BAB 1

Family Completed 308

Kesejukan pagi menyerang hingga ke tulang. Mentari lambat-lambat naik ke muka langit. Tatkala pagi-pagi yang beginilah burung-burung dan segala unggas berbunyi paling kuat. Alunan yang membangkitkan ketenangan pada setengah-setengah orang, dan yang lainnya mungkin seram akan bunyi-bunyian yang sering dikaitkan dengan perkara tahyul. Orang melayu kampung, tak lari dari kepercayaan karut-marut.

Terpulang kepada masing-masing untuk menilai. Tetapi Mahfidz melihat bunyi itu satu keindahan. Bagi Mahfidz , kicauan burung dan bunyian unggas adalah alunan zikir alam kepada tuhan yang esa. Bunyi yang menenangkan. Lantaran itu selesai subuhnya di surau, Mahfidz tidak cepat mengayuh basikalnya menuju ke rumah.

Mahfidz mengayuh penuh tenaga menaiki bukit yang agak curam. Dadanya berombak kencang menghirup udara pagi yang berbau kesegaran. Keletihan nyata sedang terkesan pada anak muda itu tetapi wajahnya masih menunjukkan riak tenang. Matanya becahaya keazaman untuk sampai ke puncak secepatnya. Sedang sekeliling Mahfidz masih dibasahi gelap yang hampir tewas kepada mentari yang sedang menebarkan cahayanya. Pokok-pokok yang setia disepanjang lorong kecil laluan motosikal dan basikal itu nampak gah seakan-akan pengawal yang sedang gagah berdiri ketika seorang putera sedang melalui karpet diraja. Daun-daun yang umpama pakaian seragam pokok-pokok itu masih basah dengan embun. Kadang-kadang, embun-embun pada daun yang tinggi ditiup bayu, terpalit pada tubuh Mahfidz seolah-olah alam disitu sangat menyambut kedatangan anak muda yang diberkahi dengan cahaya Subuh.

Mahfidz sampai juga ke kemuncak bukit. Bibirnya terukir senyum yang bermakna. Senyum yang menggambarkan kepuasan, bangga dan syukur. Sedang matanya tersilau satu semangat. Semangat yang bernama keazaman.

Mahfidz memejamkan matanya. Mendepakan tangannya. Wajahnya menunjukkan satu nikmat yang misteri. Angin kuat menyapa lembut tubuh Mahfidz , menerbangkan anak-anak rambutnya. Anak-anak rambut itu menampar manja wajah Mahfidz , menaikkan lagi aroma rindu dalam jiwa Mahfidz . Kain pelikat yang pesaknya indah tersusun tadi juga berterbangan cuba melepaskan diri dari membaluti anak muda yang sedang asyik bermain dengan bayu itu. Seketika kemudian, angin itu berhenti dan Mahfidz membuka matanya. Dan sinar suria yang masih bayi tersedia dihadapan Mahfidz . Cahaya mentari yang sedang mencabar gelap alam itu muncul antara dua bukit yang tinggi mencecah awan. Ketinggian itu dimomokkan lagi dengan gaung yang sangat dalam , seolah-olah mulut gergasi dihadapan Mahfidz . Pemandangan yang mengerikan. Namun keindahan lebih menguasai jiwa Mahfidz yang diamuk perasaan rindu yang teramat. ‘Alhamdulillah’ mulut Mahfidz tiba-tiba melontarkan tahmid yang sepanjang tadi melirik didalam hati cuma. ‘ Aku berjanji kepadamu, aku akan datang, bukan? Nah, aku dihadapanmu setelah setahun kau menjadi kekasih kejauhanku’. Mahfidz berbicara, seolah-olah bercerita kepada kekasih hati. Mahfidz melihat sekitar dengan mata yang sedang berkaca. Dan kaca itu pecah, mengalir ke pipi Mahfidz yang putih kemerahan. Pecah bersama terlerainya rindu Mahfidz kepada suasana itu. Mahfidz tidak lama disitu. Selepas diam yang sekejap. Mahfidz menuju ke basikalnya dan berlalu pergi. Sempat dia berpaling, ‘ Petang aku menemuimu lagi’.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience