak ada maknanya buat bukan-bukan. Awak tak percaya saya ke? Tak percaya Khai?” Intan seloroh, menyebabkan yang disebut kekal diam.

Puan Zurina yang tadinya ingin mencelah hanya menggosok belakang tubuh anaknya. Entah apa nasib anak lelakinya itu sehingga terpaksa menjadi orang tengah di antara pasangan ini?

“Awak perempuan, Khai lelaki! Kalian pernah bercinta! Awak nak suruh saya fikir apa?!” teriak Ariff.

Khairil mengeluh, ini yang dia risaukan sejak dari saat mata dia jatuh pada susuk gadis itu di dalam apartmentnya. Sebuah apartment yang mempunyai satu bilik–itupun dia tukarkan kepada ruang kerja–ruang legar yang dia jadikan bilik tidur, sebuah bilik mandi dan dapur.

“Kami dah move on! Saya dah jadi isteri awak!” mendengar ayat itu meluncur laju dari bibir gadis yang dia cinta menyebabkan Khairil terasa dunianya terbalik.

“Macam mana aku nak move on kalau kalian masih mengelilingi hidup aku tanpa henti?” fikir Khairil lalu mengeluh, tubuhnya dihenyakkan ke tilam katil. Ibunya hanya berdiam, tahu anaknya sedang pening dengan situasi sekarang.

Intan dan Ariff masih lagi berbalas kata di meja kopi bersebelahan dengan katil–kadang berteriak, kadang bernada mono.

“Kenapa kalian berkahwin kalau tak percaya satu sama lain?” soal Khairil, terlepas. Kepala berdenyut tak membantu dia untuk bersabar. Pasangan baru itu diam tatkala mendengar soalan yang dilontarkan.

Khairil bangun, merenung keduanya saksama. “Kenapa kahwin kalau tak tahu cara nak hadapi masalah perkahwinan, nak jaga hati satu sama lain?” tambahnya lagi.

Dia mengalihkan pandangan kepada Intan. “Kenapa kahwin kalau batas dengan bukan mahram masih lagi tak tahu?”

“Betul, Intan. Kita kawan dari kecil, tapi kita tetap bukan mahram. Salah untuk awak terjah masuk apartment saya sewaktu tiada orang yang temani kita.” Khairil menarik nafas dalam.

“Dan kau, Ariff. Kau, dalam banyak-banyak orang, tahu aku tak akan rampas hak orang.” Khairil menjatuhkan pandangan ke lantai yang membalikkan imej bayangnya samar-samar.

Air mata yang hampir jatuh dia kawal. “Ini menyakitkan...” keluh Khairil di dalam hatinya yang pedih sejak dia menapak ke tanah air ini.

“Kalian kawan aku, kalau ada masalah aku sentiasa ada untuk dengar dan beri nasihat.” dia menjeda sejenak, memikirkan ayat yang terbaik. Khairil sesungguhnya tidak mahu melukai.

Dia tahu peritnya terluka.

“Tapi, kalian janganlah buat aku seperti punca pertengkaran. Aku sungguh tak mahu terbabit.” Dia memandang kembali ke arah mereka setelah riak wajahnya dia kawal.

“Apa kata kalian habiskan cuti kalian seminggu ni dengan berkomunikasi antara satu sama lain?” cadang Khairil, merenung dua individu itu lama. Kedua-duanya diam, mungkin memikirkan logika di sebalik nasihat rakan mereka.

Khairil kemudian bangun, lutut terasa ketar dan kaki terasa lemah, mungkin kerana dia tidak makan apa-apa sejak pagi tadi. Namun dia gagahi dan berjalan ke ruang dapur diekori Puan Zurina.

Dia mencari beberapa gelas dan sebotol jus oren. Puan Zurina hanya memerhati dari kaunter–yang telah diinovasi sebagai meja makan untuk menjimatkan ruang–gerak-geri anak tunggalnya.

“Memang selalu macam ni ke?” Khairil mengukir senyuman pahit lalu menggelengkan kepala perlahan. “Ibu ada calon untuk kamu, tapi kamu yang kena buat pilihan sendiri.”

Khairil diam hanya mengukir senyuman nipis. Bukan dia tidak mahu, cuma dia tak fikir jika dia dapat melupakan Intan secepat ini–dia tak mahu ada yang terluka.

Ariff dan Intan berjalan perlahan ke ruang dapur. “Aunty, saya dengan Ariff nak minta maaf sebab babitkan Aunty dan Khai dalam pergaduhan kami.”

Puan Zurina hanya membalas dengan senyuman. “Biasalah, asam garam perkahwinan. Ada pasang, ada surut. Lain kali berbincang dulu, kalian sudah besar bukan?”

Pasangan itu kemudian tersengih seperti kerang busuk. “Ini kenapa sengih-sengih macam ni?” soal wanita itu pelik. “Kami fikir nak jemput Aunty Zurina dengan Khai makan malam di rumah.”

Khairil hanya menggeleng kepala lemah mendengar jawapan Intan sementara ibunya ketawa. Intan tak pernah berubah.

“Sorry, I'm busy tonight.” Khairil menolak tenang. Satu lagi penipuan yang dengan selamba dia utarakan.

“Aunty pun. Kawan uncle datang malam ni.” Puan Zurina menolak perlahan.

Intan dan Ariff hanya mengangguk. “Then, kami minta diri dulu la ya?” Ariff mempamitkan diri.

Setelah mereka keluar dari apartment itu, ibu hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum.

“Entah macam manalah Intan tu boleh kahwin. Masih macam budak-budak.” Khairil hanya menghulurkan gelas berisi jus oren kepada ibunya. “Sudah jodoh dia.”

“Weekend ni balik. Ibu kenalkan dengan keluarga calon ibu.” Puan Zurina memberi arahan. “As much as I don't want to force you, we both know you need to have someone so this won't happen again.”

Khairil hanya mengangguk perlahan, akur. Tahu benar nada ibunya itu memberi makna dia tidak boleh menolak lagi.

Tetapi seorang lelaki bernama Khairil tidak pasti sama ada dia layak atau tidak menjadi suami kepada seorang wanita jika hatinya masih terluka tatkala melihat Intan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience