Bab 1

Romance Series 4771

Penggera di telefon pintar yang terbaring di atas meja di sisi katil memecah suasana pagi. Seorang jejaka berusia lewat 20-an menggeliat malas, wajah masih terbenam pada bantal empuk. Dia mengerang malas, memutarkan tubuh ke posisi terbaring. Dengan malas, dia membuka kelopak mata.

Tanpa sedar, keluhan berat terbit di bibir. Otak mengingatkan diri sendiri tarikh hari ini. Tarikh yang dia sendiri pinta untuk tidak akan hadir selamanya.

Pedih.

Itu yang Khairil Ahmad rasa tatkala dia mengapai telefon pintarnya dan mematikan penggera yang masih tak putus berdering. Dia bangun dengan malas, segala pergerakan dibuat lengah. Hari di luar masih gelap.

Apartment miliknya masih lagi agak gelap, kelihatan mentari pagi muncul di balik bangunan-bangunan mencakar langit biru gelap; memberi sedikit tona jingga pada hamparan langit.

Bunyi notifikasi Skype daripada telefon pintarnya memecah suasana sekali lagi. Dia mengeluh lagi sebelum membuka pesanan ringkas yang diterima. Dia dapat meneka isi pesanan tersebut.

‘Awak datang kan hari ini? I need my best friend, Khai.’

Tekaannya tidak meleset sama sekali, menimbulkan senyuman pahit di bibir. Cukup pahit sehingga dia bagai boleh merasa kepahitan itu pada lidahnya.

Dengan cepat, dia menyentuh skrin beberapa kali untuk membalas pesanan tersebut sebelum telefon itu dibaling ke penjuru katil bersaiz king miliknya. Dia bangun berdiri daripada katil.

Lantai seramik yang sejuk beku menyentuh telapak kakinya, menghantar rasa geli pada tulang belakang. Tangan mencapai tuala mandi, dengan malas dia melangkah ke bilik mandi untuk membersihkan diri.

Hari ini akan panjang untuknya.

Sesudah membersihkan diri dan solat, dia kembali ke ruang biliknya dan mencapai pakaian yang dihantar oleh Intan pada hari sebelumnya. Kenangan yang terasa jauh dari ingatan menyerang layar fikirannya yang sedari kusut untuk beberapa bulan.

Semenjak dia tahu akan berita itu.

Bagi Khairil, harinya sudah terhenti tatkala dia menjejakkan kaki kembali ke negara asalnya. Lima tahun merantau di negara orang, membanting tulang mengeluarkan keringat di tanah orang; dia sendiri tidak menyangka dia akan kembali berbakti kepada negara sendiri.

Tipulah jika dia menyatakan dia tidak menyesal melepaskan jawatan yang dia sandang di syarikat tempat dia bekerja sebelumnya kerana jawatan di sini tidak sebesar gajinya di sana. Tapi apakan daya, apabila kedua orang tuamu memanggilmu kembali apa yang kau boleh lakukan adalah menuruti.

Sejujurnya, Khairil sudah membeli sebuah rumah di sana. Namun, terpaksa dia jual semula kerana dipinta untuk tinggal bersama ibu-bapanya.

Tidak sesekali dia menyangka dia kembali untuk berhadapan dengan realiti pahit yang dia terpaksa terima, mahu ataupun tidak.

Kepayahan dia cuba untuk menyara diri di negara orang tidak setanding dengan keperitan di hatinya sejak dia kembali ke sini.

Disambut dengan berita pertunangan bekas kekasih sendiri tatkala dia tiba di rumah bukanlah sesuatu yang menyenangkan.

Setelah siap berpakaian kemas, tali leher berwarna hitam dikemaskan pada leher kemeja. Kata-kata Intan semalam kembali menerjah fikiran.

“Awak akan bahagia untuk saya kan, Khai? Awak sokong keputusan saya kan?”

Wajah gadis itu tampak serba salah. Khairil sudah tentu tidak menyalahkan gadis itu sama sekali, dia yang pergi tanpa berita selama lima tahun. Dengan alasan apapun yang dia mampu berikan, siapa sahaja yang mahu terus menunggu bertahun-tahun?

Dan bagai orang yang gila, dia meledakkan tawa palsu pada gadis itu semalam. “Of course, I will. Kita best friend kan?”

Khairil menipiskan bibir, tahu benar kata-katanya semalam merupakan salah satu penipuan terbesar dia pernah ucapkan. Suatu penipuan yang entah gadis itu perasan atau tidak.

“Dan lihatlah engkau hari ini. Bahagia sungguh.” desisnya memerli diri sendiri. Imej pada cermin seakan memerli dia kembali.

Matanya sedikit bengkak, rongga hidungnya sedikit tersumbat angkara ledakan tangis yang tak mampu dia kawal setelah gadis itu pergi. Realiti seakan menamparnya kasar dan merobek hatinya sehingga tiada apa lagi yang tinggal selain kepedihan yang entah mengapa tidak mahu hilang biarpun bertahun dia usahakan.

Mungkin, Khairil perlu jujur dari awal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience