Bab 3

Romance Series 4771

Jam loceng digital di meja sisi katil mula berdering, mengganggu tidur lelaki itu. Dia berpaling tubuh ke arah dinding, berharap deringan itu berhenti. Entah mengapa dia menetapkan masa setengah jam sebelum subuh.

“Ibu tidak matikan pula jam ini.” fikirnya sejenak, memandangkan jarang-jarang dia pulang tidur di rumah orang tuanya.

Jam itu masih degil dan terus berdering. Dengan malas, tangannya menekan butang pada permukaan atas jam loceng, menghentikan bunyi bising yang kedengaran pada pukul 5:45 pagi.

Dia meniarap, menanamkan muka pada bantal. Dia mengeluh berat, di awal pagi dia sudah hilang mood.

“Bagus kau mengeluh awal-awal pagi ni.” perlinya kepada diri sendiri. Menurut pandangan ahli psikologi, mengeluh pagi-pagi boleh membuatkan hari seseorang itu terasa buruk kerana individu itu tidak bermotivasi untuk berasa baik.

Dia dalam diam menyusun tugasan yang perlu dia siapkan sebaik sahaja dia sampai ke apartment miliknya nanti. Kerja yang bertimbun itu merunsingkan fikirannya sejak semalam, ditambah lagi dengan kejadian dia menjadi pengapit terjun di acara perkahwinan bekas kekasihnya sendiri.

Dan Khairil, langsung tidak berniat untuk hadir ke majlis homecoming petang ini. Sebaliknya dia bercadang hendak bersekongkong dengan komputer ribanya dan menyiapkan kerja.

Azan Subuh kedengaran dari telefon bimbit, menandakan sudah masuk waktu Subuh. Khairil memalingkan wajah ke sisi, membuka kelopak mata yang berat perlahan.

Dia bernasib baik matanya kali ini tidak bengkak. Mahu ibunya menyoal nanti tatkala melihat mata anak tunggal itu bengkak dan merah?

Entah mengapa air mata Khairil seakan sudah kering semalam, tidak ada lagi air mata untuk dititiskan. Dia hanya pulang, solat Isyak dan tidur semalam.

Dia bangun dari katil, kaki menyarung selipar lembut berwarna putih, dan mencapai tuala mandi. Sejurus membersihkan diri dan solat, dia berjalan turun ke dapur.

Beberapa meter dari dapur, dia disambut dengan bau nasi goreng tomyam kegemarannya. “Hm... Sedapnya bau.” ujar Khairil seraya melangkah masuk ke dapur.

“Awal kamu bangun?” soal Puan Zurina aneh. Biasanya Khairil takkan keluar dari biliknya sehingga dipanggil dari dulu lagi. “Khai selalu bangun awal, tapi lepas Subuh siapkan kerja. Ni, Khai tertinggal laptop kat apartment, tu yang turun.”

Anak lelaki itu melangkah mendapatkan teko dan uncang teh. “Ibu masih suka teh hijau kan?” Khairil menyoal, menyediakan teh hijau hangat. “Bukan Khairil tak minum teh hijau ke?”

Terserlah betapa jarangnya dia pulang ke rumah sejak dia melangkah ke alam pekerjaan. Sehingga banyak perubahan yang masing-masing tak tahu. “Khai mula minum sebab rindu ibu masa dekat Jepun dulu. Lama-lama, dah kalih dengan rasa dia.” terang Khairil, menyerahkan secawan teh hijau kepada ibunya.

Wanita itu diam sejenak, memerhati anak tunggalnya lama. “Kamu dah banyak berubah.”

“Hm.” Khairil hanya tersenyum nipis dan mengangguk perlahan. Cangkir cawan dia terap dengan jemari berulang, mata merenung teh hijau yang mengisi cawan putih itu.

“Kenapa Khai tinggalkan kami semua dulu? Kamu tak pernah cerita pada ibu kenapa kamu isi borang untuk bertugas di syarikat luar.” Khairil diam, gerak-geri terhenti.

“Ibu cuba untuk beri kamu ruang, ibu tunggu kamu untuk bercerita sendiri. Tapi enam tahun, dan kamu masih begini. Khai bukan macam Khai yang dahulu.”

Lambat-lambat dia mengangkat wajah, memandang ibunya yang sudah banyak berkorban untuknya. Senyuman nipis diukir di bibir. “Kenapa tinggalkan Intan sedangkan kamu masih sayang dia sampai hari ni?”

Soalan yang dia sangka tidak bakal datang, akhirnya muncul. Dari mana dia perlu cerita? Mampukah dia bercerita? Berhak kah dia? Setelah keputusan yang dia ambil dulu?

Jadi Khairil memilih untuk sekali lagi menipu. “Mana ada.”

“Ibu nampak kamu semalam, Khai. Walaupun kamu cuba senyum sehabis mungkin, cuba untuk berlagak macam kamu okay, ibu tahu kamu tak okay.” ujar Puan Zurina sebelum sekali lagi menyoal. “Kenapa?”

Khairil hanya tersengih pahit. “Sebab keadaan memerlukan Khai buat begitu, ibu.” Khairil memberitahu, merenung dalam pada mata ibunya.

“Sebab keadaan perlukan Khai untuk buat keputusan yang Khai cuba elak.” suara lelaki itu pecah buat seketika. Memori yang cuba dia buang jauh kembali ke layar fikiran, segera dia usir sebelum dia bergelut dengan masa lalu.

“Keadaan yang macam mana?” Puan Zurina menyoal lagi. Khairil tahu wanita itu runsing, namun lelaki itu masih tidak mampu membuang rasa yang dia cuba buang selama enam tahun.

Apabila suasana sunyi yang membalas persoalan tadi, Puan Zurina akhirnya mengalah dengan keluhan kecil sebelum bahu anak teruna itu dia tepuk perlahan.

“Tak apalah, apa-apa pun ibu sokong kamu.” Khairil mengukir senyum ikhlas. “Kamu dah ada calon belum?” soal ibunya mengusik, cuba mengubah suasana kelam tadi. Dan Khairil faham benar tentang itu.

“Hm... Nampaknya, lambat lagilah Khai kahwin. Khai sibuk dengan projek baru tu kebelakangan ni, tak sempat nak cari.” jawab Khairil tersengih.

Ibunya mengukir senyum, lalu mengangguk. “Nanti ibu carikan ya?” Khairil hanya mengangguk perlahan. “Boleh. Tapi nak yang macam ibu.” guraunya sebelum tawa mereka meledak.

Khairil tahu dia hidup dalam sebuah penafian. Realiti yang datang dengan tamparan kasar selang hari tidak mampu menolak Khairil menghadapinya. Sebaliknya, lelaki itu kembali semula ke dalam kepompong dan berlagak seperti semuanya baik-baik sahaja.

Mungkin apa yang Khairil benar-benar perlukan adalah penerimaan. Namun yang harus ia terima itu terlalu pahit untuk ditelan, meninggalkan lelaki itu dalam kesengsaraan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience