Bab 2

Romance Series 4771

Enjin kereta dimatikan, suasana di tempat letak kereta agak lengang tetapi petak-petak tempat parkir sudah hampir penuh. Tidak seperti majlis perkahwinan rakan-rakan lain yang mengadakan majlis perkahwinan di rumah, Intan mengadakan majlisnya di dewan yang cukup besar.

Dengan alasan, majlis sebelah perempuan dan sebelah lelaki disatukan kepada satu majlis. Maka, tetamu yang hadir diganda dua. Khairil membetulkan pakaiannya, kelihatan ibunya berdiri di pintu menghubungkan dewan dan tempat letak kereta.

Wanita separuh abad itu berpakaian gaun panjang berwarna krim dipasangkan dengan tudung berwarna kelabu cerah. Sesuai dengan tema yang ditetapkan oleh keluarga Intan.

Dia berjalan mendekati, membiarkan telefon bimbit yang bergetar di dalam saku. Tahu benar siapa yang menelefon.

Pandangan ibunya jatuh kepadanya lalu wanita itu menurunkan telefon bimbit dari telinga.

“Kenapa lambat? Majlis sudah mahu mula tahu?” soal Puan Zurina sambil mengerutkan dahinya.

Anak terunanya yang seorang ini jarang-jarang sekali tidak tepat waktu, membuatkan dia tadi berfikir macam-macam. Khairil hanya tersengih tanpa jawapan.

“Bangun lambatlah tu. Dah, pergi jumpa Intan sana. Dia cari kamu dari tadi.” wanita itu menyuruh seraya menepuk belakang Khairil perlahan sebelum berlalu mendekati ibu Intan, Puan Rodziah.

Entah mengapa, soalan mengapa dia dan Intan memutuskan hubungan enam tahun yang lalu tidak pernah muncul di bibir wanita itu. Ianya seakan suatu persetujuan tidak terungkap antara dia dan Puan Zurina. Wanita separuh abad itu kenal sungguh perangai anak tunggalnya itu.

Dia masih ingat hari di mana dia kembali dari ‘weekend date’nya dengan Intan dalam keadaan basah ditimpa hujan. Wanita itu risau sungguh dan mula menyoal namun akhirnya berhenti apabila remaja lelaki itu tidak menjawab. Dan persoalan itu tidak lagi diutarakan.

Berbulan-bulan lamanya dia memakan masa untuk memulihkan diri. Sebaik sahaja cuti semester habis, dia menanamkan diri dalam timbunan buku-buku dan tugasan. Telefon kadang dibiarkan tidak bercas, dia lebih memilih alat pemain muzik dan earphones yang tak lekang dari telinga.

Majlis graduasi merupakan hanya satu-satunya majlis sosial yang dia ikuti sebelum dia diam-diam memohon kerja di luar negara. Tiada siapa yang tahu, sehinggalah sehari sebelum penerbangan. Dia tahu ibunya keliru, tetapi dia sendiri tidak sanggup bercerita.

Namun, cerita atau tidak, dia di sini. Dia berdiri tegak menghadap sebuah realiti yang memedihkan.

Khairil memaksa kakinya itu melangkah mendekati gadis yang berpakaian baju pengantin putih itu. Gadis itu sibuk berbual dengan seorang gadis bergaun kelabu cerah melebihi paras lutut dipasangkan dengan seluar legging berwarna hitam dan tudung berwarna krim. Senyuman nipis menghiasi bibir Khairil apabila melihat Intan yang kelihatan sangat cantik.

“Khai, sampai pun awak. Kenapa lambat?” Intan yang baru sedar kehadiran rakan merangkap bekas kekasihnya mula menyoal.

Seperti beberapa bulan yang lalu, Khairil sekali lagi menipu. “Tak jumpa cari jalan tadi, sesat.”

Gadis yang seorang lagi memandang pelik, namun tidak diendahkan oleh Khairil. Wajah sedaya upaya dineutralkan. Dia cuba menjadi rakan karib yang baik dan tidak merosakkan majlis ini.

“Itulah, tinggal di tanah orang bertahun. Jalan negara sendiri pun sudah lupa.” Intan mengusik. Khairil hanya mengukir sengih.

“Oh, ini Liana. Dia satu kelab tenis dengan awak, bukan?” Khairil mengalihkan semula pandangan kepada gadis tadi.

Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. “Hm, hai.” dengan kaku dia menyapa.

Gadis itu hanya tersenyum nipis tanpa banyak bicara, yang mana Khairil tanpa sedar menghargai tindakannya. Bekerja dengan mesin selama lima tahun sebagai pemegang jawatan jurutera produksi, kebolehan Khairil bersosial semakin merudum.

“Mungkin ada benarnya ibu meminta aku kembali bekerja di Malaysia.” fikirnya seketika.

“Khai dah jumpa Ariff?” Intan menyoal.

Ariff merupakan rakan sekampus Khairil ketika masih menuntut ilmu di salah satu universiti tempatan. Siapa sangka, rakan yang dulu kau luahkan segala masalah kau dengan bekas pasangan akhirnya menjadi suami kepada bekas pasangan itu sendiri?

Memikirkannya, Khairil hanya mengukir senyum pahit. “Belum, nantilah. Takut dia sibuk.” dia memberi alasan, pandangannya dilemparkan ke sekeliling; mencari mana-mana susuk tubuh yang dia kenal.

Tidak sukar sebenarnya kerana rata-rata kenalan Intan sekeluarga merupakan kenalan keluarganya juga. Mana mungkin tidak, mereka berkawan sejak tadika lagi?

“Kami ada masalah sebenarnya. Pengapit Ariff masuk wad kelmarin, keracunan makanan.” Intan memulakan bicara.

Khairil dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia mendapat firasat bahawa dia perlu meminta diri secepat mungkin dari gadis itu, supaya suasana–atau lebih tepat hatinya–tidak hancur.

Tapi entah mengapa lelaki itu tidak boleh melangkah pergi, seakan kakinya terpaku di situ hanya mendengar permintaan gadis yang pernah dia sayangi ini. Atau masih dia sayangi?

“Saya hantar baju awak ni semalam sebab saya nak awak tolong gantikan pengapit tu, boleh? Kebetulan pula saiz pengapit tu sama dengan saiz awak. Boleh ya, Khai?”

Betapa Tuhan mahu menguji keredhaan lelaki bernama Khairil ini akan perkahwinan bekas kekasihnya, tidak cukup dengan menghadiri majlis, dia ditakdirkan untuk menggantikan tempat pengapit.

Dia hanya tersengih kekok. Mampukah dia untuk kekal berlagak selamba seperti sekarang jika dia mendapat tempat duduk paling hadapan semasa akad nikah yang bakal memotong segala kemungkinan dia bersama dengan cinta pertamanya?

Khairil rasa dia tidak sekuat itu. Namun belum sempat dia menolak, wajah gadis itu kelihatan gembira dengan kemungkinan dia menemani Ariff semasa akad nikah. Masakan tidak? Kawan baik sendiri!

“Boleh ya, Khai?” Khairil seakan mahu menjerit namun ditahan.

Bibir mengukir senyum pahit sebelum mengangguk. Dia mengangkat tangan untuk mengelus rambut Intan, tingkahnya terhenti, mengingatkan diri sendiri yang dia tak layak.

Intan kelihatan amat gembira mendengar jawapan Khairil, lelaki itu tidak sanggup menolak. Walau dengan siapapun gadis ini berkahwin, bagi Khairil, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan senyuman manis itu kekal terukir. Walau dia perlu memalsukan kebahagiaan sendiri di sebalik penderitaan.

Mereka semua duduk di atas pentas, dia bersama dengan Ariff dan beberapa lagi orang lelaki, tok kadi dan ayah Intan.
Di tangannya ada satu bekas berwarna merah, tersimpan dua bentuk cincin di dalamnya.

Beberapa kali dia menggosok permukaan bekas itu, cuba menenggelamkan persekitaran. Namun akad yang dilafaz Ariff tidak mampu dia tulikan.

“Sah?” “Sah.”

Bekas cincin jatuh dari pegangan tergeletak di atas lantai pentas persis seperti hati Khairil yang jatuh berkecai. Mikrofon yang dipasang untuk acara akad nikah juga tidak membantu kerana memperkuatkan lagi bunyi bekas itu jatuh.

Khairil dapat merasakan mata-mata tetamu yang hadir termasuk keluarga dan pengantin sendiri ke atasnya. Khairil hanya mengukir senyuman kekok sebelum mengambil semula bekas tersebut dan bangun dari duduk.

Ariff hanya mengikut dan menghampiri Intan. Cincin berjaya disarungkan tanpa sebarang masalah.

Khairil cuba tampak biasa, namun dia sendiri tahu dia jauh daripada definisi okay. Hatinya hancur, wanita yang dia cinta kini milik orang.

Mungkin ini balasannya. Mungkin ini takdir dia. Mungkin ini penghujung kisah mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience